PESONA

Anak-anak mampu berinteraksi dengan lebih baik

Anak-anak mampu berinteraksi dengan lebih baik

Hubungan sosial kanak-kanak mampu dipupuk apabila mereka bermain busyboard bersama rakan.


PERKEMBANGAN teknologi khususnya kemunculan gajet-gajet canggih seperti telefon pintar kini menjadikan dunia tanpa sempadan.

Tidak kira walau apa jua motif penggunaan gajet tersebut sama ada sebagai wadah capaian informasi atau hiburan sekalipun, akses kepada sumber tersebut yang mudah menjadikannya pilihan utama pengguna masa kini.

Sering kali dilihat beberapa pasangan suami isteri di kedai-kedai makan memberikan anak mereka telefon pintar sebagai satu cara untuk menarik perhatian kanak-kanak tersebut.

Menyajikan kepada anak-anak video animasi menerusi paparan skrin telefon pintar seperti animasi Upin Ipin, BoboiBoy atau Didi & Friends nyata merupakan ramuan yang berkesan bagi mengurangkan kerenah aktif mereka.

Begitupun, tahukah anda pemberian gajet secara berlebihan akan menyebabkan ketagihan yang boleh mengganggu perkembangan kanak-kanak khususnya perkembangan motor.

Perkembangan motor bermaksud perubahan dalam keupayaan sistem saraf otot dalam penguasaan kemahiran motor sepanjang hayat hasil daripada interaksi dengan individu, persekitaran dan tugasan yang diberikan kepada kanak-kanak.

Ia merangkumi pergerakan manipulasi seperti menggerakkan jari, menyentuh, memegang, membuka dan menggenggam serta membuat mimik muka seterusnya semakin berkembang sehingga kanak-kanak meningkat usia.

Kebimbangan tersebut diakui sendiri oleh ibu kepada dua orang anak, Rifqah Mohd. Noor, 31.

Melihat kebergantungan anak-anaknya terhadap gajet dengan acap kali meminta telefon pintar untuk menikmati video kegemaran mereka nyata meresahkan diri Rifqah.

“Sebelum ini, saya merupakan pekerja swasta di sebuah syarikat jurutera di Kota Damansara, Selangor. Disebabkan masa yang begitu padat, saya kurang meluangkan masa dengan anak-anak.

“Bagi melayan mereka, saya meminjamkan telefon pintar kepada mereka sebagai hiburan.

“Namun lama-kelamaan saya mendapati anak-anak semakin kurang berinteraksi dengan keadaan sekeliling kerana asyik bermain telefon pintar,” katanya.

Disebabkan itu, Rifqa kemudian nekad berhenti kerja pada awal tahun ini dan mencari jalan untuk keluar daripada keadaan tersebut sehingga diperkenalkan dengan alat bantu mengajar yang dikenali sebagai busyboard oleh ahli keluarganya sendiri.

Alternatif

Busyboard merupakan sejenis papan yang direka dengan permukaan yang diletakkan pelbagai aksesori dan kelengkapan dengan fungsi-fungsi berbeza bagi memberi tumpuan kepada kemahiran motor kanak-kanak secara menyeluruh.

Ia merupakan alternatif yang paling mudah bagi menarik minat anak-anak dalam mengasah kemahiran otot atau motor mereka.

Penggunaan alat tersebut sangat popular di beberapa negara Eropah dan diakui oleh pakar-pakar pediatrik tempatan mengenai kemampuan alat itu untuk meningkatkan kemahiran motor kanak-kanak normal, hiperaktif atau lembam.

Bagaimanapun, penggunaan papan berkenaan di Malaysia masih belum meluas dan dia terpaksa mengimport alat bantu mengajar tersebut bagi kepentingan perkembangan anak-anaknya.

Menurutnya, sejak menghadiahkan busyboard itu kepada dua orang anak perempuannya, mereka semakin kurang bergantung kepada gajet dan kini boleh berinteraksi dalam dunia realiti dengan lebih baik.

Aksesori


Pemberian gajet secara berlebihan akan menyebabkan gangguan perkembangan kanak-kanak. – Gambar hiasan


“Busyboard ini mempunyai banyak aksesori dan kelengkapan yang sangat berkait rapat dengan objek di sekeliling kita seperti suis, loceng, lampu dan selak pintu.

“Walaupun ketika berada di rumah, kita akan menghalang mereka mengusik objek seperti itu, tetapi kebanyakan kanak-kanak lebih tertarik dengan objek seperti ini. Justeru, busyboard membolehkan kanak-kanak bermain secara bebas dalam keadaan yang kondusif,” jelasnya.

Disebabkan kegunaan busyboard tersebut disifatkan sebagai relevan terhadap perkembangan motor kanak-kanak, Rifqa bersama dua orang ahli keluarganya Nur Diyana Kamal Azlan, 30 dan Farhana Liyana Abdul Razak, 28, nekad untuk mengusahakan alat bantu mengajar busyboard untuk dipasarkan ke pasaran tempatan.

Prihatin terhadap masa depan generasi muda yang dilihat mengalami cabaran dalam mengurangkan kebergantungan terhadap gajet, kesemua mereka yang merupakan suri rumah sepenuh masa itu bersama-sama melakukan penyelidikan sejak dua tahun lalu.

Pengusaha Busyboard Zalolakids, Nur Diyana Kamal Azlan, 30, berkata, penghasilan busyboard diibaratkan sebagai serampang dua mata bukan sahaja sebagai alat bantu mengajar bagi kanak-kanak tetapi ia memberi ruang bagi suri rumah melakukan tugasan mereka ketika anak sedang leka bermain.

“Naluri kanak-kanak yang gemar bermain pada setiap masa kadangkala mengganggu para suri rumah ketika sedang sibuk mengemas dan memasak.

“Dengan memberikan mereka busyboard, perhatian anak-anak ini ditarik dengan bermain sepanjang masa sekali gus membolehkan para ibu mempunyai masa untuk mengendalikan tugasan di rumah.

“Pada masa sama, kita tidak perlu risau jika mereka bermain busyboard sepanjang hari kerana ia membantu menguatkan otot dan perkembangan si manja,” kata ibu kepada dua orang anak itu.

Selain itu, bermain dengan menggunakan busyboard memberikan kanak-kanak ruang untuk meneroka perkara baharu dan mencetuskan sifat ingin tahu dalam diri mereka.

Sifat tersebut menguji minda kanak-kanak dan secara tidak langsung menjadikan mereka lebih memahami perkara yang berlaku di sekeliling.

Pengasas dan Pengusaha Busyboard Zalolakids, Farhana Liyana Abdul Razak, 28, berkata, fungsi busyboard bukan hanya membantu perkembangan motor, tetapi turut mengembangkan lagi daya kreativiti kanak-kanak berbanding penggunaan gajet.

Kreativiti

Farhana Liyana tidak menyangkal penggunaan gajet turut meningkatkan kreativiti kanak-kanak tetapi ia sekadar mainan visual dan minda semata-mata.

“Kreativiti kanak-kanak yang dipupuk melalui penggunaan gajet hanya membantu deria penglihatan dan merangsang minda mereka.

“Dengan menggunakan alat bantu mengajar seperti busyboard, rangsangan terhadap otot juga diberikan secara menyeluruh dengan melakukan pelbagai jenis pergerakan.

“Dari situ, kanak-kanak yang dilatih dari kecil lagi menjadikan mereka lebih peka dan mengetahui cara untuk memberikan reaksi secara spontan,” katanya.

Bagi Farhana Liyana, setiap komponen dalam busyboard membantu pemikiran kreatif kanak-kanak dan mengembangkan lagi daya imaginasi mereka.

Setiap jenis dan jumlah komponen dalam busyboard dibuat mengikut tempahan pelanggan dan boleh diubah suai mengikut cita rasa mereka.

Dengan variasi pilihan komponen yang pelbagai, imaginasi kanak-kanak dapat dikembangkan tanpa limitasi.

Rencana Utama!»

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Karavan boleh diibaratkan seperti rumah bergerak kerana di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.

Horizon!»

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

RUMAH Bot Seri Mahawangsa boleh memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa.

Varia!»

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

PASANGAN pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Ampang kini boleh menggunakan pakej yang ditawarkan SMK Dato’ Ahmad Razali.

Process time in ms: 47