HORIZON

Taman tema air baharu di Lembah Klang

Taman tema air baharu di Lembah Klang

BANGI Wonderland dibina di atas tanah seluas 4.8 hektar.


RAUT wajah teruja jelas terpancar pada remaja lelaki berusia 19 tahun itu sebaik menjejakkan kaki di taman tema air Bangi Wonderland, Bangi, Selangor.

Keterujaan Mohd. Syafiq Jamaludin kian bertambah selepas mendengar jeritan keriangan para pengunjung lain yang sedang menikmati permainan-permainan air di taman tema tersebut.

Menurut anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, jeritan itu memberi gambaran jelas bahawa Bangi Wonderland mampu memberi keseronokan maksimum kepadanya.

“Ini kali pertama saya dan kawan-kawan datang ke sini. Kami sudah tidak sabar untuk mencuba semua permainan air yang ditawarkan dalam taman tema ini.

“Saya yakin Bangi Wonderland menawarkan permainan air terbaik. Lagi pula, kami semua memang suka dengan permainan air,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Bangi Wonderland baru-baru ini.

Taman tema seluas 4.8 hektar itu menawarkan 16 jenis tarikan termasuk permainan yang menjadi kegemaran ramai iaitu Water Cannon, Wonder Loop, Boomeriang, Surf dan Magic Funnel.

Mohd. Syafiq memberitahu, antara permainan air yang ditawarkan di Bangi Wonderland, dia cukup teruja dengan cabaran Boomeriang.

Jelas pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Bangi itu, tarikan tersebut sangat mencabar adrenalin pengunjung yang mencubanya.

“Pada saya, semua permainan di sini menarik dan mencabar. Namun hati saya tertaut pada Boomeriang. Ia sangat laju dan curam.

“Walaupun terpaksa naik tangga setinggi bangunan tiga tingkat untuk mencuba permainan ini, namun lelah tersebut hilang sekelip mata selepas menuruninya,” ujar remaja berkulit cerah itu.

Mula dibuka pada Ogos lalu, taman tema air Bangi Wonderland telah berjaya menarik seramai 30,000 orang pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pengurus Besarnya, Steven Chang berkata, pembukaan Bangi Wonderland bertujuan memberi lebih pilihan kepada masyarakat terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Dia juga menanam keyakinan bahawa Bangi Wonderland mampu bersaing dengan taman-taman tema air lain yang terdapat di negara ini.

“Lokasi taman tema ini yang strategik iaitu di antara Bangi dan Kajang, selain berhampiran dengan susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan di Bukit Mahkota menjadi daya penarik kepada pengunjung.

Kemudahan


Permainan air, Insane Racer ini lebih seronok dilakukan secara berkumpulan.


“Saya menjangkakan, jumlah pengunjung meningkat selepas siapnya hotel bersebelahan taman tema ini nanti. Hotel ini mampu menarik lebih ramai pengunjung terutamanya dari luar kawasan,” katanya.

Menariknya, taman tema air tersebut turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan khusus buat para pengunjung.

Antara kemudahan yang ditawarkan ialah, kafeteria, dewan serba guna, bilik persalinan, surau, bilik rawatan, bilik bayi dan parkir bertingkat.

Jelas Chang, taman tema yang dibina dengan kos bernilai RM30 juta itu menawarkan pelbagai pilihan permainan air yang sesuai buat seisi keluarga.

Katanya, pihaknya membina Kid’s Adventure iaitu kawasan permainan air khusus buat kanak-kanak, sementara Insane Racer sesuai bagi pengunjung berkumpulan.

“Kami menyasarkan para pengunjung dalam kalangan mereka yang berkeluarga atau secara berkumpulan. Hal ini memandangkan Bangi Wonderland memang dibina khusus untuk kumpulan tersebut.

“Ini pastinya memberi nilai tambah kepada Bangi Wonderland dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung sekali gus bersaing dengan taman tema air lain di negara ini,” ulasnya.

Chang turut memaklumkan, pihaknya akan melihat keperluan untuk menambah atau menukar bilangan jenis permainan bergantung kepada permintaan.

“Kita akan memastikan pelan jangka masa panjang iaitu penambahan atau penukaran dilakukan setiap dua tahun bergantung kepada keperluan.

“Selain itu, kita bercadang mengadakan kelas berenang kepada individu berusia 15 tahun dan ke bawah secara percuma,” katanya.

Dalam usaha menarik lebih banyak agensi kerajaan dan syarikat korporat mengadakan aktiviti dalam Bangi Wonderland, pihaknya turut menawarkan diskaun menarik.

Salah seorang pengunjung, Mohd. Alwi Zainon, 45, menganggap harga tiket masuk ke Bangi Wonderland cukup ekonomi dan berbaloi dengan permainan yang ditawarkan.

Keselamatan


PENGUNJUNG boleh mendapatkan kelengkapan mandi di kedai cenderamata.


“Pada saya, harga yang ditawarkan agak berpatutan. Lagi pula tempat ini masih baharu dan semua permainannya berfungsi dengan baik,” ujarnya yang datang berkunjung bersama isteri dan seorang anaknya.

Mohd. Alwi yang menetap di Behrang, Selangor turut memuji pihak pengurusan taman tema tersebut yang sentiasa mementingkan aspek keselamatan pengunjung.

Jelasnya, aspek tersebut amat penting dalam usaha memastikan keselamatan dan nyawa pengunjung sewaktu bermandi-manda atau bermain permainan air sentiasa terjamin.

“Kita tahu, tempat seperti ini mempunyai risiko tersendiri. Ketika bergembira, kita tidak mahu ada perkara buruk berlaku.

“Alhamdulillah, saya lihat di sini, pihak pengurusan menempatkan para petugas yang mencukupi terutama di kawasan-kawasan berisiko tinggi.

“Malah, papan tanda arahan dan maklumat juga disediakan dalam memberi peringatan serta penerangan kepada para pengunjung,” ujarnya.

Rencana Utama!»

Kurang 10 tok dalang masih aktif

HOCK SENG menunjukkan patung-patung yang digunakannya sewaktu persembahan wayang kulit.

GenK»

Bazar Orikami TAR UC pamer produk berkualiti tinggi

Ruangan yang memaparkan kisah-kisah kejayaan para pelajar dan alumni TAR UC turut mencuri tumpuan.

Varia!»

Jaga tepi kain orang cara tangani isu sosial

Akses mudah kepada internet antara faktor kepada anak muda bebas bergaul antara satu sama lain. – Gambar hiasan

[email protected]!

Process time in ms: 31