GENK

Kutip 200kg sampah dalam masa sejam

Kutip 200kg sampah dalam masa sejam


Program seumpama ini perlu dipergiatkan agar masyarakat lebih prihatin tentang penjagaan alam sekitar.


SERAMAI 70 sukarelawan Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat mengutip sampah sempena program khidmat komuniti Trash Hero di sekitar Jalan Bukit Hantu di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Pada program itu, mereka berjaya mengumpulkan lebih 200 kilogram (kg) sampah dalam masa hanya satu jam.

Menurut pensyarah universiti tersebut, Muhammad Fauzi Mokhtar, program anjuran Pejabat Pembangunan Pelajar dan Alumni Kolej Seni dan Sains (UUM CAS) dengan kerjasama Environment Idaman Sdn. Bhd. dan SW Corp. itu merupakan satu inisiatif untuk mengurangkan kadar sampah di sekitar Langkawi.

“Kawasan yang hebat dan cantik akan dirosakkan oleh sampah yang menyakitkan mata. Siapa sangka jalan raya yang kelihatan bersih rupa-rupanya banyak sampah tersembunyi.

“Tin kosong, botol, bekas menjadi kegemaran pembiakan nyamuk. Menerusi gotong-royong ini dapat membantu memerangi nyamuk aedes,” katanya.

Program Trash Hero Langkawi itu diasaskan pada 2015 oleh Ulrika Player, 53, yang berasal dari Sweden.

Ulrika berkata, sikap cintakan kebersihan dan rasa sayang terhadap alam mendorong dirinya melakukan aktiviti tersebut.

“Selama dua tahun setengah menetap di Malaysia, saya melihat ramai penduduk membuang sampah begitu sahaja. Sikap itu amat mengecewakan dan menyakitkan mata saya.

“Saya tidak boleh ubah orang tetapi saya membuat perubahan bermula dengan diri sendiri,” katanya.

Pada mulanya, dia seorang diri mengutip sampah di jalanan dan lama-kelamaan orang ramai turut membantunya.


Sampah yang dikutip dimasukkan ke dalam plastik hitam.


“Ini bukan kerja majlis bandaran sahaja tetapi tanggungjawab kita bersama dalam menjaga kelestarian alam kerana apabila alam tercemar, manusia berada dalam bahaya.

Semangat

“Terima kasih, sukarelawan UUM amat membanggakan saya kerana mereka begitu komited menjayakan program pembersihan kawasan tumpuan pelancongan di Langkawi ini,” ujarnya.

Presiden Persatuan Komunikasi UUM, Abdul Jabbar Khairilanuar, 22, turut berasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Ulrika.

“Saya rasa malu apabila orang luar lebih peka terhadap kebersihan alam di negara ini.

“Sikap memandang rendah dan ambil mudah terhadap sampah misalnya, membuang plastik ikut tingkap kenderaan pasti membuatkan Malaysia menjadi kotor,” katanya.

Bagi melaksanakan tugas itu, sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan, sampah diasingkan mengikut jenis, plastik biru untuk tin bagi memudahkan pengurusan sisa pepejal, seterusnya ditinggalkan di tepi jalan sebelum dikutip oleh lori sampah.

Dalam pada itu, pensyarah UUM CAS, Dr. Jafri Zulkefli Hew berkata, dalam program tersebut, para peserta didedahkan kepada cara-cara menjaga alam seperti membuang rokok di tempat yang sepatutnya dan bukan di merata-rata tempat.

“Inilah masanya mahasiswa memulangkan sesuatu kepada masyarakat.

Saya berharap program ini memberi dorongan kepada orang lain sebagai tanda sayang dan prihatin terhadap alam dan masyarakat.


Seramai 70 pelajar UUM terlibat dalam program mengutip sampah di sekitar Jalan Bukit Hantu, Langkawi Kedah baru-baru ini.


“Saya harap semua pihak bekerjasama dalam menjaga alam sekitar, sekali gus memupuk budaya cintakan kebersihan,” ujarnya.

Berbangga

Bagi pelajar Sarjana Muda Perakaunan Sistem Maklumat, Lim Yong Ying, 20, dia tidak rasa malu atau jijik mengutip sampah di jalanan, sebaliknya berbangga kerana dapat berbakti kepada masyarakat.

Menurutnya, antara kenangan menarik ialah orang ramai yang lalu lalang membunyikan hon kenderaan dan melambaikan tangan sebagai tanda sokongan.

“Memang banyak sampah perlu dikutip tetapi ia menyeronokkan apabila pensyarah pun turut serta. Saya juga mendapat ramai kawan baharu.

“Program ini sangat bagus kerana memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepentingan penjagaan alam, menyihatkan badan serta menjadi terapi kepada pelajar setelah penat belajar,” katanya.

Sementara itu, siswi Sarjana Muda Kaunseling, Nur Ezrina Zainuddin, 22, berasa puas hati melihat kawasan sekitar Bukit Hantu menjadi lebih bersih, sekali gus mengubat segala keletihan.

“Rakyat Malaysia perlu lebih prihatin terhadap kebersihan di sekitar mereka.

“Menerusi program ini juga, ia dapat memupuk perasaan cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar,” katanya.

Rencana Utama!»

Kaedah dorsal slit selamat, cepat sembuh

Di negara ini, kebiasaannya kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika berumur antara tujuh hingga 12 tahun. – Gambar hiasan

Varia!»

Khidmat pertapa popular di internet

TOON (kiri) mengikat tali pelindung di anggota badan pelanggannya.

Process time in ms: 31