GENK

Pengunjung belajar memanah cara lama

Pengunjung belajar memanah cara lama



DARI jauh kelihatan kelibat seorang kanak-kanak perempuan lengkap berbaju kurung songket memegang busur dan bersedia untuk membidik dan memanah ke sasaran.

Sesekali, Nur Almira Zahirah Mohd. Hafizuddin, 7, merenung ke arah ibu bapa dan rakan-rakannya yang tidak henti-henti bersorak memberi semangat dan galakan.

Kepada murid Sekolah Agama Integrasi, Keramat, Kuala Lumpur itu, aktiviti memanah merupakan pengalaman pertamanya.

“Sebelum ini memang tak pernah terfikir pun hendak melakukan aktiviti memanah kerana saya tidak tahu langsung teknik-teknik memanah.

“Paling tidak pun, saya sekadar menjadi penonton di luar sahaja, melihat orang memanah,” kongsinya ketika ditemui di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Walaupun pada mulanya Nur Almira Zahirah kelihatan gelisah, namun air mukanya berubah ceria apabila berjaya melepaskan anak panah yang mengenai sasaran.

“Saya rasa seronok apabila berjaya memanah ke sasaran. Selepas ini, saya ingin datang bersama dengan rakan-rakan untuk melakukan aktiviti memanah ini,” ujarnya.

Semangat

Walaupun keadaan cuaca pada hari itu hujan renyai, seramai 40 peserta program tersebut tidak patah semangat untuk mempelajari dan mencuba aktiviti berkenaan.

Kepada Amirul Haziq Husaini Muhammad Zahri, 14, aktiviti memanah mampu membentuk disiplin diri.

“Bila memanah, kita jadi fokus sebab hendak memanah tepat ke sasaran. Jadi, ia suatu perkara yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” ujarnya yang berasal dari Selayang, Selangor.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Addiniah Dong, Raub, Pahang itu, walaupun anak panah tidak tepat di tengah sasaran, dia tetap berasa puas.

“Mula-mula memanah, tidak kena sasaran, tetapi selepas itu saya mula membidik dan fokus untuk mengenai sasaran. Kalau sasaran melencong jauh pula, ia membuatkan saya mahu terus mencuba untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.


AKTIVITI memanah memerlukan teknik tertentu bagi mengelakkan sebarang kecederaan.


“Jika kita lihat pelakon di televisyen atau panggung wayang melakukan aksi-aksi memanah, ia kelihatan seperti mudah tetapi sebenarnya ada teknik dan cara tertentu untuk melepaskan busar supaya kena pada sasaran serta tidak mencederakan diri,” tuturnya.

Dalam pada itu, tenaga pengajar, Mass Ahmad Kamal Shafiee, 44, berkata, aktiviti memanah tradisional yang wujud sejak ribuan tahun lalu itu dilihat semakin berkembang di negara ini.

Banyak sekolah termasuk surau menubuhkan kelab khas untuk mempelajari kegiatan memanah.

“Memanah merupakan salah satu aktiviti yang digemari oleh Rasulullah SAW. Saya lihat sudah semakin ramai orang mula terlibat dalam aktiviti ini bagi tujuan beriadah dan mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah.

“Selain itu, terdapat beberapa buah sekolah terutama sekolah tahfiz yang mula mengajar pelajarnya memanah secara tradisional kerana ingin mendapatkan keberkatan daripada mengamalkan sunah Baginda itu.

Sukan sunah

“Perkembangan sama turut dapat dilihat di beberapa surau di kawasan kediaman apabila menubuhkan kumpulan atau kelab khas bagi menjalankan aktiviti itu dengan lebih kerap di samping mengisi jadual program yang telah diatur oleh kariah,” katanya.

Walaupun kelihatan mudah untuk mengendalikan busar dan anak panah, seseorang individu itu perlu mengetahui serta mempelajari teknik-teknik yang betul ketika melepaskan anak panah.


Peralatan memanah boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan jenis mengikut kualiti serta harga.


Ia supaya tepat mengenai sasaran dan pada masa sama perlu mengelakkan sebarang kecederaan pada diri sendiri mahupun orang lain.

Selain itu, Mass Ahmad Kamal juga menyifatkan sukan sunah seperti memanah ini dapat dikaitkan dengan proses muhasabah bagi menilai diri iaitu fikiran, pendirian dan proses membuat keputusan.

Ini kerana katanya, pemanah yang baik perlu berada dalam keadaan yang tenang sewaktu melepaskan busar panah.

“Melalui pengamatan saya, aktiviti memanah secara tidak langsung membentuk perwatakan dan keperibadian pemanah.

“Pemanah mempunyai sifat dan sikap lemah lembut, merendah diri dan tenang,” jelasnya.

Tambahnya, sahsiah terpuji mereka ini terbit kerana mereka adalah antara individu yang mengikut sunah Nabi meskipun ada antara mereka bukan beragama Islam.

Jika memanah moden lebih mengharapkan ketepatan sasaran dengan bantuan kecanggihan peralatan, memanah tradisional lebih mengharapkan kemampuan dan kebolehan diri pengguna dengan tidak mengharapkan peralatan canggih sebagai kekuatan utama, membuatkan ia lebih mencabar.

“Latihan memanah tradisional Melayu amat lasak dan mempunyai lebih banyak teknik memanah seperti semasa bergerak, berdiri setempat, duduk dan baring. Ia berbeza dengan memanah moden yang hanya memanah sasaran lurus dan tidak bergerak,” ujarnya.

Process time in ms: 31