PESONA

Yoga tingkat kemampuan diri kanak-kanak

Yoga tingkat kemampuan diri kanak-kanak

YOGA merupakan satu senaman yang terdiri daripada beberapa siri postur dan pergerakan badan.


“LUNJURKAN kaki, tarik nafas dan hembus,” kata Guru Yoga, Anuradha Kanasan kepada 15 orang kanak-kanak yang mengikuti kelas itu di Sakthi Yoga, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Selepas itu, dia menyuruh kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun tersebut melakukan posisi bayi. Lantas, tanpa teragak-agak mereka duduk seperti bersujud sambil membentuk posisi seperti bayi dalam kandungan ibu.

Selepas 10 saat, kanak-kanak yang terdiri daripada lelaki dan perempuan itu bangun, seterusnya melakukan posisi ular seperti yang dikehendaki guru mereka.

Setiap aksi itu dilakukan menggunakan teknik pergerakan yang lembut dalam tempoh antara 10 hingga 60 saat. Ia juga tidak menyakitkan.

Menurut Anuradha yang juga merupakan pemilik Sakthi Yoga, amalan yoga dapat memberi pelbagai manfaat kepada kanak-kanak.

“Yoga dapat menguatkan sistem otot kanak-kanak, ia juga membantu menguatkan tulang belakang dan otot-otot abdomen.

“Selain itu, yoga merangsang kanak-kanak supaya lebih peka terhadap kemampuan diri, sekali gus dapat mempertingkatkan keupayaan otak dalam mengingati pelajaran,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Yoga berasal daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud penyatuan badan dan minda.

Mengikut sejarah, yoga berasal dari India yang diperkenalkan sejak 3,000 tahun lalu. Yoga merupakan suatu bentuk senaman yang terdiri daripada beberapa siri postur atau pergerakan.

Jika suatu masa dahulu yoga lebih ditumpukan kepada golongan dewasa, tetapi kini ia boleh dipelajari oleh golongan remaja dan kanak-kanak.

Malah, dalam sesebuah komuniti, yoga juga dilakukan pada bayi.

Anuradha berkata, rata-rata pelajarnya adalah kanak-kanak yang baru pertama kali menyertai yoga.

Jadi, dia memerlukan teknik yang sesuai untuk memudahkan kanak-kanak itu memahami tuturnya.

Mahir

“Bagi memastikan mereka memahami apa itu yoga, saya perlu menerangkan kepada mereka maksud yoga dengan cara bercerita supaya mereka lebih tertarik untuk mendengar dan memahami.

“Selepas faham, baru saya tunjukkan mereka posisi yang sesuai untuk dilakukan,” ujarnya sambil memberitahu, tempoh tiga bulan ditetapkan kepada kanak-kanak untuk mahir melakukan sesuatu aksi.

Antara posisi asas yang akan diajar ialah aksi pokok, menari dan helang.

Jelasnya lagi, lazimnya kanak-kanak tidak memerlukan tempoh lama untuk faham dan mahir melakukan sesuatu posisi. Mereka masih muda, jadi tulang dan otot mudah dilentur.

Berdisiplin

Seorang penuntut di Sakthi Yoga, Vishal Thevakumar, 11, memberitahu, dia berasa lebih fokus selepas pertama kali menyertai yoga pada Mac tahun ini.

“Ibu menghantar saya dan adik untuk menyertai yoga di sini. Ibu kata yoga dapat membuatkan saya lebih berdisiplin.

“Memang benar yoga telah membuatkan saya lebih berdisiplin, fokus dan fleksibel,” katanya yang menetap di Taman Bukit Mewah, Kajang.

Dia yang menggemari aksi bunga lotus berkata, semasa membuat yoga, dia berasa sangat tenang.

Ditanya apakah aksi yang sukar dilakukannya, Thevakumar berkata, dia tidak berhadapan masalah untuk melakukan kesemua aksi tersebut.

Dalam pada itu, Pemilik Bersama Sakthi Yoga, SK. Durai berkata, kanak-kanak yang melakukan setiap aksi secara tetap dapat mengurangkan tekanan emosi, meningkatkan daya tumpuan di dalam kelas, mengekalkan berat badan ideal, membina otot dan tulang serta membuatkan mereka tidur lebih lena.

Jelasnya, disebabkan kanak-kanak pada zaman kini lebih banyak menghabiskan masa menonton televisyen dan leka dengan gajet seperti telefon pintar serta tablet, tubuh mereka sukar berkembang dan dibina secara normal.

“Apabila kanak-kanak kurang melakukan aktiviti fizikal, ia akan menyebabkan tumbesaran kanak-kanak itu tidak dapat berkembang dengan baik.

“Menggalakkan anak beriadah adalah salah satu cara untuk memastikan mereka sentiasa bergerak dan melakukan aktiviti fizikal,” ujarnya sambil memberitahu, bersenam bersama bukan saja menyeronokkan tetapi meluangkan masa yang lebih berkualiti bersama keluarga.

Tambahnya, ibu bapa juga boleh menjadi contoh terbaik dengan melakukan senaman bersama anak-anak.

Bercerita lanjut mengenai Sakthi Yoga, terdapat beberapa kelas yoga untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

“Misalnya, Hatha yoga atau lebih dikenali klasikal yoga adalah sesuai untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak yang baru pertama kali ingin mempelajari seni itu.

“Asthanga yoga pula lebih kepada mereka yang sudah mahir dalam melakukan sesuatu aksi kerana ia banyak bermain dengan gerakan yang lebih sukar seperti melompat,” kata Durai yang mula berkecimpung dalam dunia yoga sejak 2008.

Process time in ms: 16