RUANG

Konsep selesa taruhan Jam & Kaya

Konsep selesa taruhan Jam & Kaya

BAHAGIAN luar kafe Jam & Kaya yang kelihatan seperti sebuah rumah banglo.


BAGI orang ramai yang kerap berkunjung ke Petaling Jaya Palms Sports Centre, mereka pasti perasan kewujudan sebuah bangunan putih yang terletak betul-betul di hadapan kolam renang pusat sukan itu.

Bangunan yang merupakan sebuah kafe itu dicat dengan rona putih bersih manakala dekorasinya pula cukup cantik dan ia kelihatan seperti sebuah banglo kecil.

Kunjungan kru Jurnal ke kafe yang diberi nama Jam & Kaya itu disambut mesra oleh salah seorang pemiliknya, Janice Lee Ching Xien. Wanita berusia 27 tahun itu mengusahakan kafe berkenaan bersama seorang lagi rakannya, Karen Tan Hui Chia.

Mesra disapa Janice, wanita kelahiran Selangor itu memberitahu kafe Jam & Kaya sudah pun beroperasi sejak tahun 2013 dan konsep yang cuba diketengahkan adalah selesa dan nyaman.

“Ramai pengunjung yang datang ke sini memberitahu kami bangunan ini kelihatan seperti sebuah rumah banglo.

“Sejujurnya, itulah konsep yang cuba diketengahkan Jam & Kaya kerana kami mahu semua pengunjung yang datang ke sini berasa seolah-olah sedang menjamu selera di rumah sendiri,” ujarnya membuka bicara.

Melihat pada segenap ruang, pemilik cukup bijak menggunakan rona putih pada keseluruhan dinding bagi menyuntik elemen nyaman tersebut.

Selain menjadikan keseluruhan ruang tampak terang, ia turut menjadikan kafe seluas 167 meter persegi itu kelihatan lebih luas.

Selesa

Bercerita lanjut tentang konsep pilihan, Janice yang belajar di Melbourne, Australia berkata, di bandar raya itu terdapat begitu banyak kafe dengan konsep sama yang padanya cukup menarik.

“Saya perhatikan, di Melbourne, terdapat banyak kafe yang amat menekankan suasana begini yang menjadikan pengunjung berasa cukup selesa seperti berada di rumah sendiri.


KERUSI dan meja kayu tampak moden serta ringkas sekali gus mempunyai daya tarikan yang tersendiri.


“Oleh itu, saya dan Karen mahu membawa konsep kafe sebegini ke Malaysia dan tidak menyangka sambutannya amat menggalakkan,” ujarnya.

Apabila pintu dibuka, pengunjung akan memasuki ruang makan berkonsepkan santai yang terletak di bahagian hadapan restoran.

Biasanya, mereka yang datang untuk menikmati juadah ringan seperti pencuci mulut lebih gemar bersantai di ruang ini memandangkan kerusi dan meja kayu yang digunakan lebih kecil dan sesuai untuk bersantai.

Lantai dari rona kelabu menghiasi ruang itu dan ia kelihatan amat sesuai apabila digabungkan dengan warna putih pada dinding.

Bagi pemilihan warna sofa, pemilik memilih sofa juga daripada rona kelabu bagi mencipta kesenadaan.

Melewati ruang makan kedua pula, ia merupakan ruang makan utama di Jam & Kaya. Menurut Janice dan Karen, mereka masih memilih rona sama pada kemasan lantai agar keseluruhan ruang tidak nampak serabut.

Hiasan dalaman pada bahagian ini benar-benar menyerupai meja makan keluarga di rumah kerana meja panjang dan luas yang digunakan menjadikan ruang ini tampak selesa dan sesuai buat pengunjung yang datang bersama ahli keluarga.

Pencahayaan

Jika diperhatikan, tidak banyak lampu yang diletakkan di Jam & Kaya. Hal ini disebabkan pemilihan warna putih amat membantu menjadikan kafe itu kelihatan cukup terang dan selesa tanpa perlu bergantung kepada pencahayaan lampu.


PEMILIK menggunakan sofa berwarna kelabu bagi menyuntik elemen santai dan tenang.


Di ruangan ini, perabot yang digunakan semuanya daripada rona putih. Menurut pemilik, mereka menempah sendiri perabot-perabot agar ia benar-benar menepati cita rasa.

“Ada juga beberapa perabot yang kami beli dari kedai perabot Ikea, namun kebanyakannya ditempah sendiri.

“Selain lebih berpuas hati dengan hasilnya, kami dapati perabot yang ditempah sendiri sebenarnya lebih menjimatkan,” kata Janice.

Ruang terhad pada kafe tidak sedikit pun menghalang pemilik daripada meletakkan dekorasi-dekorasi kecil di sekitarnya.

Antara yang paling menarik adalah besi menggantung perkakas dapur yang berbentuk sudu dan garfu diletakkan di ruang makan pertama kafe.

Besi tersebut cukup ringkas, namun apabila pemilik mengambil pendekatan untuk meletakkannya pada ruang makan kafe dan bukannya di dapur, ia kelihatan cukup menarik.

Bercerita tentang pemilihan nama kafe, Janice memberitahu, ia merupakan gabungan nama kedua-dua mereka iaitu Janice dan Karen.

“Selain itu, memandangkan kafe kami menyajikan juadah sarapan pagi sepanjang hari, kami memilih nama Jam & Kaya kerana kedua-dua menu itu adalah antara menu wajib bagi sarapan pagi, khususnya bagi orang-orang dari negara Barat,” ujar Janice.

Menurut mereka lagi, kos bagi keseluruhan dekorasi di kafe itu menelan belanja kira-kira RM200,000.

Waktu operasi kafe itu bermula pada pukul 9 pagi hingga 6 petang dan ditutup setiap Isnin.

Process time in ms: 47