RUANG

Adunan cita rasa klasik kontemporari

Adunan cita rasa klasik kontemporari

SUASANA ruang kamar dihiasi dengan rona ungu dan putih yang menjadi warna kegemaran pemilik kediaman.


JENIS sesebuah kediaman bukan penghalang kepada seseorang itu untuk bermain dengan dekorasi yang diingini asalkan idea dan konsep yang diolah sesuai bagi mendapatkan hasil yang diidamkan.

Cetusan idea kreatif dengan mainan konsep bersesuaian menjadi keperluan utama dalam melahirkan dimensi sesuatu dekorasi sesebuah kediaman.

Atas dasar minat dan kesungguhan dalam menzahirkan suasana rumah yang diingini membuatkan jejaka yang hanya mahu dikenali sebagai Shahmanzal, 29, itu tidak lokek untuk berbelanja asalkan mahligai impiannya mampu dimiliki.

Sebaik sahaja daun pintu dibuka, terbentang adunan dekorasi berkonsepkan klasik kontemporari menghiasi ruang kediaman yang terletak di Pandan Indah, Ampang, Selangor itu.

Mengambil kesempatan melirik anak mata di setiap penjuru ruang membuatkan kru Jurnal kagum atas kesungguhan dan usaha yang dipamerkan anak jati kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu dalam menghidupkan satu konsep kediaman bercirikan eksklusif.

Dimensi berbeza

Berbicara lebih lanjut, Shahmanzal memberitahu, dia sememangnya cukup gemar menghias rumah lebih-lebih lagi selepas mempunyai kediaman sendiri yang dibeli pada 2010 itu.

“Selepas memiliki rumah sendiri, saya mula memikirkan konsep dan cita rasa yang ingin diterap pada dekorasi kediaman,” ujar Shahmanzal.

Meneliti sentuhan pada ruang tamu, Shahmanzal dilihat senang menggilap ruang tersebut dengan rona redup seperti kelabu, coklat dan hitam dalam tona berbeza bagi membangkitkan suasana lebih santai dan tidak keterlaluan.


SUASANA ruang dapur yang disuntik dengan elemen rona merah menjadikan ruang tersebut kelihatan lebih menonjol.


Penataan perabot seperti sofa, langsir serta meja kecil dengan rona senada turut dititikberatkan oleh pemilik kediaman agar tidak lari daripada konsep yang hendak diketengahkan.

Bagi tidak menampakkan keadaan ruang tamu kelihatan terlalu suram, permainan elemen cahaya menjadi fokus utama oleh Shahmanzal dalam membangkitkan suasana kelihatan lebih berseni.

Biasan lampu led dengan rona ungu kebiruan yang dipancarkan dari bawah melatari segenap ruang tamu sekali gus berjaya mewujudkan satu dimensi suasana yang berbeza.

Tambah menarik, rekaan muka dinding berdimensi berona putih menyerlahkan lagi penataan cahaya pada ruang tamu.

Bijak menggabungkan dua konsep berbeza pada satu ruang, Shahmanzal tidak kekok mengolah idea dalam mendapatkan hasil terbaik apabila memilih adunan konsep klasik serta moden kontemporari.

“Jika boleh saya tidak mahu terikat pada hanya satu konsep tertentu sahaja kerana ia tidak memberi kepuasan,” tutur jejaka yang berkhidmat dalam sektor awam itu.

Adunan beberapa dekorasi bermotifkan ukiran kayu turut diadun pada ruang kediaman seperti pada lampu, pintu serta dinding.

Sebuah congkak kayu yang diletakkan menghiasi meja kecil pada sudut ruang tamu menjadi antara daya penarik utama bagi sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumah milik Shahmanzal.

Sama seperti pemilik kediaman lain yang ingin memberi sentuhan magis agar ruang terhad kelihatan lebih ruas, aplikasi cermin dinding bersaiz besar umpama menjadi satu kewajipan bagi pencinta dekorasi.

Menurut Shahmanzal, dia berdepan dengan beberapa cabaran lebih-lebih lagi untuk memastikan warna dan perabot yang dipilih tidak menjadikan kediamannya kelihatan sesak dan tidak selesa.

Pejabat mini

Menjengah ke ruang kamar utama, hamparan rona ungu mendominasi segenap ruang bilik bermula daripada sarung cadar sehingga pada perhiasan kecil.


SET meja makan yang turut diberi sentuhan dengan penerapan elemen ala Inggeris.


Gabungan warna ungu dan putih kelihatan seakan menjadi apabila ruang bilik tidur kelihatan seimbang, malah berasa cukup selesa melihat keadaannya yang cukup tenang.

Penataan cahaya jingga ternyata membangkitkan suasana tenang lebih-lebih lagi selepas penat seharian bekerja di pejabat.

Apa yang menarik, Shahmanzal amat gemar pada sesuatu perabot yang eksklusif, justeru, kebanyakan perabot seperti katil serta beberapa dekorasi lain di rumahnya ditempah khas mengikut cita rasa sendiri.

Menjengah ke ruang kamar kedua, bilik itu dimanfaatkan menjadi ruangan pejabat mini untuk pemiliknya menghabiskan waktu menyiapkan kerja serta meluangkan masa untuk membaca.

Suasana kehijauan melatari ruang pejabat itu dengan dekorasi tumbuhan segar serta diolah dengan sentuhan lebih moden.

Ruangan pada dapur juga tidak dipandang enteng oleh Shahmanzal apabila turut mendapat sentuhan dekorasi memikat.

Antara yang mencuri tumpuan ketika berada di ruang dapur adalah pintu kayu bermotifkan tradisional yang ditempah khas.

Dihiasi dengan ukiran kerawang indah serta cermin berwarna berjaya menggamit kenangan bagi anak desa akan kerinduan pada kampung halaman.

Ruangan kecil pada balkoni tidak dibiarkan polos begitu sahaja apabila Shahmanzal kreatif membina sendiri sebuah taman kecil siap dilengkapi dengan kolam ikan.

Menurut Shahmanzal, dia memperuntukkan sejumlah RM3,000 untuk membina taman mini itu yang juga dihiasi dengan tumbuhan segar menghijau.

Process time in ms: 47