RUANG

Dekorasi gudang usang Hotel YouniQ

Dekorasi gudang usang Hotel YouniQ

HIASAN yang kemas, minimal dan menyejukkan mata menghiasai bilik untuk dua orang.


Terletak di Bandar Baru Salak Tinggi Business Park, Sepang, Selangor, The YouniQ Hotel mampu menarik perhatian sesiapa yang melalui kawasan itu.

Ini kerana, warna dan hiasan luarnya jauh lebih garang dan terang berbanding lot-lot lain yang terdapat di situ.

Melangkah ke ruang lobi, mata tetamu pasti melihat ke serata arah. Seperti ada rasa ingin tahu dan tidak puas hati jika tidak melihat dekorasi ruangan itu yang kelihatan seolah-olah kerja pembinaan yang belum siap.

Manakan tidak, binaan bata pada bahagian dinding dibiarkan tanpa lepaan simen, manakala lantai pula hanya dilapisi mozek biasa.

Bagaimanapun, elemen tadi berjaya mencipta feature wall yang bertindak sebagai titik tumpu ruang kepada ruang lobi itu.

Mula beroperasi sejak Oktober 2012, The YouniQ Hotel telah melalui beberapa proses transformasi dan ia menghasilkan pertindihan antara elemen lama dan baharu.

Menggabungkan beberapa elemen dalam dekorasi, pengurusnya, Alex Yiek berkata, konsep hotel itu mendapat inspirasi daripada gudang usang era 1980-an dan ia sengaja dipilih untuk menerbitkan rasa ketidaktentuan dalam hati pengunjung.

“Kami sengaja memilih dekorasi yang kelihatan pelik, tidak kemas dan boleh mencetuskan rasa tidak menentu kepada tetamu. Ia menjadi taruhan kami kerana gaya yang kuat, kasar dan asli ini sebenarnya akan tahan lebih lama dan tidak lapuk ditelan zaman,” katanya ketika ditemui kru Jurnal.

Angka Roman

Di satu sudut lain, ruang makan dibezakan dengan bahagian lobi menerusi penataan perabot berwarna hitam dengan suntikan warna merah jambu dan kuning bagi memberi kontradiksi sekali gus menyerlahkan ciri-ciri artistik.


Dinding bata mencipta feature wall yang bertindak sebagai titik tumpu ruang.


Perabot bercirikan Inggeris, potret figura terkenal seperti tokoh politik Myanmar, Aung San Suu Kyi dan subjek karya pelukis agung, Leonardo Da Vinci, Mona Lisa disusun untuk membentuk komposisi yang kuat.

Selain itu, jam dinding antik dengan angka Roman memberi kesinambungan visual kepada dekorasi hotel.

Dengan slogan ‘bukan sekadar hotel biasa’, rekaan itu juga merupakan ekspresi jiwa muda di sebalik pengurusan hotel tersebut. Dekorasi hotel transit berkenaan menjadi bukti bahawa ia sememangnya tampak berani, seksi dan tenang.

Tambah Alex, gaya eksperimental dan tidak konvensional itu memberi cabaran kepada pengurusan hotel untuk menyediakan ruang yang selesa kepada tetamu.

Dia mengakui, rekaan unik itu sering mendapat reaksi berbeza daripada pengunjung hotel.

“Tetamu dari luar negara lebih cenderung untuk berasa selesa dengan reka bentuk begini. Mereka sudah terbiasa kerana konsep seperti ini mungkin banyak diguna pakai di hotel-hotel luar negara,” jelasnya sambil memberitahu, pengunjung tempatan sebaliknya berpendapat rekaan hotel itu tidak ubah seperti bangunan yang masih dalam pembinaan.

The YouniQ Hotel setinggi empat tingkat itu mendapat namanya hasil gabungan daripada perkataan Inggeris iaitu young dan unique yang membawa maksud muda dan unik.

Mendapat sentuhan perunding hiasan dalaman, The YouniQ Hotel tidak mengehadkan dekorasi kepada satu-satu rekaan berdasarkan trend semasa kerana enggan berada dalam kelompok tipikal.

“Kami enggan mengikut ‘peraturan’ biasa perhotelan. Kami mahu mencipta peraturan sendiri,” tegas Alex.

Dekorasi bilik diteruskan dari hiasan di lobi dengan batu bata menghiasi dinding. Warna ungu mendominasi bilik, manakala lampu berwarna biru dipasang di laluan antara bilik-bilik itu.

Pada malam hari, hotel itu akan kelihatan lebih meriah kerana dilimpahi cahaya biru, merah jambu dan ungu dari luar mahupun di dalam hotel.


The youniQ Hotel menyediakan ruang makan untuk sarapan pagi.


Kira-kira 90 peratus pengunjung hotel itu merupakan pelawat dari luar negara yang datang ketika musim percutian dan perlumbaan Formula Satu di Litar Antarabangsa Sepang.

Backpacker room

The YouniQ Hotel menawarkan pelbagai jenis bilik untuk tetamu antaranya bilik Standard, Superior dan Super Deluxe untuk dua orang.

“Ketiga-tiga jenis bilik ini berbeza dari segi saiz dan pemandangan, manakala bagi keluarga, kami menyediakan bilik Family 3, Family 4 dan Family 5 mengikut jumlah tetamu,” tambahnya.

Selain itu kita juga menyediakan backpacker room yang diasingkan mengikut jantina untuk mereka yang mahu berjimat pada harga sekitar RM50 untuk semalam,” ujarnya.

Alex berkata, hotel berkenaan menyediakan perkhidmatan layan diri untuk dobi dan gimnasium mini. Dari segi pengangkutan, tetamu juga tidak perlu gusar kerana pihak hotel menawarkan perkhidmatan van pengantara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 dan ke Litar Antarabangsa Sepang pada harga RM5.30 sehala. Perkhidmatan teksi juga disediakan untuk penumpang yang ingin ke tempat lain.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 47