RUANG

Kediaman pencinta hitam putih

Kediaman pencinta hitam putih

MONOKROM hitam dan putih yang dicipta tidak kelihatan membosankan melalui penataan dekorasi yang bersesuaian.


SEBAIK pintu apartmen dikuak luas, pandangan mata kru Jurnal terus disaji dengan suasana berlatarbelakangkan rona putih yang mendominasi segenap ruang kediaman.

Baru berpindah ke salah sebuah unit di M City, Jalan Ampang, Kuala Lumpur kira-kira empat bulan lalu, pemiliknya yang hanya mahu dikenali sebagai Nur sememangnya menginginkan warna putih untuk rumahnya itu kerana beranggapan ia memberi ilusi luas, bersih dan kemas.

Hasrat tersebut kemudian disuarakan Nur kepada pereka hiasan dalaman yang berjaya menzahirkan dekorasi ringkas berkonsepkan Scandinavia minimalis dalam palet warna pilihan.

Meskipun menerima khidmat perunding hiasan dalaman, Nur tetap menyuntik sentuhan peribadi kepada kediamannya itu dengan menambah beberapa koleksi kesayangan seperti tumbler Starbucks dan patung beruang Hard Rock Cafe.

Menurut Nur, kedua-dua jenis item tersebut bukan sekadar menyeri ruang, malah memiliki nilai sentimental tersendiri.

“Kesemuanya dibeli di setiap negara yang dikunjungi sebagai tanda kenang-kenangan. Setiap satu daripada tumbler Starbucks ini misalnya ditulis dengan nama bandar di sesebuah negara.

“Ia tidak boleh didapati di tempat lain dan untuk mendapatkannya, anda perlu ke bandar berkenaan. Ini menjadikannya antara koleksi berharga buat saya,” katanya.

Kediaman bercahaya

Gemar melancong dan mengembara, Nur mengilhamkan dekorasi minimalis itu selepas terpesona melihat keringkasan kediaman orang Jepun ketika kunjungan ke Tokyo tidak lama dahulu.

“Saya suka menginap di rumah sewa percutian yang dicari melalui portal tempahan Airbnb. Ia memberi suatu pengalaman baharu kerana tidak seperti hotel, pelancong berpeluang menginap di rumah penyewa yang juga adalah penduduk tempatan.


KERUSI dan meja makan dalam warna hitam dan putih mencipta kesenadaan kepada konsep dekorasi.


“Ia secara tidak langsung memberi peluang untuk kita lihat rumah orang di luar negara secara lebih dekat,” ceritanya yang berpeluang mengunjungi kira-kira 24 buah negara termasuklah Australia, New Zealand, Korea Selatan, Taiwan, Itali, Perancis, United Kingdom dan Jerman.

Pengalaman tersebut juga turut mencetuskan idea buat Nur untuk mengolah kediamannya di ibu kota itu menjadi rumah sewa percutian.

“Kita jarang berpeluang merasai suasana kediaman di hotel dan sebab itulah saya mengilhamkan dekorasi sebegini supaya pengunjung dapat rasa seperti berada di rumah mereka sendiri,” jelasnya yang menyasarkan pelancong asing untuk rumah Airbnbnya itu.

Diberi nama ‘casaan_nur’, Nur yang berasal dari Banting, Selangor mengilhamkan nama tersebut daripada perkataan ‘casa’ yang bermaksud rumah atau kediaman dalam bahasa Sepanyol.

“Annur pula bersempena nama saya sebagai pemilik. Ia juga membawa erti cahaya dalam bahasa Arab, jadi maksudnya kediaman bercahaya,” ujar anak kedua daripada lima adik-beradik itu sambil tertawa kecil.

Mungkin seloroh Nur ada benarnya memandangkan ruang apartmen itu ternyata kelihatan ‘bercahaya’ kerana dilimpahi sinaran lampu dalam bentuk gantungan mentol yang kelihatan seakan-akan candelier.

Berlatarbelakangkan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur, kewujudan jendela ukuran lantai ke siling bukan sahaja bertindak sebagai titik fokus, malah membawa masuk cahaya semula jadi dari luar ke dalam sekali gus menjadikan kediaman tersebut tampak lebih luas.

Aura segar

Visual interior juga tertumpu kepada gabungan unsur artistik monokrom hitam dan putih yang boleh dilihat di bilik tidur dan ruang dapur menerusi pemilihan kerusi meja makan dalam rona tersebut.


TUMBLER Starbucks yang dibeli di luar negara menjadi antara item dekorasi kesayangan Nur.


Bagi mengelakkan ruang kelihatan polos, hiasan pokok bunga diletakkan di atas meja dan beberapa penjuru untuk menyuntik aura segar selain membangkitkan suasana hidup pada kediaman tersebut.

Selain itu, gantungan tulisan kata-kata motivasi turut diletakkan pada dinding bagi memberi sedikit kelainan pada dekorasi.

Memiliki keluasan kira-kira 85.5 meter persegi, unit jenis dupleks itu mempunyai sebuah ruang tamu, ruang makan, sebuah bilik dan dua bilik air.

“Kemudahan lain yang disediakan termasuklah arah kiblat, internet, peti ais, mesin basuh, pendingin hawa, seterika, pemanas air, ketuhar gelombang mikro dan perkakas dapur.

“Televisyen pun ada cuma tiada siaran tetapi saya sediakan port USB bersamanya, jadi bolehlah kalau mahu tengok filem yang sudah dimuat turun,” kata Nur.

Nur memberitahu, rumah sewa percutiannya itu juga sesuai disewa untuk majlis sambutan hari lahir dan mampu memuatkan sehingga 10 orang pada satu-satu masa.

“Memandangkan unit ini dua tingkat, ia memiliki dua akses iaitu menerusi pintu utama ke ruang tamu dan sebuah lagi pintu masuk di tingkat atas.

“Keadaan ini sesuai buat sesiapa yang mahu menganjurkan majlis hari jadi kerana anda boleh membuat kejutan dengan masuk menerusi pintu yang satu lagi itu,” ujarnya.

Process time in ms: 46