RUANG

Minimalis ceriakan Kayan + Co

Minimalis ceriakan Kayan + Co

RUANG luar kafe yang boleh memuatkan sehingga 50 orang pelanggan pada satu-satu masa.


PAPAN tanda kayu berbentuk hexagon atau segi enam tertulis perkataan Kayan + Co itu tidak sukar dicari dari bahu Jalan Reko, Kajang, Selangor.

Sebaik sahaja kereta diparkir, kru Jurnal terus melangkah masuk ke dalam ruang kafe yang cukup ringkas hiasannya itu, namun masih punya tarikan tersendiri.

Susun atur perabotnya kemas dan kafe terbahagi kepada dua ruang utama iaitu ruang dengan pendingin hawa dan ruang makan terbuka.

Rona selamat iaitu hitam dipilih pada kedua-dua ruang itu bagi menyuntik elemen ringkas dalam menata rias keseluruhan kawasan kafe.

Sebaik sahaja pintu dikuak, kru Jurnal disambut seorang wanita muda berbaju ungu muda yang sedang tersenyum manis. Memperkenalkan diri sebagai Sharifah Nursabrina Syed Hassan, 27, dia yang lebih mesra disapa Sabrina itu lantas membuka bicara tentang penubuhan kafenya yang baru sahaja berusia sebulan.

“Kayan + Co dibuka secara rasmi pada 5 Oktober lalu dan ia diusahakan sepenuhnya bersama suami, Mohamad Shahmin Mohamad Razali.

“Konsep kafe yang cuba kami ketengahkan adalah gabungan antara kopi dan galeri perabot.

Galeri perabot

“Maksud galeri perabot di sini ialah jika diperhatikan, meja dan kerusi yang kami gunakan di setiap sudut kafe adalah dari jenis yang berbeza.

“Hal ini kerana selaku pemilik, kami mahu membantu rakan yang merupakan tukang kayu untuk mempamerkan perabot dihasilkan mereka di kafe ini, selain membolehkan pelanggan yang datang untuk melihat secara dekat perabot-perabot yang digunakan,” ujar Sabrina.


Dulang makanan di Kayan + Co ditempah khas oleh pemilik dan ia berbentuk hexagon bagi mencipta kesenadaan dengan logo kafe.


Menurut ibu kepada seorang anak perempuan itu lagi, ia secara tidak langsung boleh membantu rakannya dalam mempromosikan produk perabot berasaskan kayu-kayan yang mereka hasilkan.

Biarpun mengambil langkah berani dengan meletakkan jenis meja yang berlainan di setiap sudut, ia tidak sedikit pun menjadikan ruang kafe tampak serabut.

Bagi kerusi-kerusi di restoran pula, kebanyakkannya adalah dari rona selamat seperti hitam dan putih, namun bagi tidak menampakkan keseluruhan ruang kelihatan membosankan, pemilik turut meletakkan tiga buah kerusi rotan dari rona terang iaitu kuning dan hijau neon di satu sudut kafe.

Bagi penataan cahaya pula, Kayan + Co menggunakan lampu gantung kecil dari rona putih yang diletakkan di segenap ruang kafe.

Antara sudut yang paling menarik perhatian kru Jurnal ialah sudut penyediaan air kerana pemilik menggabungkan hiasan ala Asia Barat pada dinding sudut itu dengan meletakkan jubin-jubin berbentuk segi enam dari rona yang sama, namun berbeza corak.

Kayu-kayan

Hasilnya, sudut itu kelihatan cantik dan menjadi antara sudut paling digemari pelanggan untuk merakam gambar kenangan di Kayan + Co.

Dinding di bahagian kiri kafe pula dicat dengan rona kuning air, namun ia tidak dibiarkan polos.

Sabrina mengupah seorang rakan yang juga merupakan pelukis mural untuk menghasilkan dua mural yang melambangkan sebuah kedai kopi dan menggabungkan dua rona utama iaitu biru firus dan juga jingga.


RUANG kafe dua bahagian dan dipisahkan dengan satu dinding kaca yang besar.


Menurut Sabrina lagi, warna biru firus dipilih bagi mencipta kesenadaan dengan mesin kopi dari rona sama yang digunakan di Kayan + Co.

Bercerita lanjut, Sabrina berkata, dia mahu lari daripada konsep kafe hipster dengan hiasan moden yang sering digunakan oleh kafe-kafe lain di kawasan sekitar.

“Saya sedar bahawa kafe sering menggunakan rona seperti hitam dan putih dengan hiasan perabot moden dan mungkin sedikit artistik.

“Ia bukanlah tidak cantik, namun bagi kafe ini, saya mahu lari sedikit daripada konsep tersebut dan memilih untuk menggabungkan hiasan yang cukup ringkas bersama kepelbagaian perabot bagi menyuntik sedikit kelainan.

“Selain itu, saya mahukan suasana yang cukup santai dan selesa buat seisi keluarga dalam menjamu selera,” ujar anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Bagi pemilihan menu pula, Kayan + Co menyajikan masakan Barat dan hidangan Melayu klasik.

“Antara hidangan Melayu klasik yang kami tawarkan termasuklah menu masakan singgang dan juga menu ubi kayu rebus yang mendapat sambutan hangat,” katanya lagi.

Kafe itu boleh memuatkan sehingga 100 orang pengunjung pada satu-satu masa selain menerima tempahan bagi sebarang majlis seperti majlis sambutan hari lahir dan sebagainya.

Process time in ms: 31