RUANG

Sentuhan mewah kontemporari Inggeris pilihan Nadia

Sentuhan mewah kontemporari Inggeris pilihan Nadia

Ruang tamu kediaman ini kelihatan tidak ubah seperti galeri perabot mewah.


PERTEMUAN singkat dengan seorang teman lama memberi peluang buat kru Jurnal untuk berkenalan dan seterusnya meninjau ruang kediaman milik pasangan suami isteri, Roszuati Zuhari, 33, dan Mohamed Hisham Hashim, 40, yang terletak di Seksyen 7, Kota Damansara, Selangor.

Biarpun kediaman pasangan ini terletak di deretan rumah teres dua tingkat yang dibina pada awal tahun 1980-an, namun siapa sangka susun atur dan dekorasi bahagian dalam kediaman tersebut berjaya membuatkan keseluruhan kediaman tampak eksklusif dan mewah.

Lebih menakjubkan apabila kediaman yang dihuni sejak tahun 2011 itu kelihatan tidak ubah seperti sebuah galeri perabot mewah bagi golongan-golongan kenamaan di Eropah.

Menurut Roszuati yang lebih mesra dipanggil Nadia, kediaman yang mempunyai tiga bilik tidur itu mengetengahkan gabungan konsep klasik dan kontemporari Inggeris.

“Rumah ini sebenarnya rumah lama dan sewaktu kami beli daripada tuan rumah pada tahun 2010, ia kelihatan usang dan sangat teruk.

“Ramai yang tertanya-tanya mengapa kami sanggup melaburkan sejumlah wang hanya untuk membeli kediaman ini. Bagaimanapun, selepas diubah suai dan diberikan sentuhan dekorasi mengikut cita rasa kami, rumah ini kini berubah wajah dan kelihatan seperti kediaman-kediaman baharu yang lain,” jelasnya.

Ujar Nadia lagi, idea untuk menerapkan gabungan konsep klasik dan kontemporari Inggeris pada kediaman yang berkeluasan 150 meter persegi itu diperoleh melalui perkongsian daripada rakan-rakan terdekat selain bahan bacaan di internet.

“Apabila kerap melihat dekorasi dan susun atur kediaman yang mengetengahkan konsep klasik dan kontemporari Inggeris, saya mula jatuh cinta dan cuba untuk mengaplikasikan di kediaman ini.

“Ini kerana, pada asalnya kediaman yang dihuni sejak tahun 2011 ini mengetengahkan konsep gabungan moden kontemporari dan Scadinavia yang banyak menggunakan rona merah serta hijau sebagai warna latar utama.


Kamar beradu utama mendapat sentuhan Inggeris.


“Bagaimanapun, seiring dengan pertambahan usia, saya mengambil keputusan untuk mengubah suai kediaman yang dihuni dengan menerapkan penggunaan warna-warna pastel seperti yang ada pada konsep klasik dan kontemporari Inggeris sekitar penghujung tahun 2014,” jelasnya.

Rizalman Ibrahim

Ujarnya lagi, sepanjang setahun menjalankan proses dekorasi dan pengubahsuaian kediaman tersebut, dia banyak menjadikan sentuhan dekorasi kediaman milik pereka fesyen tersohor tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim sebagai sumber inspirasi.

Melihatkan keseluruhan ruang tampak begitu mewah dan mempunyai eksklusiviti yang tersendiri, pasti ramai yang menyangka pasangan ini mendapatkan khidmat daripada pakar hiasan dalaman.

Bagaimanapun, menurut Nadia, kesemua susun atur dan dekorasi di dalam kediaman tersebut diolah menggunakan idea dan imaginasinya sendiri tanpa menggunakan sebarang bantuan orang luar.

Ternyata, pemilik begitu bijak menggayakan susun atur dekorasi dan penggunaan aksesori di segenap kediaman.

Ini kerana, bagi mengelakkan kediaman tampak sarat, Nadia menggunakan aksesori ringkas seperti jambangan bunga berwarna kontra dan penggunaan lampu meja yang bersesuaian di sudut-sudut tertentu supaya ia mampu menaikkan lagi seri kediaman.

Bagi memperlihatkan ilusi luas pada keseluruhan kediaman, Nadia meletakkan cermin berpotongan ringkas pada dinding utama di bahagian meja makan.

Jelas Nadia lagi, rata-rata barang yang memenuhi kediaman tersebut dibelinya di gedung aksesori dan hiasan SSF.

Menurut wanita yang merupakan peniaga barangan online ini lagi, dekorasi kediaman begitu penting kerana ia mampu memberi kepuasan kepada dirinya selain mewujudkan perasaan selesa ketika berada di rumah.


Nadia (kanan) begitu menitikberatkan dekorasi dan kekemasan rumah kerana ia memberi ketenangan kepada dia dan keluarga.


Simpan tong cat

Disebabkan itu, dia tidak ralat untuk membelanjakan lebih RM100,000 untuk kos dekorasi dan pengubahsuaian keseluruhan kediaman tersebut.

Jika dilihat secara teliti pada keseluruhan kediaman, boleh dikatakan hampir 80 peratus daripada ruang tersebut disimbahi dengan rona-rona pastel seperti coklat cair, krim dan putih.

Menurut Nadia, selain tampak luas dan bersih, penggunaan warna-warna tersebut juga mampu mewujudkan suasana redup mata memandang serta membuatkan penghuni berasa tenang dan selesa.

Bagaimanapun, Nadia mengakui penggunaan warna-warna tersebut agak sukar untuk dijaga kerana ia mudah menonjolkan kesan-kesan kotor.

Disebabkan ibu kepada lima orang cahaya mata ini begitu teliti dan mementingkan kekemasan kediamannya, Nadia mendakwa, dia sanggup menyimpan satu tong tin cat warna putih supaya ia boleh digunakan untuk mengecat semula pada mana-mana permukaan dinding yang kotor.

Biarpun begitu, menurut Nadia lagi, perkara tersebut tidak menjadi satu masalah buatnya kerana ia memberi kepuasan untuk dirinya yang banyak menghabiskan masa di rumah.

Rencana Utama!»

Kurang 10 tok dalang masih aktif

HOCK SENG menunjukkan patung-patung yang digunakannya sewaktu persembahan wayang kulit.

GenK»

Bazar Orikami TAR UC pamer produk berkualiti tinggi

Ruangan yang memaparkan kisah-kisah kejayaan para pelajar dan alumni TAR UC turut mencuri tumpuan.

Varia!»

Jaga tepi kain orang cara tangani isu sosial

Akses mudah kepada internet antara faktor kepada anak muda bebas bergaul antara satu sama lain. – Gambar hiasan

[email protected]!

Process time in ms: 32