RUANG

Santai Scandinavia The Hideout

Santai Scandinavia The Hideout

KARMILA (duduk, dua dari kiri) dan suaminya, Adam Khan (duduk, dua dari kanan) bersama sebahagian kakitangan The Hideout.


Kunjungan ke D’Vida Business Centre di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini membawa kru Jurnal ke kafe The Hideout. Seperti namanya, premis tersebut terletak di sebelah belakang deretan kedai menjadikannya sedikit tersorok berbanding kedai-kedai lain.

Pun begitu, papan tanda besar yang diletakkan di kaki lima dan depan bangunan secara tidak langsung berfungsi sebagai penunjuk arah kepada sesiapa yang mahu berkunjung ke kafe berkenaan.

Umpama permata yang tersembunyi, The Hideout tidak perlu diperkenalkan lagi khususnya dalam kalangan pelanggan setianya. Mula beroperasi sejak November tahun lalu, premis tersebut menyajikan lokasi sempurna buat pengunjung yang mahukan suasana privasi tatkala menjamu selera bersama keluarga dan rakan-rakan.

Menerima sentuhan dekorasi ala kediaman dengan pesona konsep Scandinavia, pengunjung pasti berasa selesa dan tenang seperti berada di rumah sendiri.

Manakan tidak, setiap sudut di premis berkeluasan 278.7 meter persegi itu ditata rias bagai ruang tamu kediaman menerusi penataan sofa, meja kopi dan rak almari.

Bantal comel

“Kami cuba buat kafe yang sesuai untuk semua peringkat umur dan latar belakang pekerjaan baik buat golongan profesional, pelajar, keluarga dan juga anak-anak muda.

“Kadang-kadang ada antara pelanggan yang mahu berbincang tentang urusan kerja atau bisnes tetapi tiada lokasi sesuai untuk mereka. Dilemanya sama ada lokasi tersebut terlalu padat dan bising sehingga rasa tidak selesa ataupun harga yang dikenakan terlampau mahal sampai nak masuk pun rasa takut.

“Jadi di The Hideout, kami cuba tampilkan dekorasi minimum selain seleksi makanan yang lazat serta berkualiti supaya pengunjung rasa dialu-alukan di sini,” kata pemiliknya, Datin Karmila Abdul Rahman.


PENATAAN sofa dan meja kopi membuatkan pengunjung berasa seperti di ruang tamu kediaman sendiri.


Mengambil inspirasi daripada gaya dekorasi kediaman negara-negara di bahagian Eropah Utara seperti Denmark, Norway, Sweden dan Finland, Karmila berkata, konsep Scandinavia menerapkan karakter hiasan dalaman yang sederhana, namun masih membangkitkan cita rasa moden.

“Saya memang secara peribadi menyukai konsep tersebut kerana merasakan ia ringkas tetapi nampak cantik dan kemas. Lagipun, ia seperti trend terbaharu kerana menjadi pilihan ramai penggemar hiasan dalaman sejak akhir-akhir,” ujarnya.

Karmila memberitahu, dia tidak menggunakan khidmat perunding hiasan dalaman sebaliknya menghias sendiri dengan bantuan suami, Datuk Adam Khan dan kakitangan kafe yang lain.

“Ada sebahagian item dekorasi di sini yang memberi nilai sentimental kepada saya kerana dibeli ketika bercuti di luar negara termasuklah semasa ke Thailand dan Melbourne, Australia,” tuturnya.

Sekiranya dilihat pada pemilihan perabot, Karmila selesa menggunakan kerusi dan meja makan berkarakter termasuklah sofa, meja kopi, kerusi dan meja makan berkaki tinggi.

Katanya, ia bagi memberi dimensi dan segmen berbeza mengikut cita rasa pelanggan.

“Ada yang selesa duduk di sofa dan tidak kurang yang suka kerusi tinggi kerana merasakan lebih mudah untuk makan, menyiapkan tugasan atau sekadar mahu menikmati suasana di sini,” jelasnya.

Cahaya semula jadi

Bantal-bantal comel dengan motif cetakan berbeza juga secara tidak langsung menzahirkan kreativiti pemilik selain memberi sisi kontra kepada sofa berona polos.

Di sudut lain, bingkai-bingkai gambar hitam putih serta poster vintaj pula bertindak sebagai penyeri di samping menyuntik nilai estetika tersendiri.


MENU fusion seperti pasta sos fusion pesto, tortilla dan kari kambing krim berempah bersama nasi mentega menjadi antara kegemaran pelanggan di The Hideout.


Berani bermain dengan cat biru dan kuning sebagai rona utama dinding, The Hideout ada alasan memilih warna berkenaan sebagai menonjolkan kontradiksi kepada palet warna tanah perabot yang digunakan.

Sebahagian besar dinding yang kosong juga tidak dilupakan sebaliknya dihias dengan gantungan bingkai-bingkai gambar berbeza saiz yang secara tidak langsung mewujudkan feature wall yang menjadi titik tumpu ruang.

Kafe tersebut turut kelihatan lebih lapang menerusi dinding kaca yang secara tidak langsung membenarkan pencahayaan semula jadi menerobos masuk ke dalam premis.

Memiliki kapasiti 80 buah tempat duduk, kafe yang mampu memuatkan sehingga 300 orang pelanggan pada satu-satu masa itu juga menjadi pilihan pelanggan untuk mengadakan majlis seperti sambutan hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan perjumpaan semula.

Karmila memberitahu, The Hideout menawarkan menu fusion di mana makanan yang disajikan adalah pelbagai dan tidak tertumpu kepada satu-satu hidangan sahaja.

Antara menu signatur yang menjadi pilihan pelanggan termasuklah pasta dengan sos pesto, salmon panggang, kari kambing krim berempah bersama nasi mentega, stik teriyaki, nasi ayam dan tortilla pada harga RM6 ke atas.

Selain itu, kafe tersebut juga turut menawarkan minuman berasaskan kopi seperti kopi shakerato selain coklat bersama kacang hazel, vanila ros bandung, teh hijau latte dan moktel buah-buahan.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 47