GARAJ

Haval H2 dilancarkan

Haval H2 dilancarkan



PENGEDAR tunggal jenama Haval di Malaysia, Go Auto baru-baru ini telah melancarkan model SUV terbaharu. SUV yang dikenali sebagai Haval H2 dibawa masuk selepas model M4 yang diperkenalakan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan.

Kehadiran model Haval H2 pasti dijangka akan mengembangkan lagi jualan produk Haval di Malaysia.

SUV baharu itu menggunakan enjin petrol berkuasa turbo dengan kapasiti 1.5 liter dan transmisi enam kelajuan automatik. Kombinasi kedua nadi utama kenderaan itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 148hp dan tork maksimum 210Nm.

H2 juga hadir dengan ciri-ciri menarik seperti bumbung suria, cermin sisi boleh lipat, kerusi pemandu elektrik enam cara, paparan pelbagai maklumat dan pendingin hawa dwi-zon automatik.

Antara ciri-ciri keselamatan pada H2 seperti enam beg udara, program stabiliti elektronik, ABS dengan brek parkir elektrik, Blind Spot Visual System dan sistem pemantauan tekanan angin tayar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman, Haval H2 dibawa masuk sebagai naik taraf versi M4 Sporty.

Katanya, walaupun M4 disasarkan kepada golongan profesional muda, namun H2 lebih sesuai untuk mereka yang inginkan lebih mewah.

"M4 telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan peminat SUV di mana ia telah menerima lebih daripada 1,600 tempahan tahun lepas.Kehadiran model H2 pasti akan mengembangkan produk kami yang akan sesuai dengan gaya hidup dan keperluan segmen pasaran yang lebih luas.

"Kami yakin dengan kehadiran kedua-dua model H2 dan M4, kita dapat memperoleh lebih 6,000 tempahan tahun ini,"katanya.

Harga Haval H2 bermula dari RM89,950.





Process time in ms: 15