SUKAN

Hadiah terbaik sempena Hari Ibu

Hadiah terbaik sempena Hari Ibu


SHEREEN (kanan) meraih pingat gangsa acara 400 meter wanita pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Doha, Qatar semalam.


ATLET olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy menyifatkan motivasi daripada ibunya menjadi kunci kejayaan dia meraih pingat gangsa acara 400 meter wanita Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Doha, Qatar semalam.

Shereen mendedahkan, ibunya, Josephine Mary Singarayar yang juga bekas pemegang rekod kebangsaan acara 400m wanita mahukan kalungan pingat sebagai hadiah terbaik sempena Hari Ibu kelmarin.

Atlet berusia 17 tahun itu akhir­nya berjaya melakukan catatan masa 55.14 saat untuk memenangi pingat gangsa selepas layak ke final dengan mencatatkan 56.04s pada saingan separuh akhir kelmarin.

“Ini adalah kejohanan antarabangsa pertama saya tahun ini dan saya sangat gembira dengan kejayaan memenangi pingat gangsa pada edisi pertama ini.

“Ini hadiah yang amat bermakna sempena Hari Ibu kerana sebelum saya berlari, dia (Josephine) beritahu hadiah terbaik buat dirinya ialah melihat saya berdiri di atas podium.

“Terima kasih kepada ibu atas motivasi dan latihan diberikannya sepanjang karier sukan saya sehinggalah saya berada di bawah bimbingan jurulatih Jayabalan (Karuppiah),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pelari pecut kelahiran Perak itu turut memberitahu, tempat ketiga pada peringkat remaja benua Asia tersebut menjadi ‘batu loncatan’ buatnya untuk meraih kejayaan lebih besar selepas ini.

“Saya berharap dapat memperbaharui rekod peribadi terbaik (54.96s dilakukan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Mac lalu), namun saya tetap berpuas hati dengan catatan 55.14s ini.

“Ini adalah langkah pertama untuk saya melakukan yang lebih baik, mungkin sekali lagi dapat menduduki podium pada temasya Sukan SEA di Singapura bulan depan.

“Selain itu, saya berazam untuk memecahkan rekod ibu saya iaitu 52.65s (dipecahkan oleh Rabia Abdul Salam pada 1993 dengan catatan 52.56s) sewaktu saya berusia 19 tahun kelak,” jelasnya.

Sebagai rekod, pingat emas 400m wanita Kejohanan Olahraga Remaja Asia itu dimenangi atlet Bahrain, Salwa Eid Naser Naser (53.02s), manakala perak menjadi milik pelari dari India, Jisna Mathew (53.84s).

Dalam perkembangan lain, seorang lagi wakil Malaysia, Russel Alexander Nasir Taib memenangi pingat gangsa 400m kategori lelaki dengan catatan masa 49.07s.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 47