HIBURAN

Azad, Eira nafi berstatus jutawan

Azad, Eira nafi berstatus jutawan


EIRA SYAZIRA dan Azad Jazmin kini bergelar pasangan penyanyi duet.


BAGAIKAN sudah menjadi lumrah, kejayaan atau rezeki yang datang bergolek kepada seseorang pasti akan mengundang pelbagai andaian dan skeptikal khalayak sekeliling.

Itulah yang dialami oleh pasangan pelakon suami isteri, Azad Jazmin, 38, dan Eira Syazira Shuhaimi, 30.

Selepas berjinak-jinak dengan bisnes berkonsepkan pemasaran rangkaian, sekitar pertengahan tahun 2014, kini pasangan tersebut didakwa sudah menyandang status jutawan. Telahan itu dibuat setelah ramai merasakan bisnes yang mereka usahakan mula membuahkan hasil lumayan.

Bertemu dengan Azad dan Eira pada majlis pelancaran album duet sulung mereka, Azad Eira di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Azad menjelaskan, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali.

Belum sampai ke tahap jutawan seperti yang diperbesarkan, namun tegas pelakon filem Kolumpo itu, benar, bisnes yang diusahakan bersama isterinya sejak enam bulan lalu itu, sudah menunjukkan peningkatan positif.

Kosmo!: Benarkah ada dakwaan mengatakan Azad kini sudah bergelar jutawan?

AZAD: Dakwaan tersebut tidak benar. Saya sendiri terkejut apabila mendengarnya. Tapi, apa yang benarnya, perniagaan yang kami ceburi telah menunjukkan perkembangan yang positif.

Adakah bidang baharu itu lebih menguntungkan daripada bidang lakonan?

Apa yang boleh saya katakan, saya dan isteri selesa menjalankan perniagaan. Setakat ini, lebih banyak rezeki kami datang daripada cabang perniagaan yang dijalankan. Secara tidak langsung, menjadikan kami lebih bersemangat dan fokus terhadap bidang ini.

Tidakkah anda berdua gusar dengan ancaman yang bakal berlaku apabila orang ramai sewenang-wenangnya melabel kalian sebagai jutawan?

Sejujurnya, saya dan Eira berasa sedikit cuak. Iyalah, kita tidak boleh jangka apa yang difikirkan oleh orang lain. Sebagai langkah keselamatan, kami akan lebih berjaga-jaga apabila keluar berseorangan mahupun bersama-sama.

Benarkah anda sudah terlalu selesa dengan dunia perniagaan sehingga enggan kembali berlakon?

Buat masa ini, saya mahu fokuskan sepenuh perhatian terhadap bidang perniagaan. Sudah hampir tujuh bulan saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan. Tambahan pula, saya dan Eira kini dilantik sebagai duta jenama Kopi Mamu Galak dan Jus Mami Donna Rapat. Bukan mahu melupakan terus dunia lakonan, tetapi saya sedikit selektif terhadap skrip yang ditawarkan.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Selain album duet bersama Eira, dalam masa terdekat ini juga saya bakal ke Itali untuk penggambaran filem Poscard From Italy tidak lama lagi bersama Keith Foo dan Lara Dutta.

Bercerita mengenai album duet yang baru dilancarkan, dramatis yang popular dengan watak air mata, Eira Syazira berkata, idea terlahirnya buah tangan sulung bersama Azad itu tercetus secara tidak sengaja.

Kosmo!: Bagaimana Eira boleh terfikir untuk menghasilkan album duet?

EIRA: Selepas mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu, kami merakamkan lagu Sajak Dari Hati ciptaan Adi Priyo Sambodo. Lagu itu asalnya dihasilkan sebagai hadiah sentimental untuk meraikan status kami sebagai suami dan isteri. Namun, belum sempat menjalankan sebarang promosi, saya hamil anak sulung kami, Amarra Sofea Rose yang kini sudah berusia satu tahun. Akibat kekangan masa, projek tersebut ditangguhkan.

Apakah yang anda lakukan selepas tertangguhnya projek berkenaan?

Setelah merakamkan beberapa single, Adi memberi cadangan supaya mengumpulkan lagu-lagu tersebut ke dalam sebuah album untuk diterbitkan. Pada awalnya, album ini hanya memfokuskan kepada lagu solo nyanyian saya sahaja. Tetapi, setelah Adi menilai keserasian vokal kami berdua, Adi mencadangkan agar Azad turut terlibat sama dalam pembikinan album yang mengandungi lima buah lagu ini.

Adakah ini percubaan pertama anda dan suami sebagai penyanyi?

Ini merupakan percubaan pertama Azad, tetapi tidak buat saya. Sebelum ini, saya pernah dilamar untuk merakamkan album oleh syarikat rakaman FGM dua tahun lalu, namun, album tersebut terkubur tanpa khabar berita.

Siapakah yang memberikan tunjuk ajar kepada anda ketika merakamkan lagu?

Azad yang banyak memberikan teguran jika nyanyian saya salah. Walaupun dia dikenali sebagai pelakon namun, dia tahu tentang selok- belok nyanyian.

Adakah anda tidak kisah disamakan dengan pasangan duet popular, Nurul dan Ajai?

Kami anggap Nurul dan Ajai sebagai idola kami dan mereka juga banyak memberikan inspirasi kepada kami untuk menyanyi.

Process time in ms: 79