RENCANA UTAMA

Kesedaran awam masih rendah

Kesedaran awam masih rendah

ANTARA program MDDB mendidik masyarakat mengenai anjing.


JIKA berbicara mengenai adi wira haiwan jalanan, nama Hero pasti meniti di bibir peminat kucing.

Kedua-dua kaki depannya dipotong kerana mencuri seekor ikan dan perjuangan hidupnya selepas ditindas sering menjadi inspirasi kepada masyarakat Malaysia.

Umpama mengulangi semula sejarah itu, pada Mei lalu masyarakat kita dikejutkan dengan kejadian seekor anjing buta dipanah oleh seorang lelaki dalam kejadian di Taman Sinaran, Taming Jaya, Balakong, Selangor.

Sekali lagi kerakusan amarah manusia menyebabkan anjing jenis Rottweiler itu mati kira-kira seminggu selepas diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) haiwan iaitu Malaysian Dogs Deserve Better (MDDB).

Menceritakan kembali saat itu, pengasas MDDB yang juga aktivis haiwan, Wani Muthiah berkata, pemanah tersebut mengaku bersalah dan insaf terhadap perbuatannya kepada Brianna.

Dia yakin pelaku tersebut menyalahertikan salakan Brianna sebagai ancaman, walhal anjing tersebut meminta pertolongan.

"Menyalak merupakan kaedah anjing untuk berkomunikasi. Kadangkala salakan tersebut agresif tetapi tidak berbahaya.

"Kejadian yang berlaku terhadap Brianna amat malang. Saya difahamkan, dia sesat di kawasan perumahan tersebut sejak beberapa hari dan diganggu kanak-kanak di kawasan berkenaan.

"Oleh kerana usia Brianna yang sudah tua, anjing tersebut hanya mampu menyalak, pasif dan tidak menyerang. Tujuannya sama ada untuk meminta pertolongan, kelaparan dan merayu supaya jangan diganggu," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun Wani berkata, wujud hikmah di sebalik 'pemergian' Brianna. MDDB kini memperkukuhkan kerjasama dengan beberapa NGO dan aktivis haiwan bagi membuat laporan berhubung kejadian kejam itu .

Katanya, berdasarkan maklum balas di laman web rasmi MDDB dan Facebook, pihaknya berjaya mengumpulkan lebih 100 laporan.

Lebih mengejutkan Wani mendedahkan, kira-kira 50 peratus daripada jumlah tersebut dilakukan oleh golongan Melayu dan beragama Islam.

Sering didera

"Saya percaya isu penderaan haiwan tidak melibatkan kaum tertentu. Kucing mahupun anjing, kedua-dua binatang ini sering didera oleh manusia.

"Berdasarkan pengalaman MDDB, terdapat juga haiwan yang diselamatkan, dibuang oleh pemilik masing-masing kerana faktor usia dan sering jatuh sakit," ujarnya.

Jelasnya, kegagalan masyarakat mengenal sifat sebenar anjing menyebabkan pemahaman skeptikal mengenai haiwan itu dikaitkan dengan sifat ganas dan agresif.

"Anjing sebenarnya haiwan yang amat penyayang, setia dan manja. Anjing juga haiwan yang gemar bersosial," terangnya yang menyarankan supaya haiwan tersebut dikasi sebelum dibela sebagai haiwan peliharaan.

Sehubungan itu, setiap empat bulan sekali, MDDB menganjurkan program pengambilan anak angkat anjing. Program itu bertujuan mencari pemilik baharu untuk anjing yang diselamatkan.

Wani berharap program tersebut mampu menjadi wadah MDDB menyalurkan maklumat mengenai anjing. Pengetahuan itu melibatkan cara penjagaan, sifat-sifat dan memberi ruang kepada 'pembenci' anjing untuk mendekati haiwan tersebut.

Di Malaysia, kucing merupakan 'rakan karib' manusia. Siapa yang tidak jatuh cinta melihat telatah si comel ini tatkala bermanja dan bermesra.

Bulunya yang gebu, bijak melakukan aksi menambat hati, membuatkan haiwan kesayangan Rasulullah SAW itu menjadi pilihan sebagai haiwan peliharaan.

Walaupun diangkat sebagai haiwan yang akrab dengan manusia, haiwan itu masih gagal meloloskan diri daripada menjadi mangsa dera manusia.

Dijirus air panas, ditendang, dikejar dengan penyapu merupakan perbuatan lazim manusia sehingga mendatangkan kecederaan kepada haiwan tersebut.

Presiden Stray Cats Rescue And Treatment Community Help (SCRATCH) yang sebelum ini dikenali sebagai Kucing Terbiar & Anjing Jalanan (KTAJ), Mohd. Azrin Mohd. Azali mengeluh panjang tatkala diajukan soalan mengenai kesedaran masyarakat terhadap isu penderaan terhadap haiwan.


KUCING peliharaan tidak terkecuali menjadi kucing jalanan selepas dibuang pemilik masing-masing.


"Sama ada kucing atau anjing, kedua-duanya sering menjadi mangsa buli manusia. Kesedaran kita terhadap tanggungjawab membela nasib haiwan masih pada tahap yang membimbangkan," jelasnya.

Mengulas lanjut, jejaka berusia 35 tahun itu runsing memikirkan kelangsungan hidup haiwan jalanan sekiranya kesedaran orang awam masih pada tahap yang rendah.

Katanya, ia berpunca daripada didikan di rumah yang jarang menerapkan mengenai kepentingan manusia menjaga hubungan baik dengan haiwan.

"Kesilapan kita ialah menganggap kucing sebagai haiwan peliharaan. Pendekatan itu salah kerana kita perlu menyayangi haiwan peliharaan seperti mana keluarga.

"Jika perasaan sayang tidak wujud, inilah keadaan yang sering membimbangkan NGO seperti kami," jelasnya ketika ditemui di Pusat Perlindungan Kucing Ahli Parlimen Putrajaya di Presint 9B, Putrajaya.

Jika MDDB menganjurkan program pengambilan anak angkat bertujuan menyebarkan maklumat mengenai anjing, Mohd. Azrin mengambil pendekatan membawa sukarelawan ke pusat jagaan haiwan.

Antara pusat yang sering dikunjunginya ialah Pusat Perlindungan Kucing Ahli Parlimen Putrajaya yang disifatkan Mohd. Azrin sebagai rumah keduanya.

Pusat yang menempatkan kira-kira 200 ekor kucing jalanan dan dibuang pemilik itu sering dilawati pada setiap hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa.

Kehadirannya di pusat berkenaan bertujuan membantu merawat kucing yang kebanyakannya dibuang pemilik selain kucing jalanan di sekitar pusat pentadbiran negara itu.

Sukarelawan

Selain daripada hadir bersama sukarelawan Scratch, Mohd. Azrin turut membawa mana-mana individu dan kumpulan yang mahu membantu menguruskan kucing di pusat itu.

"Melalui aktiviti ini kita mendidik masyarakat untuk cintakan kucing selain berkongsi beberapa tip ringkas mengenai cara penjagaan kucing.

"Ia termasuk 'mencuci' fahaman taboo orang ramai mengenai kucing antaranya mengaitkan kucing dengan punca asma. Ia adalah kenyataan yang tidak benar," ujarnya.

Sepanjang dua tahun bersama Scratch, Mohd. Azrin berkata, dia telah melihat pelbagai jenis kecederaan yang dihadapi kucing sama ada disebabkan oleh kemalangan, didera manusia dan cacat.

Bagaimanapun, pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah ketika menyelamat seekor kucing baka Parsi yang disangkanya kucing tempatan.

"Kejadian ini berlaku kira-kira setahun lalu. Kucing itu berada di Bangsar dan ia sangat kurus. Sewaktu diselamatkan bulunya nipis.

"Selepas tiga bulan dijaga, bulu sebenar kucing tersebut kembali cantik dan baharu saya sedar ia baka Parsi.

"Selama ini saya berpendapat baka Parsi yang harganya mencecah sehingga RM5,000 seekor tidak menjadi mangsa dibuang pemilik," tuturnya.

Sementara itu, Pensyarah Dakwah dan Kepimpinan Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham berkata, konsep hubungan manusia dengan alam disebut dalam al-Quran. Ia termasuk manusia perlu menjaga dan menghormati binatang. Beliau memetik firman Allah dalam surah al-An'am ayat 38 yang bermaksud: Tiada suatu binatang yang melata di bumi, dan tiada yang berterbangan dengan dua sayapnya, melainkan mereka juga umat-umat seperti kamu.

"Maksud ayat itu jelas menerangkan secara terperinci kedudukan haiwan di sisi Allah SWT. Haiwan juga merupakan hamba-Nya. Di sisi Allah kita semua sama," katanya.

Rencana Utama!»

Hanya 100 kes dikesan di seluruh dunia

Lyla-GRACE (kiri) memiliki rambut berwarna perang muda berbanding adik-beradiknya yang lain.

Pesona!»

Didik anak-anak makan sayur, buah-buahan

Didik anak-anak untuk memakan buah sejak kecil dan pelbagaikan warna bagi menarik minat mereka.

Varia!»

Pantai Drini lokasi rehatkan minda

Pantai Drini memiliki satu tebing besar yang membahagikan pantai itu kepada dua sisi.

Process time in ms: 47