HIBURAN

Masih tebal budaya Timur

Masih tebal budaya Timur



MESRA, ramah dan penuh sopan dia menyapa kami. "Saya Yuna," begitu dia memperkenalkan diri. Ah, masakan penyanyi terkenal seluruh dunia sepertinya tidak dikenali media di tanah air sendiri.

Hari itu, pertemuan kami diatur oleh pihak ntv7 yang sedang melakukan rakaman untuk program #AskYuna bagi meraikan ulang tahun ke-16 stesen televisyen tersebut dan bersempena dengan sambutan Aidilfitri.

Dia hadir dalam penampilan biasanya - turban dan busana sopan yang masih tinggi cita rasa fesyennya.

Topik utama menjadi perbicaraan kami hari itu tentang perkembangan kariernya di Amerika Syarikat.

Akui Yuna, selepas empat tahun merantau menanam benih muziknya di sana, kini dia sedang menikmati buah sukses kariernya secara perlahan-lahan.

Selain album terkininya, Nocturnal mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kebanyakan siri jelajahnya dipenuhi peminat, peluang muncul dalam program bual bicara terkenal seperti Jimmy Kimmel Live dan Conan O'Brien Show dan mendendangkan karya miliknya disifatkan sebagai pintu rezeki yang sedang terbuka luas.

Paling dirasai kata Yuna, survival hidupnya di negara tersebut tidak sesukar pada tahun awal dia mencari tapak di sana.

"Alhamdulillah, kehidupan saya di AS semakin baik. Semua berjalan dengan lebih lancar. Jika dulu boleh dikatakan agak sukar untuk saya hidup di sana tetapi kini tidak lagi.

"Bayaran untuk persembahan sudah mula meningkat dan itu penting untuk saya kerana banyak juga kos yang perlu dikeluarkan kerana saya kerap mengadakan persembahan di luar kawasan.

"Namun, perkara yang paling saya banggakan apabila kini saya tidak lagi perlu 'menumpang' penyanyi lain untuk diperkenalkan kepada khalayak dalam kebanyakan persembahan yang dilakukan.

"Saya kini mampu melakukan persembahan atas nama sendiri, malah ada persembahan saya yang penuh peminat. Saya juga diundang dalam beberapa persembahan secara langsung dalam program bual bicara di sana.

"Saya kira itu pencapaian yang baik buat saya sejak bermaustatin di sana empat tahun lalu," ujarnya.

Beritahunya lagi, sambutan media di negara tersebut terhadapnya juga agak memberangsangkan.

Mengaku kebanyakan media melihat dirinya sebagai penyanyi yang 'terbalik' dengan penampilan artis Barat, namun 'keanehannya' yang lebih tertutup itu memberi pesona tersendiri.

Ditanya berapa lama lagi dia menyasarkan untuk terus meneroka muzik dan seni di sana, penyanyi ini tersenyum.

Jelas Yuna, sukar buat dia menentukan tempoh kelangsungan hidupnya di sana, namun apa yang pasti, dia tidak akan pulang ke Malaysia dalam tempoh dua tahun lagi kerana masih banyak mimpi yang mahu dipeluk dan direalisasikannya di sana.

YUNALIS ZARAI atau Yuna mahu menyebarkan perkara positif melalui karya dan sumbangannya kepada industri muzik tempatan dan antarabangsa.


"Seperti mana saya nekad ke AS sebelum ini tanpa bekalan, saya tidak mahu meninggalkan negara ini separuh jalan.

"Masih banyak misi muzik saya di sini. Saya mahu lebih fokus terhadap karier saya di sini. Bukan bermakna saya tidak sayangkan Malaysia. Keluarga dan karier saya di sini (Malaysia) tetapi di AS, saya bekerja. Bekerja untuk merealisasikan misi muzik saya," jelasnya bersungguh-sungguh.

Album Melayu

Ironi, Yuna sebenarnya memang menghasilkan album Inggeris yang diselit satu atau dua lagu Melayu.

Namun, sudah menjadi situasi biasa, lagu Melayu akan mudah diterima oleh khalayak Melayu.

Ditanya mengenai perancangan melahirkan album Melayu penuh, dia mengaku mempunyai perancangan untuk menerbitkan album tersebut, namun sebagai artis yang bernaung di bawah label Universal Music, dia juga perlu menghormati kontrak yang telah dipersetujui.

"Insya-Allah, perancangan memang ada tapi saya perlu berbincang dengan pihak syarikat rakaman kerana saya memang mempunyai dua buah album lagi untuk dirakamkan bersama mereka," katanya yang merancang untuk melakukan konsert di Asia sempena mempromosi album Nocturnal.

Inspirasi

Sebelum zaman dirinya menjadi pujaan dan idola banyak pihak, sebagai pemimpi biasa, Yuna mengaku dia juga pernah meletakkan individu berpengaruh seperti Datuk Sheila Majid sebagai inspirasi hidupnya.

Kini, kitaran tersebut telah berputar. Sejak meledak naik saat pertama kali diperkenalkan secara komersial sekitar tahun 2008 dengan lagu Dan Sebenarnya, Yuna kini menjadi inspirasi hampir semua remaja perempuan yang memasang mimpi untuk bergelar penyanyi dan terbang tinggi sepertinya.

Dengan rendah diri Yuna menyatakan, dia tidak pernah meletakkan dirinya sebagai model yang perlu dicontohi oleh sesiapa.

Katanya yang sejak dahulu sudah jelas dengan prinsipnya untuk menjadi diri sendiri: "Jujur, saya terharu apabila banyak yang menjadikan saya inspirasi. Namun saya kira, pada masa yang sama, kita perlu menjadi diri sendiri.

"Ya, mungkin dari segi semangat bekerja, meneroka isi dunia dan fokus terhadap karier boleh dicontohi. Namun, untuk menjadi seorang lagi Yuna, saya kira lebih elok jika mempunyai identiti sendiri."

TEGAS Yuna, walau sudah merantau jauh ke negara orang, dia masih wanita yang sama. Perubahan yang berlaku ke atasnya berjalan seiring dengan kematangan usianya.


Pusat

Jauh berada di AS bukan bermakna dirinya terlepas daripada pandangan khalayak di Malaysia terutama apabila ia melibatkan laman sosial.

Terkini, dua keping gambar Yuna dengan penampilannya yang disifatkan sebagai kurang sesuai dengan imejnya yang berhijab menjadi perdebatan di laman Facebook rasmi miliknya.

Gambar yang dimuat naik oleh penyanyi itu sendiri kemudiannya telah dikeluarkan selepas ia menjadi hangat.

Ujar Yuna, ada dua perkara yang perlu diperjelaskan mengenai gambar tersebut. Pertama, tentang tindakannya menarik semula gambar itu.

"Secara peribadi, saya menarik semula gambar tersebut bukan kerana tersinggung dengan banyak tohmahan tetapi saya tidak mahu dua pihak terus bertelagah mengenai isu gaun tersebut.

"Malah saya juga tidak mahu orang luar melihat orang Malaysia bergaduh dan bertahan dengan pendapat masing-masing hanya kerana isu sebegini.

"Jadi, saya fikir lebih mudah sekiranya gambar itu dibuang dan perbalahan tidak berlanjutan," ujarnya yang mengaku menutup laman sosial Instagram miliknya dahulu kerana isu perbalahan seperti ini.

Kedua, tentang kekesalannya terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang telah melakukan proses editing di atas gambar tersebut.

Jelas Yuna, gambar tersebut yang disiarkan di dalam beberapa blog telah melalui proses editing sehingga menyaksikan bahagian pusatnya.

"Gambar tersebut diambil untuk satu sesi fotografi di sana. Apa yang saya kesalkan, gambar yang tersebar di beberapa blog telah melalui proses editing sehingga menampakkan pusat saya apabila baju pada bahagian dalam dinipiskan," ujarnya kesal.

Tambah Yuna, sebagai wanita yang telah matang, dia faham benar tentang batasan kehidupan yang selalu dipegang olehnya selama ini.

Sudah berusia 28 tahun, katanya lagi, dia kini cukup selesa dan memahami kehendak diri sendiri.

"Saya anggap semua perkara seperti ini (dinilai orang) sebagai lumrah kehidupan. Saya sudah belajar menelannya sejak dulu lagi.

"Sebagai seorang manusia yang tidak sempurna, saya menerima dengan hati yang terbuka tentang teguran sekiranya saya melakukan kesalahan. secara jujurnya, buat masa ini, saya selesa dengan diri saya," ujarnya.


KELAHIRAN album Nocturnal menjadi tanda aras yang tinggi dalam evolusi muzik Yuna. Biar semakin berbunyi antarabangsa, kata Yuna: "Biarpun mengikuti perkembangan, satu yang pasti saya tidak akan mendendangkan lagu dalam bentuk dance music. Saya juga akan kekal menulis lagu sendiri sebagai identiti saya."


NovemberCulture

Sukses sebagai penyanyi, Yuna menggunakan 'senjata' fesyennya yang selama ini banyak mempengaruhi peminatnya dengan mengembangkannya dalam bentuk bisnes.

NovemberCulture menjadi medan buat dia menumpahkan dan berkongsi bukan sahaja cita rasa fesyen tetapi juga kebolehannya menata hias dalaman termasuk 'mereka' pokok kaktus di dalam balang atau dikenali sebagai terrariums yang menjadi obsesinya dengan khalayak.

"Saya namakan butik ini sebagai NovemberCulture kerana saya lahir pada bulan November. Kata orang, sesiapa yang lahir pada bulan ini merupakan seorang yang kreatif dan inovatif.

"Butik ini bukan sekadar menyediakan fesyen terkini tetapi juga khidmat menata hias dalaman dan membuat terrariums.

"Besar harapan agar saya mampu menyebarkan aura positif dan semua yang bersifat baik kepada semua khalayak dengan bisnes yang saya jalankan ini," ujarnya yang juga mempunyai rencana untuk menjadikan hobinya seperti merakam gambar sebagai satu bisnes.

Rencana Utama!»

Sambal bilis ibu juadah istimewa Mohd. Faiz

MOHD. FAIZ SUBRI menerima ucapan tahniah daripada bintang bola sepak Brazil, Ronaldo selepas memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland,malam kelmarin. AFP

Horizon!»

Kolam mandi kanak-kanak pertama DBKL

Kolam mandi kanak-kanak mampu memuatkan sehingga 100 orang dalam satu-satu masa.

Process time in ms: 47