TERKINI

Bekas bintang Akademi Fantasia menang saman terhadap TV3

Bekas bintang Akademi Fantasia menang saman terhadap TV3

20/12/2013 9:08pm

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan TV3 dan empat yang lain membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas Bintang Akademi Fantasia Musim ke-2, Nurullah Zawawi dan suaminya dalam kes saman fitnah berhubung status perkahwinan mereka yang disiarkan dalam program hiburan Melodi dua tahun lepas.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin juga memerintahkan kelima-lima defendan membayar sejumlah RM70,000 sebagai kos kepada penyanyi itu yang lebih dikenali dengan gelaran Nurul AF2 dan suaminya, Mohd. Munzil Muhamad selaku plaintif pertama dan kedua.

Nor Bee membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan pasangan itu terhadap TV3, penerbit rancangan Melodi, Azman Abd Ghafar, wartawannya Michelle Wee Lili, syarikat Alt Media Sdn. Bhd. dan abang kandung Nurul iaitu Bustamam Zawawi.

Nor Bee juga memutuskan kesemua defendan gagal membuktikan pembelaan masing-masing dalam kes saman itu.

Pada 5 September 2011, Nurul dan suaminya memfailkan saman terhadap kesemua defendan selepas rancangan Melodi pada 26 Jun 2011, menyiarkan kenyataan berhubung isu perkahwinan mereka yang didakwa berunsur fitnah berserta gambar visual yang merujuk kepada pasangan itu. - Bernama

Process time in ms: 47