VARIA

Masjid Cina Ipoh catat sejarah

Masjid Cina Ipoh catat sejarah

MASJID Muhammad mula dibuka pada 4 Ogos lepas.


KETIKA umat Islam masih meraikan sambutan Aidilfitri, Masjid Muhammadiah turut melakar satu peristiwa bersejarah.

Ini dapat dilihat apabila bukan sahaja masyarakat Islam setempat malahan masyarakat Cina yang beragama Islam dari seluruh negara berkunjung ke sini.

Masjid Muhammadiah yang terletak di Taman Tasek Jaya, Ipoh, Perak dibina dengan konsep seni bina Cina. Ia dikenali sebagai Masjid Cina dalam kalangan penduduk tempatan di samping menjadi satu lagi mercu tanda baharu kawasan berkenaan.

Masjid yang mengambil nama sempena masjid lamanya, berasal daripada Madrasah Muhammadiah yang didirikan oleh Allahyarham Abdul Latif Mohd. Kassim bersama tujuh rakannya pada tahun 1973.

Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Ipoh, Hafiz Ng Abdullah dalam satu temu bual baru-baru ini berkata, masjid itu kini diurus tadbir oleh gabungan dua buah jawatankuasa iaitu jawatankuasa Masjid Muhammadiah yang lama dan Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh.

Konsep pembinaan masjid ini mengambil sepenuhnya idea seni bina tradisional dan budaya Cina. Ia kemudian diterjemahkan di keseluruhan bangunan termasuk bumbung, pagar, dinding serta dewan solat menerusi prinsip simetri.

Binaan lantai yang lebih tinggi daripada paras tanah, tiang-tiang besar berwarna merah dan sebuah menara berbumbung yang dihiasi motif hiasan Cina berwarna hijau, menambah keunikan masjid ini.

Pintu masuk utama yang berwarna merah dihiasi tulisan Cina di bahagian kanan dan kiri manakala perkataan Masjid Muhammadiah dalam tulisan rumi di bahagian atas seolah-olah mencerminkan perjalanan sejarahnya yang tersendiri.


RUANG solat utama boleh menampung jemaah seramai 800 orang.


Perbezaan

“Bagaimanapun jika diteliti, sebenarnya kita telah ubah seni hiasan bumbung kerana di China, mereka menggunakan motif bunga teratai tetapi di masjid ini kita menggunakan bunga raya merah iaitu bunga kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, warna cat yang dipilih bagi menghiasi keseluruhan bangunan masjid juga adalah berdasarkan warna utama dalam budaya masyarakat Cina iaitu merah, hijau dan putih.

Ruang solat terbuka masjid berkenaan dihias dengan taman-taman kecil yang dipisahkan oleh laluan ke dewan solat dan ruang aktiviti di bahagian dalam masjid.

Ketika ditanya mengenai perbezaan Masjid Muhammadiah dengan masjid Cina yang ada di negeri lain, Hafiz Ng berkata, perbezaan itu dapat dilihat dengan jelas seperti masjid di Rantau Panjang, Kelantan, yang seni binanya sedikit bercampur dengan budaya masyarakat Thailand.

Hafiz Ng, yang juga timbalan pengerusi masjid berkenaan berkata, ruang aktiviti dengan konsep terbuka masjid itu membolehkan umat Islam mengadakan majlis ceramah, forum dan aktiviti budaya yang menepati syariat Islam.

Masjid Muhammadiah yang menempatkan dewan solat dan ruang aktiviti itu adalah fasa pertama daripada keseluruhan kompleks dengan keluasan 0.4 hektar yang turut terdiri pusat dakwah serta rumah perlindungan.

“Rumah perlindungan itu bertujuan memberi tempat tinggal sementara terutama kepada saudara baru yang mungkin disisih oleh keluarga,” katanya.

Selain itu, dewan solat wanita di bahagian atas boleh menempatkan 200 ahli jemaah manakala ruang solat bawah mampu memuatkan 800 orang.

Pendakwah aktif itu berkata, kos bagi fasa pertama iaitu pembinaan bangunan masjid bernilai RM4 juta manakala fasa kedua merangkumi pembinaan pusat dakwah serta rumah perlindungan memerlukan kos sebanyak RM2.8 juta.

Pada 8 Oktober 2009, Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), berkenan menyampaikan geran pelancaran bernilai RM2 juta bagi tujuan membina masjid berkenaan di samping memberi perkenan terhadap pelan dan seni rekanya.

Kutipan derma


TIANG bulat berwarna merah sangat sinonim dengan seni bina di negara China.


“Bagi tujuan pembinaan fasa kedua, kutipan derma dan sumbangan oleh mana-mana pihak masih berjalan. Alhamdulillah, semasa kutipan untuk pembinaan masjid semua pihak memberi sokongan yang kuat untuk merealisasinya, begitu juga bagi fasa kedua,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, cadangan pembinaan Masjid Muhammadiah ini dibincangkan oleh kedua-dua jawatankuasa pada November 2008 dan dimulakan pembinaannya pada Disember 2011.

“InsyaAllah fasa pertama ini akan sempurna dalam tempoh sebulan lagi. Sekarang kita sedang melaksanakan kerja-kerja bagi perincian terakhir,” katanya.

Beliau berkata, tujuan pembinaan masjid baharu ini adalah bagi menampung kapasiti umat Islam yang semakin bertambah di kawasan sekitar khususnya bagi keperluan solat Jumaat.

“Ia juga bagi menghimpunkan saudara seagama daripada masyarakat Cina yang segan dan malu untuk pergi ke masjid biasa. Masjid Muhammadiah ini juga membuka peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam,” katanya.

Hafiz Ng berkata, sesiapa sahaja boleh datang ke masjid ini untuk merujuk atau bertanya mengenai agama Islam tanpa sebarang halangan dan ia adalah satu tarikan kepada orang bukan Islam untuk lebih mengenali Islam.

“Kita juga mahu menjadikan masjid ini sebagai satu tarikan pelancongan di Perak. Ramai saudara baru Islam dan bukan Islam dari Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur hadir semasa masjid ini dibuka pada 4 Ogos lepas,” katanya. – Bernama

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 32