URBAN

Cipta rekod demi dakwah

Cipta rekod demi dakwah



IMPIAN dan usaha Sirajudeen Kamal Batcha, 28, untuk mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records dengan mencipta ukiran cermin terpanjang bukanlah bertujuan untuk meraih populariti.

Sebaliknya, beliau mahu memperkenalkan kepada umum tentang seni ukiran cermin dan khat kufi yang selama ini hanya dipelopori golongan berumur.

Atas landasan itulah Sirajudeen meletakkan harapannya untuk melakar rekod individu pertama mencipta ukiran cermin terpanjang di Malaysia melalui ukiran nama-nama Allah (Asma Ul Husna) serta Allah dan Muhammad.

"Melalui projek ini, saya mahu kongsikan kepada masyarakat ukiran cermin yang masih kurang mendapat tempat dalam kalangan generasi muda kini. Pada masa yang sama, mesej yang lebih besar adalah untuk berdakwah.

"Jika pada masa kini, seni visual biasanya didominasi oleh lukisan, arca dan seramik, namun ukiran cermin ini juga merupakan salah satu cabangnya.

"Oleh itu, saya berhasrat menjadi perintis dalam penghasilan ukiran cermin ini. Saya berharap dapat mengubah persepsi masyarakat supaya ia dapat diterima dengan lebih luas suatu masa nanti," kata Sirajudeen.

Menurut Sirajudeen, ukiran cermin yang dihasilkan itu adalah melalui kaedah mengukir di belakang bahagian cermin secara songsang dengan membuang selaput aluminium perak. Seterusnya ia digosok dengan bahan kimia tertentu untuk membentuk sesuatu imej yang dikehendaki.


ANTARA koleksi ukiran cermin milik Sirajudeen yang dipamerkan di Galeri Pelita Hati, Bangsar, Kuala Lumpur sempena Pameran Urban Show tahun lalu.


"Keseluruhan proses ukiran tersebut adalah seratus peratus menggunakan kemahiran kerja tangan yang halus. Ia memerlukan ketelitian dan kesabaran bagi menghasilkan ukiran cermin yang berkualiti," katanya.

Pada ukiran cermin terpanjang yang sedang dalam perancangannya, Sirajudeen mahu mengukir setiap satu khat kufi di atas sekeping cermin dan melibatkan 102 keping cermin. Jumlah panjang ukiran cermin yang akan diukir ialah 62.18 meter iaitu selebar dua kaki (0.61 meter) setiap satu.

Kata Sirajudeen: "Jika projek ini berjaya, The Malaysia Book Of Records akan mengiktirafnya sebagai ukiran cermin terpanjang oleh individu dalam kategori Manusia dan Pencapaian.

Selain itu, sepanjang projek berkenaan dijalankan, orang ramai berpeluang untuk melihat lebih dekat proses ukiran cermin dihasilkan sehingga ia siap sepenuhnya.

Sokongan penuh

Projek ukiran cermin terpanjang tersebut dijadualkan bermula pada pertengahan Februari sehingga 21 Mei nanti.

Sehingga kini, secara teknikalnya Sirajudeen telah bersedia untuk melakukan percubaan tersebut dan sudahpun mendapat sokongan penuh daripada beberapa badan tertentu.

Sebagai contoh, Sirajudeen telah mendapat pelepasan daripada pihak rumah kreatif bagi pakar kaligrafi Islam, Karya Kufi, untuk menggunakan semula khat kufi asal Asma Ul-Husna manakala Seni Galeri Shah Alam pula memberi keizinan menjadi lokasi percubaan ukiran cermin yang akan dilakukan nanti.


SIRAJUDEEN menunjukkan antara karya menarik ukiran cermin yang dihasikannya sebelum ini.


Namun demikian, bagi merealisasikan projek tersebut, Sirajudeen memerlukan dana sebanyak RM154,000 untuk menampung kos keseluruhannya.

Justeru, beliau berharap akan ada individu atau pihak tertentu yang berminat menghulurkan sumbangan sekali gus menjayakan hasratnya itu.

"Jika ada individu yang mahu membantu saya, ukiran cermin Asma Ul-Husna serta Allah dan Muhammad ini akan menjadi miliknya.

"Pada masa sama, saya juga bercadang supaya ukiran cermin ini dipasang di Masjid Tuanku Mizan Zainal, Putrajaya kerana ia mampu menambah daya tarikan dan menjadi warisan seni kepada negara, namun itu semua bergantung kepada persetujuan pendermanya," kata Sirajudeen.

Tertarik hati

Berkongsi cerita tentang jejak beliau dalam dunia seni tersebut, Sirajudeen berkata, idea berkenaan tercetus pada tahun 2009 setelah beliau tertarik melihat seorang kawannya yang mahir membuat khat dengan menggunakan cermin sebagai hadiah perkahwinan.

"Disebabkan ukiran cermin ini masih baharu dan tidak ramai yang mahir menghasilkannya, saya membuat keputusan untuk belajar dengan secara serius.

"Mengukir di atas cermin bukanlah sesuatu yang mudah, kita perlu berhati-hati kerana ia mudah patah dan pecah," katanya yang mengambil masa dua tahun untuk memahirkan dirinya.

Tambah Sirajudeen, beliau memilih cermin kerana ia tahan lama dan kekal berbanding dengan seni ukiran lain yang cepat rosak.




"Meskipun menghadapi kesukaran pada awalnya, berkat kesungguhan dan latihan tanpa jemu, perkara ini akan menjadi mudah," katanya yang sebelum ini melibatkan diri dalam seni lukisan.

Menurut Sirajudeen, ukiran cermin yang diukirnya mempunyai maksud tertentu bergantung kepada gambar yang diambil.

"Sebagai contoh, ukiran cermin Mahkamah Besar Pulau Pinang membawa erti dalam sebuah kehidupan keadilan menjadi matlamat utama.

"Ukiran jalan di hadapan bangunan mahkamah tersebut pula memberi makna hidup mesti diteruskan walaupun setiap manusia mempunyai cabaran.

"Laluan yang berbeza pula diterjemahkan melalui mod pengangkutan iaitu ada yang berbasikal, berkereta ataupun bermotosikal," ulas Sirajudeen berfalsafah.

Selain itu, Sirajudeen menjelaskan cermin juga sangat unik untuk dijadikan ukiran kerana ia begitu sinonim dan dekat dalam kehidupan harian.

"Kita sering mendengar istilah dalam bahasa Melayu iaitu 'cermin diri'. Ia merujuk sebagai medium untuk kita kembali menilai diri sendiri dengan melakukan muhasabah supaya kita kembali ingat kepada Tuhan," katanya.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 15