URBAN

Sejarah, fesyen dan budaya bersatu dalam dekorasi

Sejarah, fesyen dan budaya bersatu dalam dekorasi


ARCA kapal besar diberi nama Sa Chuan dibina siap dengan empat layar di Centre Court Sunway Pyramid.


TAHUN ini, menurut kepercayaan pakar-pakar feng shui, bakal menjadi satu lagi tahun yang membawa kebaikan. Mengikut zodiak kalendar Lunar Cina, tahun ini iaitu Tahun Ular Air, kebanyakan orang akan menikmati lebih banyak kebaikan, walaupun berdepan sedikit kesulitan.

Selain kehangatan ramalan feng shui mengenai Tahun Ular pada tahun ini, sudah menjadi kebiasaan sambutan Tahun Baru Cina dimeriahkan dengan dekorasi indah yang dilakukan oleh kompleks beli-belah di seluruh negara.

Masing-masing menunjukkan keprihatinan dalam membawa semangat sambutan tahun baru dengan melakukan pengubahsuaian khususnya dekorasi di pintu masuk, lobi-lobi utama serta di ruang terbuka pusat beli-belah.

Di sekitar Lembah Klang, kelihatan beberapa pelancaran sambutan Tahun Baru Cina diadakan secara aktif. Masing-masing menampilkan dekorasi berkonsep Tahun Baru Cina yang bervariasi dan kreatif.

Antara pusat beli-belah yang dilihat berbelanja besar untuk menghasilkan dekorasi gah di ruang legar utamanya ialah Sunway Pyramid Petaling Jaya, Selangor.

Pada majlis pelancaran baru-baru ini, Sunway Pyramid mengetengahkan arca kapal laut besar, Sa Chuan dengan empat layar berlatarkan Pelabuhan Bertuah (Fortune Harbour).

“Kami melakukan banyak penyelidikan sebelum tampil dengan idea ini. Ia satu percubaan yang segar dan mempunyai jalan cerita yang menarik dan penuh bersejarah,” demikian kata Pengurus Rekaan Kreatif, Sunway Pyramid, Shabri Osman.

Menurut sejarah, kapal laut itu digunakan dalam era emas China ketika urusan import dan eksport melalui jalan laut rancak berlangsung.

Kisah perdagangan

Kapal-kapal itu mengikut sejarah membawa muatan pelbagai jenis barangan perdagangan penting.

Oleh itu, pihak Sunway Pyramid berharap supaya ‘pelayaran’ setiap pengunjung ke Sunway Pyramid juga akan diiringi tuah seperti kisah kapal laut yang kaya itu.

“Kami memerah otak sejak setahun lalu dalam mengusahakan kapal laut ini dan cabaran paling sukar ialah memasang layar,” kata Shabri merujuk kepada layarnya.

Kapal laut di Sunway Pyramid diperbuat daripada logam di bahagian dalam dan luaran pula dihasilkan daripada kayu cengal serta meranti.

“Segala kerja pembuatan dan pemasangan mengambil masa tiga minggu dan pemasangan layar sahaja dua hari,” tambah Shabri.

Beliau yang bertanggungjawab mendirikan arca kapal laut besar dibantu oleh ahli krew yang terdiri daripada 40 pekerja am, lapan artis dan dua juruteknik. Pusat beli-belah Sunway Pyramid mengakui telah membelanjakan kira-kira setengah juta ringgit bagi dekorasi itu.

Taman musim bunga

Dalam pada itu, pusat beli-belah The Curve di Damansara Mutiara, Selangor pula memilih untuk membawa latar taman musim bunga klasik Cina. Taman yang dipagari dengan pagar berwarna merah sepenuhnya itu dilengkapi kawasan pavilion, gazebo, bunga-bunga berwarna-warni dan tumbuh-tumbuhan serta tanglung merah.

Semuanya, menurut pengurus pusat beli-belah itu, Jazmi Kamarudin mengambil masa seminggu untuk diatur.

“Ia mula dipamer sejak 11 Januari lalu hingga 13 Februari ini. Sekumpulan krew telah bekerja keras mengatur dekorasi dan ia merupakan satu konsep baharu memandangkan The Curve belum pernah memiliki taman Cina sebelum ini,” kata Jazmi yang enggan mendedah kos taman tersebut.

Beliau juga memberitahu, pihak The Curve tidak ketinggalan dalam menyediakan beberapa persembahan dan pameran produk sempena Tahun Baru Cina.

Pada majlis pelancaran, The Curve memikat para pengunjung dengan persembahan tarian naga serta persembahan tarian 12 zodiak haiwan oleh kanak-kanak kecil.

Persembahan hiburan


PENARI kanak-kanak kelihatan comel saat mengenakan kostum pelbagai jenis haiwan.


Bagi pusat beli-belah borong, Kenanga Wholesale City (KWC), Kuala Lumpur pada tahun ini penumpuan lebih banyak diberikan kepada elemen persembahan berbanding dekorasi. Dengan perbelanjaan sekitar RM150,000, KWC menghias seluruh pusat tersebut dengan tema, Mengalu-alukan Tahun Baru Cina dengan Gaya.

“Dekorasi di KWC banyak tertumpu pada kawasan pintu masuk, kawasan Centre Court tingkat bawah tanah dan kawasan sekitar tangga elektrik di setiap tingkat,” kata Pengurus Besar KWC, Kenny Chin.

Sementara itu, pusat beli-belah di Bandar Utama, 1 Utama, Selangor pula tidak ketinggalan dalam mempamerkan dekorasi sambutan Tahun Baru Cina mereka tersendiri. Mempunyai reputasi tinggi dalam kalangan pengunjung, 1 Utama tidak mahu tampil dengan dekorasi yang ringkas.

Menggabungkan rekaan yang penuh dengan sentuhan moden dan meriah tetapi dipersembah secara tradisional, pusat beli-belah itu diubah suai menjadi Jalan Emas di bahagian ruang terbuka.

Seolah-olah menempatkan sebuah pekan kecil klasik Cina dengan deretan rumah kedai dua tingkat, replika itu mewakili rumah kedai tradisional Cina yang turut ditemui pada zaman moden.

“Persekitaran yang cuba dihasilkan di sini adalah apabila para pengunjung melalui jalan ini, mereka dapat merasa pengalaman membeli pakaian, makanan dan sebagainya sempena Tahun Baru Cina. Bagi memastikan ia lebih asli, kami mewarnai tingkap bangunan, tangga dan malah menyertakan antena televisyen,”

kata Pengurus Pengiklanan dan Promosi 1 Utama, Patrick So.

Rencana Utama!»

Sambal bilis ibu juadah istimewa Mohd. Faiz

MOHD. FAIZ SUBRI menerima ucapan tahniah daripada bintang bola sepak Brazil, Ronaldo selepas memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland,malam kelmarin. – AFP

Horizon!»

Kolam mandi kanak-kanak pertama DBKL

Kolam mandi kanak-kanak mampu memuatkan sehingga 100 orang dalam satu-satu masa.

Process time in ms: 16