URBAN

Dakwah di sebalik lukisan kontemporari

Dakwah di sebalik lukisan kontemporari



APABILA berbicara mengenai karya-karya seni yang berunsurkan Islam, perkara pertama yang terlintas di minda kebanyakan penggemar dan penggiat seni halus tanah air adalah keindahan kaligrafi khat yang berasaskan ayat-ayat suci al-Quran.

Namun begitu, tidak ramai yang sedar akan kewujudan saluran seni kontemporari lain yang mampu memperlihatkan sisi pengaruh Islam dalam setiap karya yang ingin ditonjolkan.

Bagi artis seni Ramlan Abdullah, 53, karya yang bercirikan Islam tidak semestinya terhad pada satu kategori kerana terdapat banyak cabang seni yang boleh diterokai dalam usaha menyampaikan sesuatu mesej.

“Dalam konteks kesenian Islam, setiap artis seni atau pelukis perlu bijak dalam mengadaptasi mesej dan nilai-nilai murni yang ingin disampaikan kepada orang ramai.

“Salah satu medium yang kurang mendapat perhatian artis seni atau pelukis tempatan ialah pembinaan arca yang dapat memberikan sebuah gambaran dan mesej yang berunsur Islamik kepada penonton.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah siri arca yang dapat menceritakan sedikit sebanyak mengenai pertembungan dua elemen yang sangat berbeza ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Pameran Seni Taman Nurani yang berlangsung di Galeri Petronas KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nilai kemasyarakatan

Memilih unsur cahaya sebagai sumber inspirasi utama dalam penghasilan tiga buah arcanya, Ramlan memberitahu, sifat cahaya yang cerah dan senang terbias itu mampu mewakili kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan dalam diri setiap individu.


HASHIM menggunakan burung sebagai lambang keamanan sejagat.


“Seperti yang kita sedia maklum, agama Islam amat menitikberatkan kepentingan menuntut ilmu dalam kalangan umatnya.

“Apabila seseorang itu sudah lengkap dengan ilmu, dia akan dapat mengenal dan mengtauhidkan Allah SWT sebagai tuhan yang satu, sekali gus dapat mendalami erti kehidupan sebenar di muka bumi ini,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan arca binaanya yang dipamerkan di pameran tersebut, Ramlan berkata, salah satu arcanya yang bertajuk Unity In Diversity mempunyai maksud yang berkait rapat dengan cara hidup berbilang bangsa di negara ini.

“Arca tersebut dibina dengan menggunakan lebih kurang 280 keping besi tahan karat yang bersifat membias cahaya melalui proses pengulangan.

“Kepingan-kepingan besi itu kemudiannya dicantumkan dengan menggunakan skru sehingga membentuk sebuah figura kukuh yang berkilat dan berbentuk bulat.

“Maka, secara keseluruhan, setiap cantuman ini dapat menggambarkan realiti sebenar hidup bermasyarakat serta nilai bersatu-padu yang perlu diamalkan oleh setiap individu pada masa kini,” jelasnya.

Unsur budaya dan tradisi

Selain daripada unsur semula jadi, unsur perlambangan dan tradisi juga turut digunakan dalam penyampaian mesej serta pengaruh Islam kepada khalayak pencinta seni.

Unsur-unsur itu biasanya bersifat figuratif dan mempunyai maksud yang tersendiri.

Hashim Hassan, 75, yang menjadikan burung sebagai motif utama dalam karyanya berkata, sifat semula jadi haiwan yang sering terbang bebas itu dapat diterjemahkan sebagai lambang kebebasan orang Melayu dalam proses menimba ilmu pengetahuan.

“Kaum yang berjaya ialah kaum yang bergerak pantas dan bersungguh-sungguh dalam mencari sesuatu yang baharu dan boleh digunakan dalam meneruskan kehidupan sehari-hari.

“Jadi, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa agama Islam turut menggalakkan umatnya supaya sentiasa berusaha dan peka dengan perubahan di sekeliling serta tidak mudah leka dengan kesenangan yang diberikan.


MULIYADI percaya seni kontemporari mampu menjadi medium dalam menyampaikan mesej yang berguna kepada pengunjung.


“Burung juga turut melambangkan habitat semula jadinya, iaitu hutan belantara yang dikurniakan oleh Tuhan kepada manusia sebagai sumber utama kehidupan.

“Perlambangan tersebut dianggap sungguh simbolik kerana pada zaman serba moden ini, hutan dan alam semula jadi sering kali dikaitkan dengan pencemaran serta kerakusan manusia dalam mengejar pembangunan,” ulasnya.

Selain daripada simbol kebebasan yang diterjemahkan melalui penggunaan burung, corak batik dan unsur tradisi juga turut diselitkan dalam setiap karyanya bagi memberikan sedikit kelainan.

“Seni warisan dan budaya yang terdapat di negara kita ini sering dilupakan oleh masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja.

“Saya berharap, dengan penerapan corak batik tempatan dalam setiap karya seni yang saya hasilkan mampu memberikan kesedaran terhadap orang ramai mengenai kepentingan menghargai khazanah tradisi negara,” ujarnya lagi.

Pengalaman

Sementara itu, bagi Awang Damit, 56, dalam usaha mengetengahkan konsep kesenian Islam kontemporari, dia menggabungkan pengalaman masa lampaunya dengan teknik lukisan abstrak yang juga menampilkan teknik tampalan.

“Setiap lukisan mempunyai penceritaannya yang tersendiri. Sebagai contoh, melalui siri Essence Of Culture, saya menceritakan mengenai ayah saya dan kawan-kawannya yang berkerja sebagai nelayan dan petani di kampung halaman.

“Mereka terkenal dengan sifat rendah diri dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah Mereka juga tidak pernah merungut apabila ditimpa kesusahan,” jelasnya.

Menurut Awang lagi, keikhlasan para nelayan dan petani yang diceritakannya melalui siri lukisan itu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan bersyukur pada sebarang nikmat yang dikurniakan Maha Pencipta.


AWANG memberi kebebasan kepada pengunjung untuk mentafsir sendiri maksud di sebalik karyanya.


“Pada pendapat saya, seni bersifat sangat subjektif. Pemilihan seni abstrak juga dapat memberikan peluang kepada penonton untuk menilai sendiri maksud yang terkandung di dalam sesebuah karya itu.

“Jika ia diinterpretasi dengan cara yang betul, maka ciri-ciri Islamik yang ada padanya dapat disampaikan,” simpulnya.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 31