URBAN

Sedar makanan luar kurang khasiat

Sedar makanan luar kurang khasiat



MENYEDIAKAN makanan hasil masakan sendiri adalah antara kepuasan bagi suri rumah, Mariana Mat Saad, 32. Ibu kepada dua orang anak itu akan memastikan dapurnya berasap setiap hari dan hidangan yang disediakan itu pula berkhasiat, khusus untuk keluarganya.

Mungkin kerana tidak bekerja dan tertumpu kepada tugas menjaga anak dan rumah, Mariana mengakui wanita yang hidup di bandar besar sepertinya sukar meluangkan masa di dapur jika mempunyai kerjaya.

“Menjaga anak-anak kecil ini pun sungguh memenatkan, apatah lagi jika bekerja. Ketika bekerja dulu sebelum kahwin, saya memang jarang memasak,” kata Mariana yang tinggal di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Apabila ditanya tentang pilihan makanan segera, Mariana memberitahu, dia memang sedar bahawa ia bukan pilihan yang sihat, tetapi ramai orang yang tidak boleh mengelakkannya. Adakalanya makanan seperti mi segera terpaksa dijadikan pilihan.

Dalam senario lain, kesibukan sepanjang hari bertugas di pusat perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pegawai penerangan dan kemudian kembali ke rumah untuk melaksanakan tugas menjaga anak, tidak sama sekali menghalang wanita muda, Nurul Hayati, 32, daripada mengamalkan rutin memasak di rumah.

Tatkala ramai wanita yang berkeluarga dan berkerjaya merungut tentang masalah tidak dapat meluangkan masa di dapur, Nurul yang tinggal di Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor pula memastikan dirinya sedaya upaya untuk memasak.

Nurul memberitahu, dia lazimnya hanya sempat masak satu atau dua menu selain nasi, ataupun sekadar memasak nasi goreng, mi goreng dan lain-lain hidangan yang mudah.

“Saya suka memasak. Suami juga memilih masakan rumah berbanding dari luar. Apabila memikirkan tentang khasiat makanan itu sendiri khususnya kepada anak, saya tidak keberatan memasak,” kata ibu kepada anak yang baru berusia setahun lapan bulan itu.


MARIANA (tengah) memastikan keluarganya dapat menikmati makanan yang berkhasiat hasil daripada air tangan sendiri.


Sejuk beku

Wanita urban sering kali memilih untuk makan di luar, mengambil makanan segera atau yang disejuk beku untuk mengimbangi masa di pejabat dan urusan domestik.

Segolongan lagi gemar memilih makanan siap yang hanya perlu dipanaskan semula sementara selebihnya pula memesan makanan melalui telefon dan dalam talian.

Alternatif tersebut kini dianggap rutin kerana kebanyakan daripada wanita yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur sudahpun dilimpahi pilihan makanan dan perkhidmatan seumpama itu.

Kaedah tersebut memudahkan mereka menyediakan hidangan buat keluarga kerana sebahagian besar masa telah ‘terkorban’ di tempat kerja dan di dalam kesesakan lalu lintas.

“Walaupun penat, sebenarnya saya rasa berpuas hati kalau dapat masak sendiri. Namun, ini tidak bermakna kami tidak makan di luar atau memilih makanan segera sekali sekala. Dalam situasi tertentu seperti waktu banyak kerja, saya terpaksa menerima hakikat tersebut sebagai wanita urban,” katanya.

Bagaimanapun pada hujung minggu, Nurul tetap akan memasak malah menggunakan peluang cuti itu untuk mencuba lebih banyak resipi baharu.

Berbeza dengan Nurul, Amyza Azura Omar dari Shah Alam pula berpendapat, lebih elok makan di luar sahaja. Katanya, selain sibuk sepanjang hari di tempat kerja dan kepenatan sekembalinya ke rumah, dia merasakan bahawa memasak memerlukan kudrat yang banyak.

“Lagipun kami tinggal suami isteri sahaja. Saya rasa, daripada memasak sendiri, adalah elok dan jimat jika kami makan di luar. Dalam sebulan, kira-kira 10 kali saya masak dan selebihnya makan di luar,” katanya yang bagaimanapun tetap bersetuju bahawa makan di luar lebih mendedahkan seseorang pada masalah kesihatan.

Menurut Amyza, sebab utama dia memilih untuk makan di luar adalah kerana belum mempunyai cahaya mata. Begitupun, dia mengakui tidak mengamalkan budaya makanan segera atau dibekukan.

“Saya rasa ramai wanita seperti saya kurang memasak di rumah, kalau ada pun mungkin kerana anak-anak,” katanya yang percaya ramai lagi wanita bekerjaya pada masa ini mempunyai minat terhadap skil memasak.


MAKAN di luar menjadi pilihan Amyza (kiri) dan rakan-rakannya.


Kesesakan lalu lintas

Bagi pasangan suami dan isteri yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, V. Danny Kumar, 28 dan Jaya Shalini Selver Dass, 28, mereka mengakui jarang memasak tetapi pada masa yang sama menolak pengambilan makanan segera atau makanan yang diproses.

Pasangan dari Klang Jaya itu sememangnya meminati makanan masakan di rumah. Begitupun, oleh kerana masing-masing terikat dengan kerja, mereka akur dengan keadaan lalu terpaksa makan di luar.

“Sesudah diketepikan pilihan makanan segera atau sejuk beku, maka pilihan yang kami ada ialah makan di restoran atau kafe yang menyediakan makanan panas,” kata Danny.

Pasangan tersebut lazimnya tiba di rumah dari pejabat pada pukul 9.30 malam setiap hari memandangkan Danny bekerja di Cyberjaya manakala Jaya pula di Petaling Jaya.

Jika berlaku situasi tertentu seperti hujan lebat ataupun insiden yang mengganggu kelancaran jalan raya, alamatnya mereka akan tiba lebih lewat.

“Sebaik sahaja sampai di rumah, melalui Lebuh Raya Persekutuan yang sentiasa sesak pada waktu puncak, saya sudah kepenatan.

“Selepas membersihkan diri, kami perlu beristirehat demi mengulang rutin yang sama keesokannya,” ujar Jaya.

Hanya jika mereka berdua atau salah seorang daripada mereka dapat sampai lebih awal, maka makanan yang ringkas seperti sambal, telur goreng dan sayur goreng dapat disiapkan.

Rencana Utama!»

Kurang 10 tok dalang masih aktif

HOCK SENG menunjukkan patung-patung yang digunakannya sewaktu persembahan wayang kulit.

GenK»

Bazar Orikami TAR UC pamer produk berkualiti tinggi

Ruangan yang memaparkan kisah-kisah kejayaan para pelajar dan alumni TAR UC turut mencuri tumpuan.

Varia!»

Jaga tepi kain orang cara tangani isu sosial

Akses mudah kepada internet antara faktor kepada anak muda bebas bergaul antara satu sama lain. – Gambar hiasan

[email protected]!

Process time in ms: 31