HIBURAN

Hafiz tunggu Matahari

Hafiz tunggu Matahari



HADIR dengan potongan rambut pendek yang diberi kemasan sleek sebagai pelengkap gaya, imej baharu anak muda kelahiran Kuching, Sarawak itu menampakkan kelainan. Sisi maskulin penyanyi berusia 22 tahun itu juga makin menyerlah. Ada kematangan terselit daripada senyum dan lagaknya.

Selama ini perjalanan kariernya diisi dengan seleksi hit antaranya, Masih Jelas, Noktah Cinta, Awan Nano yang kemudiannya bersambung pula dengan Ku Akui, Ombak Rindu dan terbaharu Muara Hati. Itu semua balada muzik Hafiz yang telah membelah jiwa peminatnya. Ternyata bintang yang menjalar pesonanya daripada program Akademi Fantasia itu semakin mendominasi pasaran penyanyi lelaki solo tempatan ketika ini.

Percubaan menembusi pasaran Indonesia dengan sebuah album yang dilancarkan untuk pasaran di sana dua bulan lalu juga satu langkah progresif untuk penjenamaan Hafiz. Diusik bakal mengikuti jejak langkah Datuk Siti Nurhaliza yang diterima baik pencinta muzik di Jakarta dan Indonesia umumnya, dia pantas menggelengkan kepala.

"Saya masih terlalu baharu, masih kena banyak belajar. Kiranya itu juga satu percubaan besar yang telah saya lakukan. Di Indonesia, saya benar-benar kena bermula dari bawah. Saya kena buat promosi di pusat-pusat beli-belah dan panjat stesen-stesen radio untuk perkenalkan nama saya kepada pendengar di sana.

"Di sana (Indonesia), jika sesebuah lagu daripada pendatang baharu seperti saya ini dapat bertahan di radio selama seminggu pun sudah dikira cukup bagus. Saya sudah sangat bersyukur dan setakat ini ulasan media di sana juga sungguh memberangsangkan. Lagu-lagu di dalam album itu juga sudah boleh dibeli menerusi iTunes," katanya yang baru-baru ini ke Jakarta lagi untuk rakaman klip video terbaharunya, Bahagiamu Deritaku.

Galak bercerita tentang pengalaman bekerjasama dengan kru penggambaran di Jakarta, Hafiz ketawa mengenangkan layanan pihak produksi di sana yang di luar jangkaan.

"Usahkan pegang cawan minuman dan ikatkan tali kasut, kalau boleh seluar saya pun mahu mereka pakaikan," bicara Hafiz bersantai-santai sementara menunggu set penggambaran untuk kulit album kedua disiapkan, Isnin lalu.


HAFIZ kelihatan lebih matang dengan stail rambut baharu dan gaya maskulin khas untuk album baharunya.


Album baharu tahun depan

Mencuri waktu emas penyanyi yang telah dua kali diiktiraf sebagai pemilik vokal terbaik dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) itu, Hafiz sedia berkongsi khabar mengenai album keduanya yang masih dalam pembikinan.

Album yang mendapat khidmat komposer Ajai, Kunci Demak, LY Baiduri dan Izueiza itu memuatkan 10 buah lagu termasuk tiga buah lagu yang dipetik daripada album yang dilancarkan di Indonesia dua bulan yang lalu.

Lagu tersebut ialah, Bahagiamu Deritaku, Patah Hati dan Hanya Kau Ku Cinta.

"Buat masa ini sembilan buah lagu telah siap cuma tinggal sebuah lagu sahaja. Mungkin saya akan cipta sendiri lagu yang terakhir itu," katanya mengenai album yang mahu direalisasikan dalam genre alternatif balada itu.

Ucap Hafiz lagi, untuk album kedua pihak pengurusan Astro Entertaiment Sdn. Bhd. memberi kelonggaran kepadanya untuk memilih konsep yang diinginkan.

"Jiwa saya sebenarnya lebih kepada muzik alternatif tetapi saya lebih dikenali dengan lagu-lagu balada. Jadi, untuk album baharu ini, saya mahu masukkan sedikit impian saya untuk dikongsi dan dirasai bersama dengan peminat. Saya tidak boleh buat perubahan secara drastik, nanti peminat akan rasa pelik. Jadi, konsep album tidak boleh terlalu jauh dengan album pertama.

"Saya juga tak boleh buang konsep balada dalam karier muzik saya. Balada tetap ada cuma ditambah sedikit elemen alternatif, akan ada sedikit elemen rock dan saya tak sabar untuk menghiburkan peminat dengan lagu baharu saya kelak," getusnya yang menetapkan lagu berjudul Matahari (Tak Cukup Indah) sebagai sasaran single terbaharunya.

Berdiri sebagai bekas peserta program realiti yang kemudiannya mengukir tapak yang kukuh untuk sebuah legasi kepada namanya, Hafiz sedar rezeki itu sekadar pinjaman selagi dia berjuang dan bekerja kuat.

"Saya cuma buat kerja saya. Saya cuma mahu menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Menjadi popular sahaja tidak berguna sekiranya tidak produk berkualiti yang boleh menyokong populariti seseorang," katanya optimis.

Kulit album berkonsepkan majalah mini


BERKONGSEPKAN majalah mini, penggambaran kulit album kedua Hafiz berlangsung selama dua hari di Studio Pashe, Sunway Damansara.


Tidak sahaja pemilihan material sebagai bahan halwa telinga yang menjadi resipi kejayaan sesebuah album, pandangan pertama peminat terhadap kulit album itu kelak juga diberi penekanan. Biar peminat jatuh cinta dengan kulit album dulu sebelum mendengar gemersik dan merdunya lagu yang terkandung.

Untuk album kedua nanti, Hafiz bersama pihak pengurusannya memilih konsep majalah mini sebagai hadiah untuk peminat. Sesuai pula dengan judul Matahari (Tak Cukup Indah) yang disasarkan sebagai single pertama, kulit album itu merakamkan segala emosi perjalanan karier seni Hafiz selama ini.

"Untuk kulit album kedua ini, kami menggunakan khidmat Simon Chin, jurugambar terkenal yang pernah bekerja dengan nama-nama terkenal sebelum ini. Saya seronok dan sukakan konsepnya yang sangat pop.

"Rambut saya pula sudah kelihatan macam Psy, Oppa Gangnam Style," lenturnya berseloroh sambil memecahkan suasana dengan tawa berderai.

Kejutan selamba untuk AJL

Sebelum membiarkan Hafiz kembali ke set untuk meneruskan sesi fotografi yang berlangsung selama dua hari itu, dia disoal tentang persediaan menjelang AJL ke-26, pada 6 Januari depan.

"Saya pilih konsep persembahan yang selamba dan bersahaja untuk lagu Ku Akui. Untuk lagu Ombak Rindu duet bersama Adira pula, mungkin ada sedikit lakonan yang akan memasukkan semula emosi daripada filem Ombak Rindu sendiri," katanya menyimpan perancangan persembahan di pentas AJL kelak sebagai kejutan untuk peminat.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47