STAILO

Eksperimentasi pereka muda Sarawak

Eksperimentasi pereka muda Sarawak


TEMA Massive Merge melatari dres pendek rekaan Q Adamsha.


PEREKA-pereka muda Sarawak yang menyertai Sarawak Fashion Hi-Tea pada 17 November lalu dilihat masih tercari-cari identiti bagi merebut ruang dalam industri fesyen tanah air.

Tema The Uniqueness of Sarawak Art gagal diterjemahkan sebaiknya empat pereka amatur yang terdiri daripada MO Studios, Q Adamsha, Erwan Asbor dan Propaganda Boutique. Kecelaruan nyata terlihat dalam koleksi yang cuba ditampilkan sekali gus melenyapkan keterujaan hadirin yang menyaksikan acara yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor.

MO Studios misalnya, cuba bereksperimen dengan busana bermotifkan kain pua kumbu. Penggunaan terhad material kebanggaan Kepulauan Borneo itu menjadikan konsep rekaan yang cuba ditonjolkan agak kabur.


INSPIRASI pua kumbu menjadi pilihan pereka Von Jolly untuk koleksi terbaharunya.


Pujian harus diberikan kepada Q Adamsha atau nama sebenarnya, Kuraisya Banu Adamsya, 21, yang memilih Massive Merge sebagai tema koleksi peribadinya. Pelajar jurusan fesyen di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) itu bijak mengolah rekaannya berinspirasikan kostum kaum Melanau.

Corak dan pola

“Saya memberi penegasan pada corak dan pembuatan pola menerusi permainan panel yang berbeza-beza. Hitam dan biru dipilih sebagai warna dominan yang kemudiannya diadun bersama sedikit teknik tompokan bersama rona jingga dan biru,” jelas Kuraisya ketika ditemui Stailo usai acara tersebut.

Slot kemuncak pertunjukan fesyen menjadi milik pereka ternama, Von Jolly yang menyajikan tetamu dengan keindahan lapan rekaannya. Kesemua busana tersebut merupakan koleksi musim bunga/panas 2013 Von Jolly yang mengangkat pua kumbu sebagai pusat cerita.


BUSANA tradisi diolah menjadi dres peplum dengan padanan tali pinggang corak pua kumbu.


Rekaan Von Jolly secara tidak langsung menjadi rujukan buat kumpulan pereka muda tersebut. Cantuman berjaya kain pua kumbu bersama fabrik lain membuktikan kredibiliti Von Jolly selaku pereka tempatan yang berpengetahuan luas dalam industri seni reka.

“Masih banyak yang perlu dipelajari oleh pereka-pereka muda ini dan saya melihat acara sebegini sebagai platform terbaik bagi mereka mengembangkan bakat yang terpendam.

“Kolaborasi seperti ini wajar diadakan lagi kerana ia memberi pendedahan kepada pereka fesyen Sarawak yang bercita-cita mencipta nama dalam lapangan fesyen negara,” ringkas pandangan Von Jolly.

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16