SUKAN

Aminuddin jurulatih skuad lebuh raya

Aminuddin jurulatih skuad lebuh raya


AMINUDDIN (kanan) kembali diberi tanggungjawab menjadi jurulatih skuad lebuh raya negara.


MESYUARAT pertama Exco Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Jumaat lalu berakhir dengan kejutan apabila bekas pelumba tersohor negara, Aminuddin Sulaiman dilantik semula sebagai ketua jurulatih skuad lebuh raya Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Meskipun bukan perkara baharu, pelantikan semula Aminuddin dalam arena kejurulatihan sedikit sebanyak mengejutkannya.

Untuk rekod, Aminuddin pernah memegang jawatan sebagai jurulatih kebangsaan pada tahun 2005, 2007, 2008 dan 2010.

"Saya terkejut dengan pelantikan ini. Bagaimanapun, saya bersedia seratus peratus untuk kembali memegang status jurulatih kebangsaan terutama dalam mengejar misi membawa pulang pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai pada Sukan SEA 2013 di Myanmar nanti," katanya yang turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung di Melaka itu.

Paling menarik, Aminuddin atau lebih dikenali sebagai 'Wak' dalam kalangan rakan-rakannya juga merupakan jurulatih tempatan terakhir yang menghadiahkan dua butir pingat emas pada Sukan SEA 2005 di Filipina menerusi Suhardi Hassan dan Nor Azian Alias.

Pelantikan tersebut juga menyaksikan pakar 'breakaway' ini terpaksa melepaskan jawatannya sebagai jurulatih skuad berbasikal Pahang dan Naib Setiausaha PKBM.

Menyentuh mengenai sasaran yang diletakkan PKBM iaitu untuk membawa pulang pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki atau wanita di Sukan SEA 2013 di Myanmar nanti, Aminuddin menyatakan yang beliau tidak terkejut.

"Ia amat realistik kerana kita sudah lama tidak melakar kemenangan pada peringkat Asia Tenggara," jelas jurulatih kelahiran Temerloh Pahang itu.

"Saya bersedia terima cabaran yang diberikan oleh PKBM kerana saya pernah membawa pulang dua pingat emas di Manila pada 2005. Secara kebetulan pemenang pingat emas ketika itu iaitu Suhardi masih lagi berkayuh dan saya akan menilai semula keupayaannya.

"Bagaimanapun, Nor Azian sekarang adalah jurulatih wanita Johor dan masih berkayuh secara tidak serius. Untuk itu, saya mahu nilai semula daya ketahanan Nor Azian kerana saya percaya dia masih kuat dan disegani pada peringkat Asia Tenggara," tambahnya.

Buat permulaan, Aminuddin akan mengadakan latihan berpusat berpangkalan di Melaka dan bakal melakukan pemilihan rambang pada Kejohanan Grand Prix (GP) Kebangsaan 2012 Siri Sarawak (GP Sarawak) di Kuching 21 hingga 23 September inii.

"Saya akan cuba pantau prestasi semua pelumba menjelang tiga kejohanan besar iaitu Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013, Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 dan Jelajah Malaysia 2013. Selepas GP Sarawak, saya akan uji mereka di Tour of Brunei 2012 bermula akhir September ini," katanya.

Dalam pada itu, Presiden PKBM, Abu Samah Abd. Wahab menegaskan, ahli Exco sebulat suara memilih Aminuddin sebagai jurulatih dalam mesyuarat Exco, Jumaat lalu.

Ia diputuskan selepas menimbangkan seorang lagi salon utama, Syed Mohd. Hussaini Syed Mazlan dari Terengganu.

Bukan itu sahaja, Syed Mohd. Hussaini dilantik sebagai pengarah perlumbaan (race director) bagi membantu Aminuddin untuk tiga kejohanan besar nanti iaitu LTdL 2013, ACC 2013 di New Delhi, India dan Jelajah Malaysia 2013.

"Kami dapati kedua-dua calon ini iaitu Aminuddin dan Syed Mohd. Hussaini adalah antara jurulatih tempatan yang sangat berkaliber dan berkualiti di negara ini ketika ini. Masing-masing telah pun membuktikan kewibawaan mereka ketika menjadi pengendali skuad lebuh raya Malaysia.

"Aminuddin adalah jurulatih Malaysia terakhir yang membawa pulang dua pingat emas daripada Sukan SEA 2005 di Filipina manakala Syed Mohd. Hussaini pula telah membuktikan pretasi dan rekod cemerlang ketika melatih skuad kebangsaan pada ACC 2012 dan LTdL 2012.

"Namun setelah menimbang semua aspek, kami sebulat suara pilih Aminuddin dan dia akan memulakan tugas sebagai ketua jurulatih berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Process time in ms: 31