NEGARA

Buang mayat bayi di tandas hospital

Buang mayat bayi di tandas hospital


BANGUNAN Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan yang menjadi tempat remaja membuang bayi yang baru dilahirkan di dalam tandas Wad Teratai 2C semalam.


KUANTAN – Seorang remaja yang telah terlanjur bertindak kejam apabila cuba mengepam mayat bayi yang baru dilahirkannya ke dalam mangkuk tandas di Wad Teratai 2C di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.

Namun, perbuatan jahat itu terbongkar akhirnya apabila mayat bayi berkenaan tersekat di dalam mangkuk tandas sebelum ia ditemui oleh seorang kakitangan hospital pada pukul 4.45 pagi.

Difahamkan, sebelum kejadian, remaja berusia 16 tahun tersebut pergi ke hospital berkenaan untuk menemui ibunya yang sedang dirawat.

Dia kemudian telah pergi ke wad tersebut untuk melahirkan bayi di dalam tandas kerana kawasan tersebut dipenuhi dengan ibu bersalin dan tangisan bayi yang disangka dapat menutup kelakuan tidak berhati perutnya itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kakitangan hospital berkenaan yang terkejut kemudian memaklumkan penemuan itu kepada ketuanya sebelum menghubungi polis.

“Siasatan mendapati kepala dan badan bayi malang itu tersumbat di dalam lubang mangkuk tandas sebelum kita mendapatkan bantuan bomba untuk mengeluarkan mangsa.

“Selepas menjalankan siasatan, kita kemudian dapat menahan remaja berkenaan di dalam kawasan hospital. Soal siasat kemudian mendapati remaja itu mengaku melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, pemeriksaan terhadap suspek menemui kesan yang dia baharu sahaja melahirkan anak. Suspek juga bertindak meninggalkan bayinya selepas mendapati ia tersumbat di dalam mangkuk tandas tersebut.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Process time in ms: 31