GARAJ

Nissan Almera

Nissan Almera


ETCM yakin Almera berupaya menjadi pilihan pengguna tempatan dan model popular Nissan selepas MPV Grand Livina.


SELEPAS beberapa ketika berteka-teki, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pada Jumaat lalu memperkenalkan pesaing terbaharu dalam sedan segmen B, Nissan Almera dalam satu prebiu eksklusif kepada media di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.

Bakal dipasarkan bermula suku keempat 2012, Almera merupakan model pemasangan komponen terurai (CKD) yang dipasang di Malaysia, iaitu di kilang ETCM di Serendah, Selangor. ETCM telah melabur sebanyak RM10 hingga RM15 juta untuk program CKD tersebut.

Almera yang dikenali sebagai Sunny di pasaran lain ialah sedan global paling laris Nissan. Sehingga kini, lebih 430,000 unit telah terjual sejak ia dilancarkan pada 2010. Menurut Nissan, Almera cukup berjaya di pasaran seluruh dunia terutama di China dan Thailand.

Berbeza dengan Thailand yang menawarkan Almera bersama varian enjin bersesaran 1.2 liter, ETCM bagaimanapun memilih untuk membawa Almera berenjin lebih besar iaitu 1.5 liter.


RAMAI yang bercanggah pendapat mengenai reka bentuk bahagian belakang Almera.


Enjin yang sama pada model Latio itu akan dipadankan dengan dua pilihan transmisi, automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan. Pengenalan Almera juga menjadi petanda bahawa model sedan Nissan yang sudah lama berada di pasaran seperti Sentra dan Latio akan dikeluarkan daripada tawaran ETCM tidak lama lagi.

Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng menyatakan, pihaknya yakin Almera mampu meningkatkan peratusan penguasaan pasaran Nissan dengan signifikan di Malaysia yang kini berada pada tahap 5.3 peratus (keseluruhan volum industri, TIV).

"Di China, sebanyak 15,000 unit dijual sebulan. Di Thailand pula, lebih 7,000 unit sebulan berjaya dijual. Saya optimis bahawa Almera akan menjadi model nombor satu Nissan di Malaysia. Buat masa sekarang Grand Livina adalah model paling popular Nissan," kata Ang.

Menyentuh mengenai kelebihan Almera, sedan itu menyerlah dari aspek ruang kabin yang terbaik dalam kelasnya. Almera turut dipasang dengan ciri tambahan seperti butang penghidup enjin (Start/Stop) dan meter iluminasi sendiri atau lebih dikenali sebagai Multi Information display (MID).

Orang ramai boleh melihat secara dekat sedan global itu di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 Ogos. Almera dijangka dijual pada harga antara RM70,000 hingga RM85,000 seunit.

Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Almera, mereka boleh mendaftar di Pavilion dan di semua lokasi siri jelajah Almera.

Process time in ms: 0