URBAN

Warga kota bantu ibu tunggal

Warga kota bantu ibu tunggal



SUASANA di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara pada 24 Jun lalu meriah dengan gelak tawa ibu tunggal serta kanak-kanak semasa mencuba sebuah tarian Latin atau lebih dikenali sebagai zumba.

Keceriaan jelas terpancar pada raut wajah mereka walaupun ada sesetengah di antara mereka kelihatan terpinga-pinga dan masih malu-malu untuk mencubanya.

"Mereka yang menyertai aktiviti ini merupakan 30 ibu tunggal yang terpilih untuk menerima bantuan menerusi program ReachOut Kota Damansara 2012," kata pemilik Curves cawangan Kota Damansara, Amutha Subramaniam.

Menurut Amutha, ia merupakan program amal pertama anjuran pusat kecergasan miliknya di kawasan Kota Damansara bagi membantu golongan yang memerlukan. Lebih manis, pihaknya berjaya menarik lebih 1,500 orang ramai dari kawasan Kota Damansara.


KANAK-KANAK ini gembira menerima sumbangan buku daripada golongan masyarakat prihatin.


Program yang bermula seawal pukul 9.30 pagi itu turut disertai pekerja beberapa syarikat perniagaan di kawasan Kota Damansara iaitu AVON, Amazing Kids, ZazenHealth Solutions, GulamMee dan Tupperware.

Setiap komuniti perniagaan yang terlibat turut mempunyai peranan mereka tersendiri dalam usaha untuk membantu golongan ibu tunggal.

Lawat rumah

Fokus utama program tersebut adalah untuk membantu golongan ibu tunggal yang kurang bernasib baik dan tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), Seksyen 8, Kota Damansara.

Menurut Amutha, pihak Curves Kota Damansara memilih 30 ibu tunggal yang tinggal di kawasan tersebut berdasarkan cara kehidupan seharian dan tanggungan mereka.

"Pihak kami telah melawat ke rumah mereka dan melihat sendiri bagaimana mereka menjalani rutin seharian mereka.

"Program ini bermula sejak dari bulan Mei lalu apabila Curves Kota Damansara telah mengumpulkan lebih 900 kilogram (kg) makanan yang dianggarkan bernilai hampir RM18,000 untuk diagihkan kepada ibu-ibu tunggal ini," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menerusi program tersebut, semangat kejiranan turut disemai apabila kawasan kejiranan PPR Seksyen 8, Kota Damansara turut terlibat dalam usaha membantu ibu-ibu tunggal yang kurang bernasib baik itu.

Menurut Timbalan Ketua Blok C, PPR Seksyen 8, Siti Ramlah Samsudin, 58, mereka berjaya mengumpulkan 500kg bekalan makanan dan 680kg pakaian terpakai serta perkakasan rumah menerusi program tersebut.

"Walaupun kami yang tinggal di kawasan PPR tidak mampu untuk menyumbang wang ringgit, kami mempunyai buah fikiran dan tenaga yang cukup untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal ini.

"Kerjasama pihak kami dengan Curves Kota Damansara turut membuka laluan kepada kumpulan perniagaan lain serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil membantu golongan ibu tunggal ini dan lihat hasilnya pada hari ini. Ia amat lumayan," katanya.


AKSI kandid sekumpulan kanak-kanak yang gembira memainkan instrumen perkusi.


Tambah Siti Ramlah, seramai 25 individu yang tinggal sekitar kawasan Kota Damansara turut menyumbang dalam pengumpulan bekalan makanan dan pakaian terpakai untuk didermakan kepada ibu tunggal.

Dengan penglibatan komuniti perniagaan di kawasan Kota Damansara menerusi program ReachOut Kota Damansara 2012, pelbagai aktiviti lain diadakan untuk memeriahkan acara.

Antaranya adalah pertandingan solekan, pertandingan melukis, persembahan boneka serta cabutan bertuah kepada lima pemenang yang membawa pulang lima buah hamper bernilai RM100.

Dalam pada itu, salah seorang ibu tunggal yang menerima bantuan semasa program tersebut, Mahani Abdullah, 71, melahirkan rasa syukur kerana ini merupakan kali pertama dia menerima bantuan sepanjang bergelar ibu tunggal.

Keperitan hidup

Mahani yang telah kehilangan suami tersayang sejak lebih 12 tahun lalu kini tinggal sendirian dan hanya bergantung kepada elaun sebanyak RM300 sebulan yang diberikan oleh pihak Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

"Rutin harian saya hanya belajar ilmu fardu ain, Fiqah dan al-Quran di pejabat Perkim yang terletak di Jalan Ipoh. Dengan jumlah bantuan yang saya terima menerusi program ini, bekalan makanan itu mampu bertahan selama dua hingga tiga bulan dan ia melebihi keperluan seharian saya," katanya yang memeluk agama Islam sejak berumur 25 tahun.

Seorang lagi ibu tunggal yang menerima sumbangan, Rodiah Md. Din, 43, pula mempunyai pendapatan bulanan yang tidak tetap dan hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Menurut Rodiah, kehidupannya mula goyah apabila suaminya menghilangkan diri sejak tujuh tahun lalu.

"Hidup saya dan anak saya yang berusia 10 tahun ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sebelum ini saya bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak dan kini saya mencuba-cuba perniagaan secara kecil-kecilan dengan menghasilkan bahulu dan kerepek untuk dijual.


PARA peserta pertandingan menyolek menggunakan barangan kosmetik Avon sempena program ReachOut Kota Damansara 2012.


"Usaha pihak Curves Kota Damansara menerusi ReachOut Kota Damansara 2012 nyata telah membantu golongan ibu tunggal yang kurang bernasib baik seperti saya dan saya selaku wakil ibu tunggal amat berterima kasih dengan sumbangan ini," katanya yang kini mula memperkenalkan jenama Bahulu Kak Rod sebagai langkah awal untuk memulakan perniagaannya.

Process time in ms: 16