NEGARA

Chef Liza berkongsi tip masakan

Chef Liza berkongsi tip masakan


CHEF LIZA (tujuh dari kanan) bersama barisan peserta akhir Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 pada bengkel yang diadakan di Akademi Kulinari Chef Liza di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kesemua 12 peserta yang mara ke peringkat akhir Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 berkampung selama sehari di Akademi Seni Kulinari Chef Liza di sini semalam.

Mereka menyertai Bengkel Peserta Akhir Cabaran Daisy Bersama Mentor sebagai persediaan menghadapi pertandingan akhir cabaran itu Ahad ini.

Juri profesional cabaran tersebut, Chef Liza berkata, bengkel itu membolehkan beliau berkongsi tip dan teknik yang betul untuk mengadun bahan-bahan membuat kek dan biskut dengan peserta.

“Kebanyakan peserta tidak menghadiri kelas membuat kek dan biskut secara formal, jadi masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Mereka diberikan peluang untuk bertanyakan apa sahaja soalan berkaitan cara-cara menghasilkan kek dan biskut untuk membuatkannya lebih enak berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati kesemua peserta menunjukkan minat mendalam terhadap sesi taklimat dan demonstrasi membuat kek gulung dan biskut kacang oleh Chef Liza dan anaknya, Chef Erin Zainol.

Pada majlis itu juga, Chef Liza sempat berpesan agar setiap peserta menitikberatkan kebersihan dan kekemasan sepanjang pertandingan berlangsung bagi mengelakkan markah mereka dipotong.

Sementara itu, Pengurus Produk Daisy, Cecilia Lee menyarankan, peserta memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diterima daripada pakar masakan terkemuka seperti Chef Liza bagi merebut gelaran juara cabaran tersebut pada tahun ini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Process time in ms: 0