VARIA

Generasi kelima tumbuk kalang

Generasi kelima tumbuk kalang

KEUNIKAN persembahan tumbuk kalang perlu dipertahankan dan diteruskan oleh anak-anak muda zaman ini.


IRAMA muzik asli seperti gamelan dan caklempong memang sudah tidak asing dan sering diperdengarkan dalam majlis keramaian, namun bagaimana pula dengan irama tumbuk kalang, pernahkah anda mendengar iramanya?

Mungkin ramai yang tidak dapat membayangkan bunyinya, namun bagi mereka yang pernah mendengarnya, ia boleh dianggap sesuatu yang menghibur dan menyeronokkan.

Dikategorikan sebagai permainan rakyat di Negeri Sembilan, tumbuk kalang menghasilkan irama bunyi yang lunak hanya dengan menumbuk perlahan beberapa batang antan ke sebuah lesung kayu mengikut tempo tertentu.

Terkenal khususnya di Tampin, Inas, Seri Menanti, Gunung Pasir dan Rembau, tumbuk kalang dimainkan oleh masyarakat pesawah pada zaman dahulu ketika mengemping padi terutama pada waktu malam bulan mengambang dan lagunya dinyanyikan oleh anak muda.

Ketua kumpulan tumbuk kalang Sinaran Kalang di Kampung Gedok, Gemencheh, Bahari Silong, 66, berkata, setelah penat menuai dan membanting padi pada siang hari, masyarakat kampung lazimnya berkumpul pada sebelah malam untuk mengemping padi. Sambil-sambil itu mereka menikmati irama tumbuk kalang.

Menurut Bahari, lesung dan antan untuk permainan tumbuk kalang itu diperbuat daripada kayu merbau atau halban kerana kayunya keras dan menghasilkan bunyi yang lantang.

Setiap tumbukan di bahagian lesung akan menghasilkan bunyi yang berlainan. Tumbukan di hujung kiri lesung dinamakan mencincang, dengan menghasilkan bunyi tetap dan satu-satu.

Sementara itu, tumbukan di hujung kanan yang tidak tetap dipanggil menganak atau meningkah.

Tumbukan di sebelah tepi kiri atau kanan badan lesung pula dipanggil mengibu iaitu merujuk kepada tumbukan yang paling penting kerana ia menentukan lagu-lagu yang dimainkan.

Akhir sekali ialah tumbukan di lubang lesung atau tepi lubang lesung yang dipanggil keriket untuk mengindahkan irama lagu.

Kumpulan generasi kelima

"Bunyi tumbuk kalang ini kuat. Kalau dibunyikan di sini, orang boleh mendengarnya dari jarak satu batu. Jadi, bila orang dengar bunyi tumbuk kalang ini mereka akan datang beramai-ramai dan di samping itu mereka boleh membantu mengemping dan kemudiannya makan emping.

"Biasanya mereka akan berpantun dan mendendangkan lagu-lagu yang biasa dinyanyikan seperti lagu Tumbuk Emping, Kuda Berontak, Patah Lambung, Tebing Gurut, Petang-Petang, Kanding Putu dan Tupai Menegur.

Tidak ketinggalan ialah lagu Siamang Tergegau, Gogar Bacang, Timang Kak Janda, Kang Kang kap dan Kambing Berlaga," jelas Bahari.

Sebelum alunan tumbuk kalang ini dimainkan, terlebih dulu anak muda di kampung akan mempersembahkan kehebatan berpantun masing-masing.

Bahari memberitahu, kumpulan tumbuk kalang Kampung Gedok telah lama wujud iaitu sejak 1958 lagi dan anggota kumpulan sekarang ini merupakan generasi kelima yang meneruskan warisan permainan rakyat itu.

"Saya ikut arwah ayah main tumbuk kalang sejak berumur 12 tahun dan saya adalah generasi kedua tumbuk kalang.

"Oleh kerana minat yang mendalam, saya telah menubuhkan kumpulan tumbuk kalang di Kampung Gedok ini pada tahun 1974," kata Bahari.

Undangan serata tempat

"Kumpulan Sinaran Kalang terdiri daripada 18 remaja berumur antara 11 dan 16 tahun. Kami mengadakan persembahan pada majlis keramaian dan perkahwinan, dan sambutan amat menggalakkan.

"Kami turut mendapat undangan menyertai persembahan seperti di Citrawarna, Malaysia Fest, Pesta Port Dickson, Pesta Kelantan dan Melaka.

"Selain kumpulan Sinaran Kalang, kami juga mempunyai satu lagi kumpulan tumbuk kalang untuk orang dewasa di Gemencheh yang bernaung di bawah Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Dewan Undangan Negeri Gemencheh dengan dianggotai 15 ahli," katanya.

Adalah menjadi harapan beliau agar permainan tumbuk kalang dapat dikembang dan diketengahkan demi memartabatkan khazanah warisan bangsa. - Bernama

Process time in ms: 15