RENCANA UTAMA

Klinik penagih Masjid Ar-Rahman

Klinik penagih Masjid Ar-Rahman



AKIBAT menjadi hamba dadah selama tiga dekad, Feisal Fakharudin, 48, hidup dalam keadaan yang tidak terurus di jalanan.

Pengalaman dikejar oleh pegawai polis dan keluar masuk dari pusat pemulihan sudah menjadi lumrah dalam kehidupan Feisal.

Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, penagihan dadah adalah satu perbuatan yang melanggar hukum agama.

Bagaimanapun, Feisal bernasib baik kerana Masjid Ar-Rahman yang terletak berdekatan dengan Universiti Malaya (UM), Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur tidak menyisihkan golongan penagih dadah sepertinya yang sering dikeji dan dicaci masyarakat.

Selepas menunaikan solat, Feisal meninggalkan jemaah lain bagi mendapatkan dos metadone dari klinik rawatan dadah di masjid tersebut.

Klinik yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) itu merupakan klinik di masjid yang pertama di dunia yang menyediakan rawatan metadone.

Feisal berkata, dia pernah dianggap sebagai sampah masyarakat suatu masa dahulu dan tiada pihak yang sanggup membantunya untuk keluar daripada belenggu najis dadah.

Selain bantuan klinik yang menyediakan dos metadone, kejayaan Feisal meloloskan dirinya daripada najis dadah itu turut didorong oleh bimbingan kerohanian daripada imam masjid tersebut.

Setelah lebih dua tahun klinik berkenaan beroperasi di masjid tersebut, usaha itu juga telah membuka mata negara yang menjatuhkan hukuman mati mandatori bagi pengedar dadah.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelidikan Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr. Rusdi Abdul Rashid berkata, beliau bekerja keras untuk meyakinkan pegawai masjid dan jabatan agama Islam bagi membuka klinik untuk penagih dadah di masjid tersebut.

“Metadone ialah sejenis ubat dalam kaedah perubatan. Ia turut membantu penagih dalam jangka masa panjang dan mengelakkan bekas penagih terjebak semula dalam kancah penagihan dadah,” katanya yang juga seorang pensyarah. Rusdi sudah sedekad menjadi pakar perunding psikiatri. Beliau juga menggunakan metadone untuk merawat penagih dadah.


DUA orang penagih menunggu seorang kakitangan klinik menyediakan dos metadone untuk mereka.


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak menghalang pemberian dos metadone di masjid dan bersetuju dengan usaha murni itu.

Menurut Rusdi, beliau menganggarkan setakat ini terdapat 350,000 penagih dadah di seluruh negara. Angka tersebut dianggarkan boleh mencecah sehingga 500,000 penagih menjelang tahun 2015.

Luaskan program

Justeru, UMCAS bercadang untuk meluaskan program klinik di 6,000 masjid di seluruh negara menjelang tahun 2015. Pada masa yang sama UMCAS turut menyasarkan kepada 72,000 penagih dadah jenis heroin.

Klinik tersebut turut menyasarkan untuk menjadikan kuil bagi penganut agama Hindu di Batu Caves sebagai pusat untuk memulihkan penagih dadah yang beragama Hindu.

Dalam pada itu, klinik itu juga akan dibuka di gereja-gereja untuk penganut agama Kristian.

Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr. Abdul Ghaffar Surip berkata, kerjasama Jakim dengan Universiti Malaya (UM) merupakan satu usaha murni untuk memerangi gejala penagihan dadah.

“Saya percaya rawatan untuk membantu penagih dadah boleh dilakukan di masjid. Penggunaan metadone merupakan salah satu cara untuk merawat penagih dadah. Tetapi aspek spiritual, psikologi dan psikososial pesakit itu juga perlu diambil kira.

Menurutnya, penagih sukar diterima oleh masyarakat. Bahkan penagih yang hadir ke masjid sering dipandang rendah oleh masyarakat dan pegawai masjid.

“Mereka berpendapat masjid hanya sesuai untuk orang baik sahaja, manakala penagih dadah pula merupakan golongan yang sering melakukan jenayah.

“Ada sesetengah daripada mereka mempertikaikan kewujudan klinik penagih dadah di masjid-masjid tersebut,” katanya.

Feisal terjebak dalam penagihan dadah sejak dia berumur 15 tahun. Kini, bapa kepada empat orang anak itu bermain muzik di sebuah lokasi yang sering menjadi kunjungan pelancong yang terletak di tengah-tengah bandar raya di Kuala Lumpur.

Kebebasan hidup mula dirasai oleh Feisal setelah mendaftar di klinik metadone milik kerajaan sejak enam tahun lalu.

Sehingga hari ini, seramai 50 penagih dadah terpilih bagi mengikuti program pemulihan di Masjid Ar-Rahman itu.

“Apabila saya datang ke masjid ini, saya rasa lebih tenang dan dekat dengan Maha Pencipta.


MASJID AR-RAHMAN satu-satunya masjid di dunia dan di negara ini yang mengambil inisiatif mendekati penagih dadah.


“Program tersebut juga mengajar saya untuk lebih mempercayai kewujudan Allah. Saya juga berusaha untuk tidak menyimpang dari jalan-Nya. Itulah perbezaan rawatan di masjid dan klinik biasa,” katanya.

Mahu berubah

Dalam pada itu, Pakar Ketagihan dan Pakar Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil berkata, pengambilan metadone dapat menjadikan seseorang penagih dadah menjalani kehidupan seperti manusia biasa.

“Tiada kemudaratan yang menimpa mereka setelah menjalani rawatan menggunakan metadone. Sebaliknya, mereka boleh keluar mencari rezeki halal dan menjaga keluarga yang tercinta.

“Apa yang menggembirakan mereka ialah setelah ujian air kencing dilakukan keputusannya negatif dan mereka bebas daripada najis dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tegasnya, penyatuan rawatan metadone yang dijalankan di masjid membantu meningkatkan tahap kesedaran penagih untuk kembali ke pangkal jalan.

“Kita sudah melihat perubahan yang jelas terhadap penagih dadah. Walaupun mereka masih ragu-ragu untuk berdepan dengan masyarakat, tetapi mereka mempunyai kesedaran untuk berubah.

Menurutnya, kewujudan klinik itu juga telah menarik minat media massa luar negara untuk mendedahkan rawatan metadone di rumah ibadat itu.

“Al-Jazeera, akhbar New York Times dan French TV antara media massa yang terawal mendedahkan kaedah rawatan metadone di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Insaf Murni, Dr. Mohd. Khafidz Mohd. Ishak memberitahu, rawatan gantian menggunakan metadone terhadap penagih dadah merupakan kaedah yang terbaik yang diamalkan di seluruh dunia sejak tahun 1950-an.

Menurutnya, Malaysia memperkenalkan rawatan tersebut sejak tahun 2005 dan agak lewat melaksanakan kaedah rawatan itu.

“Di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah, kaedah rawatan itu telah dilakukan sejak 35 tahun lalu, manakala Australia melaksanakan kaedah tersebut tiga dekad dan Hong Kong pula sejak dua dekad lalu.

Bacaan doa

“Kaedah rawatan ini juga jelas dapat mengurangkan bilangan penagih dadah yang menghidap virus kurang daya tahan penyakit manusia (HIV) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS).


PENGAMBILAN metadone dapat membantu penagih dadah menjalani kehidupan seperti manusia normal lain.


“Sebagai contoh, rakyat Australia dianggarkan seramai lebih kurang 28 juta orang. Angka itu menyamai jumlah keseluruhan rakyat negara kita. Dianggarkan, terdapat 15,000 penagih dadah yang menghidap virus HIV di Australia, manakala di Malaysia dianggarkan 85,000 penghidap virus tersebut,” katanya yang juga terlibat dalam klinik rawatan di Masjid Ar-Rahman .

Waktu rawatan di masjid tersebut bermula pada pukul 8 pagi hingga 1 petang setiap hari Isnin dan Khamis.

Penagih yang datang ke masjid diwajibkan mengambil wuduk dan perlu menunaikan solat sunat tahiyatul masjid sebanyak dua rakaat.

Selepas itu, mereka berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan dengan meminum dos metadone itu disusuli dengan bacaan doa. Kemudian mereka diberi sedikit tazkirah untuk peringatan sebelum dibenarkan pulang.

Mohd. Khafidz menambah, kaedah rawatan gantian menggunakan metadone ini mampu mengurangkan kos yang ditanggung kerajaan dalam menangani masalah berkaitan penagihan dadah.

“Di klinik swasta, satu dos metadone dijual pada harga RM3, manakala di klinik kerajaan ia boleh didapati secara percuma.

“Hakikatnya kerajaan membelanjakan sebanyak RM30 sehari untuk menempatkan penagih dadah di pusat pemulihan dadah. Namun, ada sesetengah daripada mereka tiada kesedaran selepas keluar dari pusat pemulihan dan kembali meringkuk ke pusat itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Process time in ms: 32