HORIZON
Resort idaman di Putrajaya

TERLETAK dalam radius Putrajaya iaitu pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang semakin pesat membangun di Wilayah Persekutuan, Palm Garden Resort sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri.
Berkonsepkan resort perniagaan dan kelab rekreasi bertaraf empat bintang, ia merupakan lokasi ideal bagi golongan ahli perniagaan dan pelancong yang mahu merasai suasana percutian santai di pinggir ibu kota.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke resort ini, pengunjung pasti terpesona melihat keindahan kehijauan taman di sebalik deretan pokok palma yang ditanam berderetan di sekelilingnya.
Berlatarbelakangkan landskap padang golf yang menghijau, resort yang mula beroperasi pada tahun 1995 itu kini berwajah baharu dengan pelbagai perubahan dari segi perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.
Secara keseluruhan terdapat 151 bilik dan suite yang ditawarkan bergantung kepada bajet pengunjung. Antaranya, Heliconia Rooms, Orchard Rooms, Anthurium Suite, mewah dan bercirikan eksklusif bersesuaian dengan status penghuninya.
Ruang bilik tampak kemas dan selesa dengan susun atur perabot yang moden dan kontemporari. Penggunaan warna bertema bumi pada sudut dinding menyerlahkan pesonanya.
Di samping itu, setiap bilik juga direka menghadap Courtyard Bar yang dikelilingi air pancut di samping landskap taman yang subur dan menghijau.
Bagi keselesaan pengunjung, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan seperti penghawa dingin, peti ais mini, televisyen satelit, telefon serta kemudahan membuat kopi dan teh serta akses jalur lebar internet 24 jam.

Palm Garden Resort menyediakan beberapa tempat menarik untuk menjamu selera mengikut cita rasa pengunjung. Dengan hiasan yang menarik menjadikan pengalaman menjamu selera di situ cukup bermakna buat para tetamu.
Bagi yang selesa dengan hidangan bufet dan ala carte, atur sahaja langkah ke Palm Cafe yang menawarkan variasi hidangan tempatan dan antarabangsa yang enak.
Manjakan diri di spa
Disajikan oleh chef-chef berpengalaman, tidak hairanlah kafe itu pernah dianugerahkan Restoran Terbaik oleh Anugerah Pelancongan Majalah Libur 2009.
Bosan menikmati sajian yang sama, silalah ke Aroi Dee Thai Restaurant. Menawarkan aneka hidangan selatan Thai dan Nyonya yang dimasak segar dengan pelbagai rempah-ratus asli, pengunjung pasti pulang kekenyangan.
Jika sekadar mahu menikmati minuman pilihan sambil bersantai bersama teman-teman, bolehlah berkunjung ke Courtyard Bar. Sementara itu di Mulligans Bistro pula, pengunjung boleh menikmati aneka hidangan pencuci mulut dan snek sambil berkaraoke, bermain pool atau papan damak.
Tidak sekadar menawarkan penginapan semata-mata, resort itu juga menyediakan kemudahan ruang seminar dan dewan bankuet.
Perdana Ballroom mampu memuatkan 350 pengunjung pada satu-satu masa untuk majlis makan malam serta boleh dipecahkan kepada bilik-bilik kecil untuk acara seminar, mesyuarat dan perbincangan.
Di samping itu, terdapat juga bilik serbaguna iaitu empat pilihan Bilik Putri serta dua bilik lembaga di Business Centre and Recreation Centre yang boleh digunakan acara berskala sederhana.
Pengunjung juga berpeluang menggunakan pelbagai kemudahan riadah yang disediakan di situ.
Antaranya, lokasi untuk aktiviti kem bina semangat, paintball, dan lapang sasar menembak.

Sementara itu, di pusat rekreasi pula terdapat dua kolam renang, bilik persalinan pakaian untuk lelaki dan wanita lengkap dengan jakuzi, sauna dan bilik urut.
Pengunjung juga boleh menggunakan kemudahan bilik bacaan, gimnasium, meja pool, meja ping pong dan gelanggang futsal mini serta bilik permainan yang menyediakan pelbagai aktiviti untuk si kecil.
Selepas melakukan pelbagai aktiviti seharian, badan mula terasa letih dan penat. Bagi memulihkannya kembali, maka Palm Spa yang terletak di aras lapan merupakan lokasi wajib dikunjungi untuk menerima rawatan badan bermula dari hujung rambut sehingga hujung kaki.
Sudah tentunya juga, Palm Garden Resort tidak boleh dipisahkan dengan lapangan golfnya yang merupakan antara pilihan utama di Lembah Klang.
Ketika ini, ia menawarkan padang golf 27 lubang yang pastinya sesuai untuk menguji bakat dan kemahiran masing-masing.
Varia!»

Fast & Furious 6 kembali ke jalanan
KERETA-KERETA mewah seperti Nissan GT-R dan Subaru BRZ turut dipertaruhkan dalam Fast & Furious 6.




Kafe kedai hardware
Kebaikan anak dijaga kedua-dua ibu bapa

