SUKAN

Azlan tekad ekori Fujiwara

Azlan tekad ekori Fujiwara


AZLAN merakamkan masa kedua terpantas pada sesi kelayakan SuperSports 600cc ARRC 2012 di Litar Antarabangsa Sepang semalam.


PELUMBA negara, Azlan Shah Kamaruzaman akan bermula di petak kedua pada saingan SuperSports 600cc Kejohanan Motosikal Asia Petronas (ARRC) 2012 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Pada sesi kelayakan semalam, Azlan merakamkan masa 1 minit 06.143 saat, ketinggalan 1.108 saat di belakang pelumba sensasi Jepun, Katsuaki Fujiwara.

Seorang lagi pelumba negara, Mohd. Zamri Baba yang mewakili pasukan Hong Leong Yamaha akan memulakan perlumbaan di petak ketiga selepas merekodkan masa 1:06.298s.

"Saya sebenarnya sekadar meletakkan sasaran untuk melakukan catatan sekitar 1:06.500s tetapi berjaya mencatatkan 1:06.- 143s dan itu sudah cukup memadai.

"Dapat bermula di petak kedua juga sudah tentu satu permulaan yang cukup baik bagi saya.

"Saya cuma berharap dapat memulakan perlumbaan dengan baik dan tidak mahu membiarkan Fujiwara menjarakkan diri daripada saya," jelas Azlan yang mewakili pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing.

Sementara itu, Fujiwara enggan cepat berpuas hati dengan prestasinya pada sesi kelayakan meskipun berjaya menyambar petak hadapan.

"Saya terpaksa menunggu sehingga saat- saat terakhir untuk keluar melakukan sesi kelayakan memandangkan keadaan litar masih basah.

"Saya cuma berharap cuaca esok (hari ini) lebih baik kerana saya lebih selesa berlumba dalam keadaan litar kering," kata Fujiwara yang memenangi kedua-dua perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang musim lalu.

Bagi kategori Underbone 115cc, Ahmad Afif Amran menceriakan kontinjen Malaysia apabila bakal memulakan perlumbaan akhir di petak kedua.

Pelumba pasukan CKJ Yamaha Racing itu mencatatkan masa 1:26.915s, berada di belakang naib juara musim lalu, Hadi Wijaya (1:26.879s). Pelumba Thailand, Prawat Yannaawut ketiga dengan catatan 1:26.920s.

Dalam saingan Piala Impian Asia (ADC), dua pelumba muda negara, S. Sasitharen dan Mohd. Fitri Ashraf Razali berjaya menempatkan diri di barisan kedua pada perlumbaan akhir hari ini.

Pada sesi kelayakan, Sasitharen dan Fitri masing-masing mencatatkan masa keempat dan keenam terpantas.

Process time in ms: 32