RENCANA UTAMA

Suami banyak bantu Salwa

Suami banyak bantu Salwa


SALWA (tengah) akan melayan pelanggan bak puteri raja kerana katanya, merekalah yang telah meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan berjaya sekarang.


PADA mulanya beliau sekadar menggunakan barangan kecantikan Avon untuk kegunaan sendiri dan keluarga tetapi melihat potensi produk yang dipakai menyebabkan terbit minat Salwa Said, 35, untuk bergerak secara aktif melalui program Sales Leader (SL) yang diketengahkan Avon.

Beliau yang kini memegang jawatan Executive Sales Leader (ESL) melakukan perniagaan jualan langsung barangan kecantikan Avon secara separuh masa akibat terikat dengan kerjaya sebagai eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Klang, Selangor.

Menurutnya, ketika mula menjadi wakil Avon pada tahun 2003, beliau hanya membeli barangan Avon untuk kegunaan sendiri. Tidak pernah terlintas di fikirannya mahu menjawat jawatan yang dipegangnya dalam Avon sekarang.

Tambahnya, selepas berkahwin pada pertengahan tahun 2003, beliau mengikut suaminya, Rizal Ibrahim, 35, yang bekerja sebagai guru berpindah ke Jalan Kebun di Klang.

Sebati

“Setelah berpindah, saya berhenti membeli barangan Avon kerana tidak tahu butik berdekatan rumah yang menjualnya. Lagipun saya tidak bekerja waktu itu.

“Saya mula terdedah kepada perniagaan jualan langsung apabila bekerja sebagai pengurus spa pada 2009 selepas melahirkan anak kedua,” ujarnya semasa ditemui di Butik Avon Kompleks PKNS, Shah Alam.

Tutur ibu kepada tiga orang anak itu, beliau banyak mendapat permintaan barangan Avon daripada pelanggan yang datang ke spa berkenaan.

Beliau memberitahu, barangan Avon mempunyai keistimewaan tersendiri dan sudah sebati dengan dirinya. Ia juga mudah dijual kerana jenama itu telah dikenali ramai.

Ujar Salwa, setakat ini beliau menyelia kira-kira 300 usahawan Avon di Lembah Klang. Kebanyakan mereka ialah suri rumah, pelajar dan guru.

Tertinggi

Di samping mempunyai misi untuk mengembangkan jaringan usahawan di bawahnya untuk tempoh lima tahun akan datang, beliau turut berhajat untuk mencapai tahap jawatan Senior Executive Sales Leader (SESL) pada tahun ini.

“Saya memilih untuk menjalankan perniagaan secara berkumpulan kerana dengan cara ini, peluang lebih terbuka. Saya juga boleh berjumpa dengan ramai orang untuk berkongsi pendapat serta mengembangkan perniagaan dengan lebih mudah.

“Tiga kali dalam seminggu, saya akan berjumpa dan menjalankan aktiviti bersama downline bagi menerangkan mengenai produk-produk baharu,” ulasnya lagi.

Jelas Salwa, beliau juga akan memberi nasihat kepada downline untuk memilih pendapatan yang mereka minati kerana dalam Avon, peserta boleh memilih sama ada untuk terlibat dalam jenis pendapatan persendirian atau jualan secara berkumpulan.

Katanya, suaminya memberi sokongan penuh untuk beliau bergiat aktif dalam Avon kerana bukan mudah untuk membahagikan masa antara keluarga dan kerja.

“Semua ini memerlukan komitmen tinggi kerana saya sudah mempunyai keluarga dan saya perlu tahu cara untuk membahagikan masa untuk kesemuanya.

“Saya hanya akan berjumpa pelanggan pada hujung minggu dan cuti umum. Sekiranya ada temu janji pada hari bekerja, saya akan menggunakan masa pada waktu rehat untuk berjumpa pelanggan,” tambah wanita yang berasal dari Batu Berendam, Melaka ini.

Menurutnya, beliau masih aktif walaupun hamil anak ketiga ketika memegang jawatan sebagai Assistant Sales Leader (ASL). Sepanjang dua tahun bergerak aktif dalam Avon, Salwa pernah meraih pengiktirafan bagi Anugerah ESL 2011 serta Anugerah Unit Executive 2011.

Selain itu, beliau turut dinobatkan masing-masing tempat ketiga dan kelima bagi Anugerah Sales Leader Terbaik Daerah untuk kategori penaja terbaik dan kategori pendapatan tertinggi.

Process time in ms: 0