RENCANA UTAMA
'Hotel' penjual Bidayuh
|
SEBAIK sahaja langkah kaki menghampiri pekarangan Pasar Minggu Satok di persimpangan Jalan Satok dan Jalan Palm di Kuching, pandangan mata semakin meliar tatkala melihat pacakan deretan khemah niaga yang memayungi pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan.
Sedang mata asyik membelek keunikan kuih tumpik, cincin, bakar labu dan apam Sarawak, peniaga di situ tidak putus-putus mempelawa pengunjung yang lalu lalang untuk membeli kuih-muih tradisi Melayu Sarawak itu.
"Datang dari Malayakah? Mahu dicuba dulu kuih-kuihnya? Kalau berkenan beli, kalau tidak, tak mengapa," ujar peniaga kuih, Noralisa Aceh, 24.
Dia yang ditemani sepupunya, Saleha Ramli, 22, menawarkan sepotong kuih yang masih dibaluti sejenis daun.
"Cuba rasa kuih celorot ini, sedap rasanya," pelawa Noralisa.
Diperbuat daripada tepung beras dan gula merah, adunan kuih yang teksturnya sedikit kenyal dan manis itu kemudian dibalut dengan pucuk daun nipah sebelum dikukus sehingga masak.
Ayam pansuh
Selain itu, gadis Melayu Melanau ini turut menjual tapai madu yang ramuannya beras pulut, gula dan ragi.
Kata Noralisa, tapai yang dibungkus menggunakan daun nipah lebih enak dan lemak.
"Tapai madu ini dijual pada harga 25 sen sebungkus. Kalau nak tahu, tapai ini cukup popular di Sarawak pada bulan puasa sebagai juadah pencuci mulut.
"Ketika itu, kalau sediakan 4,000 bungkus tapai sehari pun belum tentu cukup untuk penuhi permintaan pelanggan," ujarnya yang membantu menjual hasil air tangan ibunya itu, Sabariah Ali, 48.
Tidak jauh dari gerai kuih-muih, pandangan mata beralih ke arah deretan gerai yang menjadi tumpuan ramai pengunjung.

Penulis tidak pasti apa yang dijual di sana namun kepulan asap nipis yang menyebarkan aroma harum masakan panggang seakan-akan magnet yang menarik sesiapa sahaja ke situ.
Dari celahan orang ramai, kelihatan deretan kepak ayam, ikan terubuk dan ayam pansuh di panggang di atas tungku mudah alih yang sama.
Di belakang gerai tersebut, tersedia beberapa buah meja lipat dan kerusi yang secara tidak langsung memberi pilihan kepada pembeli sama ada ingin menikmati juadah panas-panas di situ atau dibawa pulang.
Bagi pengunjung setia Pasar Minggu Satok, pemandangan seperti itu sudah menjadi kebiasaan kepada mereka.
Malah, pasar yang dipacak di atas jalan raya ini sudah berpuh-puluh tahun menjadi destinasi penduduk kampung dari serata daerah untuk menjual hasil tanaman, sayuran kampung serta buah-buahan yang tidak boleh didapati tempat lain.
"Inilah keunikan Pasar Minggu Satok. Pengunjung boleh membeli pelbagai jenis hasil tanaman dengan harga yang sangat berpatutan.
"Selain itu, mereka berpeluang mengenali pelbagai jenis herba, buah-buahan, tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang digunakan oleh penduduk Sarawak dalam masakan dan perubatan tradisional mereka," ujar pemandu pelancong, Lenjoe Nigo, 30.
Hasil hutan
Kata-katanya itu disokong oleh Mohammad Jo, 60, yang sudah lama berniaga buah asam paya di pasar minggu itu.
"Bukan mudah untuk ambil buah ini. Pokoknya tumbuh di dalam hutan tebal dan hanya boleh ditemui ketika musim menuai iaitu antara Mac dan Mei.
"Buah ini menjadi ramuan penting untuk masakan kukus dan dibuat jeruk. Bagi yang mahu elak ulser mulut, cubalah makan asam ini dua biji seminggu," katanya.
Bagi Helen Wee, 50-an, pula, kepelbagaian jenis nanas yang dijual di gerainya menjadi daya penarik.
"Selain buah nanas, saya juga menjual bunganya. Orang Cina suka beli bunga nanas untuk dijadikan perhiasan topekong," katanya.
Selain melihat rentak peniaga dan pembeli tawar-menawar, pelbagai hasil hutan yang jarang ditemui ada di sini. Antaranya batang tepus, kechala, kepayang, binjai, jambu ara dan belimbing hutan.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh membeli bermacam-macam jenis kraf tangan dan cenderamata seperti pua kumbu, sumpit dan manik
"Pasar ini beroperasi pada hari Sabtu bermula pukul 3 petang hingga 10 malam. Manakala keesokannya, ia dibuka semula seawal pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari," kata seorang guru yang berasal dari Samarahan, Norliza Tinggal, 29.
Bercerita tentang keunikan Pasar Minggu Satok, Norliza memberitahu, di sini sahaja pengunjung boleh melihat peniaga memasang kelambu dan tidur di pasar terutamanya yang datang dari Serian dan Serikin yang terletak di sempadan Kalimantan, Indonesia.
Hotel
Tatkala gelap malam mula menyelubungi Satok, suasana hingar-bingar dengan jerit-pekik suara peniaga yang menjadi nadi pasar itu beransur sepi apatah lagi jalan masih basah dek timpahan hujan lebat petang tadi.

Menjelang pukul 10 malam, tapak pasar itu benar-benar sunyi. Ada tinggal sebahagian kecil peniaga yang masih ada di gerai dan mengemas hasil jualan.
Sementara sekumpulan peniaga lain sudah bersiap sedia untuk merehatkan badan di sebalik tirai kelambu yang dipasang di kaki-kaki lima berhadapan gerai jualan mereka.
Biarpun hanya beralaskan kanvas yang dilapisi kepingan kotak, tidur mereka cukup nyenyak lantaran keletihan.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Justin, 49, berkata bermalam di situ merupakan rutin mingguan dia bersama isteri dan anaknya yang berniaga hasil hutan dan sayuran.
"Keluarga mertua saya sudah berniaga di sini sejak 30 tahun lalu dan kini isteri saya mewarisinya.
"Kami tidak ada masalah untuk tidur dalam keadaan serba kekurangan. Apa yang penting, perlu ada kelambu kerana banyak nyamuk di sini," katanya.
Sementara itu, bagi Maria Mayo, 65, dia terpaksa tidur di pasar walaupun kediamannya hanya terletak kira-kira 45 kilometer dari Kuching.
"Walaupun mengambil masa cuma sejam, ketiadaan kenderaan sendiri menyukarkan kami untuk berulang-alik.
"Lagipun kebanyakan peniaga di sini ialah orang Bidayuh yang datang dari kawasan luar bandar seperti Kampung Annah Rais dan Kampung Benuk di Padawan.
"Dari rumah panjang ke sini, kami terpaksa menumpang lori dengan bayaran RM17 seorang tidak termasuk barang jualan yang dicaj sebanyak RM3 setiap satu bakul.
"Bayaran tersebut sudah cukup mahal bagi kami sedangkan hasil daripada jualan tidak seberapa.
"Dek kerana itu, kami memilih untuk bermalam di pasar sahaja. Pendek kata, pasar Satok ini sudah menjadi hotel buat kami.
"Lagipun, jika bermalam di sini, kami mudah untuk menyambung perniagaan awal pagi esok," katanya yang menjual umbut dan rebung.
Varia!»

Fast & Furious 6 kembali ke jalanan
KERETA-KERETA mewah seperti Nissan GT-R dan Subaru BRZ turut dipertaruhkan dalam Fast & Furious 6.




Kafe kedai hardware
Kebaikan anak dijaga kedua-dua ibu bapa

