HIBURAN
Perjuangan mesti diteruskan - Zainal
ZAINAL akur tetapi kesal konsert The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya di Kuching terpaksa dibatalkan. |
PADA tanggal 5 Mei lalu, konsert The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah telah mendapat sambutan baik apabila dihadiri kira-kira 3,000 peminat.
Bagaimanapun, penganjur konsert tersebut iaitu Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd. tiba-tiba mengumumkan konsert yang dijadualkan akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 23 Jun ini terpaksa dibatalkan.
Menurut penganjur konsert, penyanyi Zainal Abidin ketika dihubungi Kosmo!, pihaknya terpaksa membatalkan konsert berkenaan ekoran penjualan tiket yang tidak mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.
Akur dengan situasi yang berlaku, Zainal turut meluahkan rasa kecewanya terhadap segelintir peminat yang dilihat masih lagi gemar menonton konsert secara percuma.
Kosmo!: Boleh Zainal komen mengenai pembatalan konsert tersebut?
ZAINAL: Kami sudah mengambil keputusan untuk membatalkan konsert yang sepatutnya berlangsung di dewan Majlis Bandaraya Kuching Utara pada 23 Jun ini. Keputusan itu dibuat setelah melihat sambutan yang tidak memuaskan terutama penjualan tiket dan tidak mahu menanggung risiko yang lebih tinggi.
Sehingga sekarang sudah berapa banyak tiket yang terjual untuk konsert di Kuching?
Satu pun masih belum dapat terjual dan tiada langsung mana-mana pihak yang bertanyakan tentang tiket. Sedangkan tiket untuk konsert tersebut sudah mula dijual sejak bulan Mac lalu.
Mengenai promosi yang dilakukan pula, segala-galanya berjalan dengan lancar dan kami sudah melakukannya menerusi promosi di media cetak, radio dan laman sosial seperti Facebook.
Apakah pandangan Zainal tentang situasi yang berlaku?
Sebenarnya objektif utama kami menganjurkan konsert ini adalah kerana mahu mengembalikan semula nostalgia dengan menganjurkan konsert berbayar. Selama ini orang ramai sudah terbiasa dengan konsert yang dianjurkan secara percuma.
Jadi, saya melihat kegagalan menganjurkan konsert di Kuching ini berpunca daripada sikap segelintir peminat yang masih belum dapat menerima sepenuhnya untuk menonton konsert berbayar.
Saya berpendapat perkara ini berlaku impak terlalu banyak konsert percuma menerusi pelbagai karnival yang dianjurkan. Apabila perkara ini berterusan, maka sambutan terhadap konsert berbayar sudah tentu semakin kurang dan inilah yang terjadi kepada kami.
Berapakah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh penganjur?
Kalau boleh saya tidak mahu memberitahu tentang jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung. Bagaimanapun, perjuangan kami untuk menganjurkan konsert berbayar perlu diteruskan kerana ini merupakan salah satu punca pendapatan kepada golongan penyanyi.
Apakah perancangan pihak penganjur sekarang?
Buat masa ini kami mahu memberikan lebih tumpuan kepada penjualan tiket untuk konsert yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur. Setakat ini penjualan tiket di ketiga-tiga lokasi konsert tersebut begitu memuaskan.
Saya percaya, masih ramai lagi peminat yang akan hadir untuk menyaksikan konsert berbayar kerana mereka tahu kualiti dan kepuasan yang akan dirasai berbanding menyaksikan konsert percuma.
Adakah Zainal berpuas hati dengan konsert yang berlangsung di Kota Kinabalu?
Sudah tentu saya berpuas hati kerana persembahan yang ditampilkan kesemua penyanyi, pencahayaan dan sistem bunyi yang dihasilkan boleh dianggap sebagai sebuah konsert bertaraf antarabangsa.
Biarpun hanya 3,000 peminat yang hadir pada konsert di Kota Kinabalu, saya yakin konsert yang akan berlangsung di Pulau Pinang (19 Mei), Johor (23 Mei) dan Kuala Lumpur (30 Jun) akan mendapat sambutan yang lebih hangat.
Varia!»

Jam tawaf makin popular
SEBANYAK 10 variasi bentuk muka jam disediakan untuk pilihan para pelanggan.



Kafe kedai hardware
Mudah dan senang di bawa ke mana-mana sahaja
Kebaikan anak dijaga kedua-dua ibu bapa

