PESONA
Didik pengguna makan secara sihat

HAMPIR 13,000 orang pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan karnival Nutri Fun Land sempena sambutan Bulan Pemakanan Malaysia (NMM) kali ke-10.
Karnival yang berlangsung di pusat beli-belah Mid Valley selama dua hari pada pertengahan bulan April lalu nyata berjaya menarik perhatian orang ramai yang mengunjungi pusat beli-belah berkenaan.
Program itu bukan sekadar untuk bersuka ria, bahkan bertujuan memperbaiki status pemakanan rakyat Malaysia. Melalui program tersebut, ia dapat mencegah penyakit jantung, diabetes, kanser dan obesiti yang semakin meningkat di negara ini.
Karnival berkenaan turut menyediakan beberapa tapak aktiviti interaktif untuk seisi keluarga meneroka piramid makanan, jumlah kalori dan lemak dalam makanan harian serta memilih makanan yang sihat.
Pada masa yang sama, pihak penganjur turut menyediakan tapak untuk memupuk tabiat membeli-belah secara bijak dan program kecergasan.
Dalam pada itu, orang ramai berpeluang mempelajari tentang pemilihan pemakanan yang sihat melalui permainan fizikal dan berkomputer.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan khidmat nasihat secara percuma daripada pakar pemakanan pada karnival berkenaan.
Cuba makanan
Sementara itu, ibu bapa dan golongan kanak-kanak tidak melepaskan peluang mencuba sampel makanan percuma dan memenangi pelbagai hadiah menarik melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan.
Terdahulu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai merasmikan karnival tersebut. Turut sama, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM), Dr. Tee E Siong
Karnival tersebut turut mendapat tajaan daripada Ayam Brand, Gardenia Bakeries Sdn. Bhd, Kraft Malaysia Sdn. Bhd., Malaysia Milk Sdn. Bhd., (Vitagen), Nestle Products Sdn. Bhd., Summit Co (M) Sdn. Bhd., (Biogrow Oats BG22) dan Yakult Malaysia Sdn. Bhd.
Sementara itu, E Siong berkata, karnival itu membuka peluang kepada para pengunjung bertemu dengan pakar-pakar pemakanan dan bertanya soalan mengenai kaedah pemakanan sihat.
“Pakar-pakar pemakanan yang terbabit dalam karnival ini akan menerangkan kepada orang ramai berhubung soal pemakanan dengan lebih terperinci.
“Menerusi program ini, masyarakat boleh mengambil langkah awal untuk mencegah penyakit dan selepas ini mereka mungkin akan lebih peka ketika memilih pemakanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga telah merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti untuk 20 buah sekolah rendah di sekitar Lembah Klang sepanjang tahun ini.
“Aktiviti-aktiviti ini berbentuk interaksi secara langsung dengan kanak-kanak dan ibu bapa. Dengan cara itu, sekurang-kurangnya program seperti ini dapat menyampaikan mesej yang tepat mengenai kesihatan dan gaya hidup,” jelasnya.
Karnival selama dua hari itu juga menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma seperti pemeriksaan indeks jisim tubuh (BMI), tekanan darah, kolesterol dalam darah dan glukosa.
– SUHANA VERU
Varia!»

Bantu golongan muda miliki rumah
HARGA pasaran rumah yang tinggi ketika ini menyukarkan golongan muda untuk memiliki rumah.





Kafe kedai hardware
Mudah dan senang di bawa ke mana-mana sahaja
Kebaikan anak dijaga kedua-dua ibu bapa

