PESONA
Ukiran topeng kayu jelutong
|
PERNAHKAH terlintas di fikiran anda untuk melihat pelbagai jenis topeng muka dari Sarawak walaupun anda berada di Kuala Lumpur?
Jika anda ingin melihat topeng muka dari Bumi Kenyalang, apa kata anda mengunjungi Art House Gallery Museum of Ethnic Arts yang terletak di tingkat dua bangunan Annexe, Central Market, Kuala Lumpur.
Menyingkap sejarah mengenai galeri tersebut, ia sebenarnya telah bertapak di Wisma Cosway, Jalan Raja Chulan sejak tahun 1970. Kemudian, ia berpindah ke bangunan Annexe pada tahun 2008.
Lokasinya yang agak terpencil dan terletak di seberang jalan bangunan Central Market mungkin ramai yang menganggap ia tidak ubah seperti muzium yang sarat dengan barangan lama.
Namun, jangan biarkan pandangan pertama menipu anda. Galeri tersebut sebenarnya menyimpan pelbagai jenis topeng dari Bumi Kenyalang yang perlu dicari oleh setiap orang yang berkunjung ke bangunan ini.
Galeri tersebut menyimpan pelbagai jenis dan reka bentuk topeng yang berusia antara 30 hingga 100 tahun lalu.
Kesemua topeng tersebut diperbuat daripada kayu jelutong, namun terdapat perbezaan dari segi corak dan ukirannya.
Menurut kakitangan galeri tersebut, Alexander James, 30, perbezaan bentuk topeng bergantung kepada tujuan penggunaannya.
Sebagai contoh, pelakon teater akan memakai topeng untuk menjiwai persembahan mereka di atas pentas. Dengan memakai topeng, mereka mampu menonjolkan emosi dengan watak yang dibawa.
Lain pula ceritanya bagi pengamal perubatan tradisional. Topeng muka menjadi mekanisme untuk mereka memudahkan mereka berkomunikasi dengan makhluk halus merawat penyakit dan ilmu sihir.

Tambah anak jati Limbang, Sarawak itu, kostum tersebut turut dipakai pada upacara pembukaan Hari Gawai sempena tamatnya musim menuai padi. Begitu juga dengan sambutan Hari Gawai Hantu iaitu perayaan yang disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh untuk memanggil roh orang-orang yang meninggal dunia.
Malah, mereka juga menggunakan topeng muka untuk menghalau roh jahat, menakut-nakutkan budak nakal dan menghalau kehadiran haiwan liar.
Mengulas mengenai topeng itu, Alexander memberitahu, topeng berkenaan diukir sama sifatnya dengan manusia. Lazimnya, ia mempunyai gigi, lidah, bibir, mulut, telinga, hidung, rambut dan misai.
Kemudian, setiap topeng akan disapu dengan gelatin berlapis-lapis sebelum dihiasi cat berwarna hitam, putih, merah, perang dan lain-lain warna yang sesuai.
Alexander sudah hampir lebih dua tahun berkhidmat di galeri tersebut. Beliau menjelaskan topeng-topeng tersebut adakalanya dilihat agak menggerunkan dan emosi mereka dalam keadaan marah.
Menurutnya, kebanyakan topeng diukir dengan mata terkeluar dan mimik muka yang gembira. Mesej tersebut akan disampaikan oleh individu yang memakai topeng tersebut.
Menjual topeng
“Sebagai contoh, ketika seseorang itu dirasuk roh jahat, pawang terbabit akan memakai topeng yang kelihatan lebih garang.
“Mengikut kepercayaan masyarakat Sarawak, sekiranya memakai topeng muka sedemikian (marah) ia mampu menghalau roh-roh jahat,” katanya ketika ditemui di Art House Gallery Museum of Ethnic Arts, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga menjual topeng muka kepada para pengunjung yang berminat. Topeng-topeng tersebut dijual dari harga RM500 hingga RM2,000.
Harga tersebut bergantung kepada ukiran dan tempoh usia topeng terbabit.

Bagaimanapun, topeng yang memiliki ukiran halus agak sukar diperoleh seperti topeng Ao Heng. Topeng-topeng seperti itu tidak akan dijual sebaliknya hanya disimpan di galeri berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pada kebiasaan, pihaknya akan ke kawasan pendalaman Sarawak dan Kalimantan, Indonesia untuk mencari topeng-topeng muka unik.
“Di daerah-daerah tersebut, masyarakat setempat bekerja dengan mengukir dan menjual topeng muka. Kami akan membeli daripada mereka. Harganya juga bergantung kepada penjual,” jelasnya.
Kini topeng tersebut tidak hanya digunakan untuk acara-acara tradisi, sebaliknya ia dijadikan hiasan dalaman yang untuk pejabat, ruang legar hotel mahupun di rumah.
Sementara itu, seorang pelancong dari Perancis, Camille Lecuyer, 29, berkata, dia teruja melihat pelbagai jenis topeng muka di galeri berkenaan.
Biarpun pernah mengunjungi Sarawak tahun lalu, namun dia tidak berkesempatan melihat topeng muka yang berusia 100 tahun.
Dia yang kelihatan teruja melihat topeng yang dipamer di atas dinding mengakui berasa bertuah kerana dapat berpeluang mengunjungi galeri berkenaan.
“Dengan mengunjungi galeri ini, saya dapat mengetahui reka bentuk sebenar topeng zaman dahulu dan sekarang. Sekurang-kurangnya, saya dapat mengetahui kepelbagaian topeng-topeng yang terdapat di galeri ini.
Mengulas mengenai topeng-topeng yang terdapat di galeri tersebut, Lecuyer dapat merasakan ekspresi mimik muka topeng itu.
“Kebanyakan topeng muka menunjukkan riak wajah marah, sedih dan seolah-olah menyimpan perasaan dendam. Walau bagaimanapun, kreativiti pengukir itu sebenarnya menunjukkan perasaan pembuat itu sendiri,” jelasnya.
Pendapat itu turut disokong oleh seorang pelancong dari Australia, Wende Riley, 60.
Menurutnya, dia terpesona melihat keunikan hasil ukiran topeng-topeng muka tersebut dan mengakui kerja-kerja mengukir ekspresi wajah bukan satu kerja mudah.
Dia yang sudah lima hari berada di Kuala Lumpur menyifatkan kunjungan pertamanya di Malaysia amat bermakna kerana dapat mengenali salah satu budaya masyarakat tempatan di negara ini tanpa perlu pergi ke negeri terbabit.
“Saya amat tertarik dengan ukiran dan mimik muka topeng berkenaan. Biarpun, tidak dapat menjejak kaki ke Bumi Kenyalang, namun saya masih dapat melihat barangan dan produk dari negeri terbabit,” ujarnya.
Jika anda menjenguk ke bahagian dalam galeri itu, ia sebenarnya akan menjadi satu kunjungan yang penuh makna.

Para pengunjung berpeluang menyaksikan barangan lain yang jarang dapat dilihat, antaranya alat pendukung bayi yang diperbuat daripada logam.
Jika diangkat dan disarung ke badan, mungkin anda akan ketahui betapa beratnya alat pendukung bayi itu. Selain berat, alat tersebut sarat dengan ukiran bentuk muka orang.
Bagaimanapun, terdapat alat pendukung bayi yang ditenun dengan manik dan dijual pada harga RM1,000 hingga RM2,000 bergantung kepada jenis material.
Keranda kayu
Selain itu, terdapat juga bakul yang dihiasi dengan kepala Orang Utan, anting-anting yang diperbuat daripada paruh burung enggang, aksesori gelang tangan dan rantai. Pakaian, teko logam, hasil tenunan daripada manik dan lukisan antara barangan yang dipamerkan galeri tersebut.
Sementara itu, dalam galeri yang sama, para pengunjung juga berpeluang melihat keranda kayu yang pernah digunakan masyarakat Sarawak dahulukala.
Saiz keranda yang kecil pasti akan menimbulkan persoalan dalam kalangan para pengunjung memandangkan tubuh badan manusia jauh lebih jauh besar berbanding saiz tempat pengebumian itu.
Sebenarnya mayat manusia akan ditanam terlebih dahulu sebelum cebisan tulang mayat dikumpul lalu diletakkan di dalam keranda tersebut.
Kepada warga kota mahupun pelancong asing, jangan lepaskan peluang meneroka keunikan warisan dan produk barangan dari Sarawak di galeri tersebut.



Kafe kedai hardware
Mudah dan senang di bawa ke mana-mana sahaja
Kebaikan anak dijaga kedua-dua ibu bapa

