TERKINI

2 kedai serbaneka disamun guna parang

2 kedai serbaneka disamun guna parang

27/04/2012 4:58pm

KUANTAN Seorang lelaki bersenjatakan parang menyamun dua buah kedai serbaneka yang jaraknya kira-kira 2km antara satu sama lain dalam tempoh empat jam.

Kedua-dua kes samun itu dipercayai dilakukan lelaki sama yang memakai jaket hitam dan bertopi.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian pertama di sebuah kedai serbaneka di Jalan Air Putih di sini pada 5.20 petang semalam, suspek melarikan wang tunai RM80.

"Pekerja wanita kedai berkenaan berusia 19 tahun didatangi suspek berusia 20-an untuk membeli sekotak rokok. Suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang lalu mengacukannya ke arah mangsa dan melarikan wang dari mesin wang kaunter bayaran, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 malam, sebuah kedai serbaneka di Jalan Haji Ahmad di sini yang terletak kira-kira 2km dari kedai serbaneka Jalan Air Putih turut disamun dipercayai oleh suspek yang sama.

"Pekerja kedai berkenaan, seorang wanita berumur 25 tahun, yang berada di kaunter bayaran panik apabila lelaki terbabit masuk ke premis berkenaan dengan memegang parang.

"Suspek kemudiannya bertindak merampas anak kunci mesin wang tersebut lalu membukanya dan melarikan wang tunai RM69, katanya. BERNAMA

Process time in ms: 47