RENCANA UTAMA

Salah laku calar moral

Salah laku calar moral



MEREKA telah disaring penuh teliti, malah ahli keluarga mereka juga ditemuramah terlebih dulu sebelum mereka diambil bekerja.

Mereka memegang rahsia sulit berhubung soal keselamatan, dilatih menggunakan senjata dan berada hanya beberapa inci daripada pemimpin di negara paling

berkuasa di dunia.

Ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) juga menjalani latihan sejak hari pertama bekerja untuk memastikan kejujuran, kebijaksanaan dan moral mereka berada pada tahap tertinggi.

Bagaimanapun, imej kendiri, dedikasi dan keberanian ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia termasuk menggadaikan nyawa untuk presiden serta keluarganya serta pegawai-pegawai tertinggi AS itu hampir musnah dalam sekelip mata.

Lebih mengejutkan, ia berpunca daripada seorang wanita.

Semuanya bermula sehari sebelum kehadiran Presiden AS, Barrack Obama pada Sidang Kemuncak Benua Amerika yang berlangsung di Cartagena, Columbia pertengahan bulan lalu.

Ketika itu, berlaku pertengkaran antara Dania Suarez, 24, dengan salah seorang ejen Perkhidmatan Rahsia di lobi Hotel Caribe yang bertaraf lima bintang.

Dalam satu temuramah di Colombia, Suarez berkata, mereka berdua bertengkar kerana lelaki itu hanya membayar sebanyak RM90 bagi perkhidmatan seks yang diberikan. Lalu, keadaan menjadi tegang sehingga pihak polis tempatan terpaksa campur tangan.

Ibu tunggal yang mempunyai anak perempuan berusia sembilan tahun itu berkata, dia sepatutnya dibayar sebanyak RM2,400.

Faktor keselamatan

Beberapa hari kemudian, Suarez memberitahu, kejadian itu telah tersebar di dalam akhbar. Apa yang lebih memeranjatkan, lelaki yang ditemuinya itu merupakan ejen Perkhidmatan Rahsia.

"Saya sangat takut," katanya sambil menambah dia tidak mahu lelaki itu disoal siasat atau menerima hukuman, lapor akhbar Times.

"Kejadian ini sangat besar. Ia melibatkan kerajaan AS. Saya dihantui kebimbangan. Saya menangis sepanjang masa," katanya meluahkan kebimbangan.

Suarez dilaporkan telah meninggalkan bandar itu atas faktor keselamatan sebaik sahaja identiti dan wajahnya tersiar di media masa.


SKANDAL seks yang melibatkan pelacur di Colombia baru-baru ini disifatkan sebagai sesuatu yang memalukan AS.


Menurut laporan awal, selain Suarez sekurang-kurangnya terdapat 20 pelacur lain yang terlibat dalam skandal berkenaan. Bagaimanapun, tiada seorang daripadanya yang di bawah umur.

Pelacuran sememangnya dibenarkan di Columbia, disebabkan itu Suarez tidak melakukan kesalahan undang-undang. Bagaimanapun bagi ejen Perkhidmatan Rahsia dan kakitangan tentera, mereka terikat dengan peraturan yang berbeza.

Unit Perkhidmatan Rahsia yang bertanggungjawab melindungi Presiden, pegawai-pegawai kanan dan beberapa individu penting dalam kerajaan mendedahkan seramai 12 ejen telah disiasat berhubung skandal di Cartagena itu.

Dua daripadanya merupakan pegawai yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman di dalam pasukan elit itu.

Mereka ialah David Chaney yang merupakan penyelia bagi unit program antarabangsa dan Greg Stokes, pembantu ejen khas yang bertanggungjawab bagi unit K-9.

Selain ejen-ejen terbabit, skandal itu juga turut melibatkan tentera AS. Seramai 12 anggota tentera daripada pelbagai unit disiasat berhubung kesalahan yang berlaku di hotel yang sama.

Ejen khas Perkhidmatan Rahsia, Edwin Donovan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenainya.

"Kakitangan terlibat dilucutkan tugas mereka, dihantar balik ke tempat asal mereka bertugas dan digantikan oleh ejen yang lain.

"Perkhidmatan Rahsia memandang serius segala dakwaan salah laku dan seluruh perkara ini telah diserahkan kepada Jabatan Tanggungjawab Profesional yang mengendalikan hal-ehwal dalaman agensi ini," katanya.

Piawaian tertinggi

Pada sidang akhbar di Pentagon, Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Martin Dempsey turut menyatakan kekesalannya terhadap skandal berkenaan.

"Kami malu dengan apa yang berlaku di Colombia. Walaupun kami tidak pasti dengan tepat apa yang berlaku di sana," kata Dempsey.

Setiausaha Akhbar Pentagon, George Little memberitahu, anggota tentera yang disiasat itu ditugaskan untuk membantu Perkhidmatan Rahsia dalam persediaan lawatan rasmi Obama di Cartagena. Mereka tidak terlibat secara langsung dalam soal keselamatan presiden.


LEBIH 99.9 peratus ejen yang berkhidmat dalam unit Perkhidmatan Rahsia melakukan tugas dengan baik sehingga sanggup menggadaikan nyawa sendiri.


Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta pula berkata, tentera AS mesti mematuhi piawaian tertinggi tingkah laku sama ada di AS atau di luar negara.

Panetta mengakui siasatan sedang dijalankan dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.

Sementara itu, Obama dalam reaksi awalnya sejurus selepas sidang kemuncak itu menegaskan beliau sangat marah sebaik diberitahu mengenai kejadian itu.

Obama berkata, semua ejen Perkhidmatan Rahsia mewakili AS dan perlu menjaga tingkah laku ketika mereka berada di luar AS.

"Jelas, mereka tidak berbuat demikian jika apa yang dilaporkan dalam media itu benar," kata Obama.

Ketika diwawancara di dalam program NBC, Late Night with Jimmy Fallon baru-baru ini, Obama memberitahu, skandal itu memberi impak yang kecil dan dilakukan oleh beberapa ejen yang kurang cerdik.

Kata Obama, lebih 99.9 peratus ejen yang berkhidmat dalam unit Perkhidmatan Rahsia melakukan tugas dengan baik sehingga sanggup menggadaikan nyawa sendiri.

Dedah kepada umum

"Mereka sangat luar biasa. Mereka melindungi saya. Mereka melindungi Michelle dan anak-anak saya.

"Tindakan kurang cerdik yang dilakukan segelintir ejen terlibat tidak akan menjejaskan moral pasukan ini," katanya.

Sementara itu, seorang Ahli Kongres Republikan yang bertanggungjawab memantau skandal itu, Peter King mahu semua individu yang terlibat didedahkan kepada umum.

Beliau menuntut penyiasatan menyeluruh termasuk penglibatan duit pihak pemerintah dan sama ada kesemua ejen membawa senjata atau dokumen rahsia di dalam bilik semasa bermesra dengan pelacur-pelacur terbabit.

King memberitahu Fox News: "Saya rasa kamu semua akan melihat mereka yang terlibat meletakkan jawatan, bersara atau dipaksa meninggalkan pasukan itu.

"Adalah sukar untuk meneruskan kerjaya mereka di sini sekiranya tingkah laku dan butiran peribadi mereka didedahkan kepada umum."

Difahamkan, sehingga kini seramai sembilan ejen yang terlibat telah meninggalkan pasukan itu.

Pada masa yang sama, King memberi tempoh kepada kepada Pengarah Perkhidmatan Rahsia, Mark Sullivan untuk mendedahkan sama ada skandal itu turut melibatkan beberapa individu penting dalam kerajaan.

"Kami mahu laporan penuh mengenainya dan kami dapat membuat keputusan sama ada agensi ini bertindak sewajarnya sebaik sahaja mereka mengetahuinya," ujarnya.

Tambah King, apa yang membimbangkan ialah dua daripada ejen berkenaan berstatus pegawai.

"Mereka sepatutnya berjaya mengawal segala-galanya dengan baik. Bagaimanapun, mereka pula yang terlibat di dalam skandal ini," jelasnya.

Rencana Utama!»

Cabaran penggal kedua Rousseff

AKHBAR-AKHBAR Brazil melaporkan kemenangan Rousseff sebagai President Brazil ke-36.

Pesona!»

Bantu baiki taraf hidup wanita

KEMAHIRAN mengurut menjadi punca rezeki buat Saodah untuk menyara keluarganya.

Varia!»

Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31