STAILO

Pelilit pinggang pelengkap gaya

Pelilit pinggang pelengkap gaya


PASUKAN tentera juga menceduk ilham cummerbund untuk pakaian seragam mereka dan diubahsuai mengikut keselamatan.


CUMMERBUND boleh dianggap sebagai aksesori wajib bagi busana tuksedo lelaki. Mengimbas kembali kewujudan pelilit pinggang itu, ia sebenarnya berasal dari India. Nama asalnya ialah kamar band yang terdiri daripada dua patah perkataan. Kamar bermaksud pinggang dan band bererti kumpulan atau kelompok.

Di India, cummerbund sering ditampilkan dengan warna terang dan garang. Selepas penjajahan British, aksesori menarik itu diadaptasi oleh tentera Inggeris untuk ke acara makan malam.

Pada awalnya, ia dijadikan aksesori pelengkap yang dipakai di pinggang bersama tuksedo dan tali leher kupu-kupu (bow tie). Tetapi, selepas beberapa ketika, ia mula diterapkan ke dalam pakaian seragam pegawai tentera British bagi mengekalkan gaya formal.

Hari ini, aksesori itu bukan lagi asing pada golongan kelas atasan. Pengaruh cummerbund mula menguasai peradaban fesyen lelaki di Barat. Fungsi sebenar kain itu adalah sebagai pemisah di antara pinggang dan kemeja.

Terdapat beberapa cara bagi mengancing cummerbund. Ada yang sekadar perlu diikat di belakang dan ada juga yang perlu dikancing seperti tali pinggang.

Ramai mengatakan bahawa ketika memilih cummerbund, seseorang itu perlu memastikan ia padan dengan tali leher. Namun, ia bukanlah peraturan tetap dan boleh ditukar mengikut kebijaksanaan individu.

Bagi mengekalkan gaya segak yang ditonjolkan rona hitam, seseorang jejaka itu perlu mengenakan cummerbund berwarna hitam, biru gelap, merah atau merah manggis (maroon).

Pemilihan cummerbund juga bergantung pada fizikal seseorang. Jika di negara Barat, aksesori itu sering kelihatan pada pakaian pengantin lelaki.


TERDAPAT dua jenis cummerbund iaitu yang berkancing atau berbutang dan yang mempunyai reben (diikat).


Selain berfungsi sebagai pelengkap gaya tuksedo formal, ia turut digunakan atlet dalam beberapa sukan. Penyelam skuba adalah contoh paling ketara. Mereka menggunakan cummerbund sebagai penyokong tubuh badan ketika menyelam.

Pemilihan fabrik juga penting. Bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti lasak disarankan mencari cummerbund yang diperbuat daripada material tahan lama. Cummerbund untuk tujuan bergaya pula perlu diberi penelitian kepada keselesaan dan padanan fabrik dengan tuksedo.

Selain itu, pastikan panjangnya mencukupi bagi melilit pinggang anda.

Warna juga perlu disesuaikan mengikut acara. Elakkan cummerbund rona terang dan bermotif sarat untuk ke majlis perkahwinan kerana khuatir penampilan anda melebihi pengantin lelaki.

Jangan hanya tahu membeli sahaja, tetapi tidak memiliki pengetahuan tentang bagaimana memakai cummerbund. Selepas anda menguasai teknik pemakaiannya, ia secara tidak langsung membuka alternatif kepada anda bagi memilih vest atau weskot (waist coat) untuk ke acara.

Jika tidak tahu warna apa yang sesuai, pilih jalan selamat dengan mencapai cummerbund rona hitam.

Semua lelaki perlu sedar bahawa cummerbund berfungsi sebagai aksesori dan bukan bertujuan penarik perhatian awam.

Infiniti!»

Belajar bersama program TV

HUSNA FATIHAH (kiri) dan Muhd. Harith Fahmi teruja menggunakan aplikasi UPSR iBuddy.

Varia!»

Elemen nasionalisme dalam lagu

MONOLOQUE meluahkan rasa cinta terhadap kebudayaan tanah air menerusi lagu-lagu ciptaan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16