STAILO

Inspirasi gaya vintaj

Inspirasi gaya vintaj


KEMEJA berkotak dan polos sudah cukup menyuntik elemen retro pada penampilan jejaka.


Penulis dan penerbit majalah WWD yang berteraskan kewanitaan serta fesyen, John Fairchild, pernah menyatakan bahawa stail merupakan medium untuk seseorang itu bereksperimen mengikut cita rasa dan karisma peribadi. Fesyen pula lazimnya hadir selepas individu menetapkan stail yang diingini.

Dalam bahasa mudahnya, sebelum berfesyen, kita perlu tanya pada diri sendiri, apakah stail atau gaya yang diminati?

Jika meminati stail rock, maka seluar jean potongan sendat dan jaket kulit warna hitam sering menjadi pilihan utama. Sekiranya menyukai gaya feminin, sarungkan saja skirt bersama blaus dan diserikan dengan klip reben di kepala.

Sementara itu, bagi wanita yang mencintai stail vintaj, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi butik Dude & The Duchess, yang sedang hebat mempromosikan koleksi Retro sempena musim bunga dan panas 2012.

Himpunan terbaharu yang dilancarkan pada bulan Mac lalu, mengetengahkan busana yang mengambil inpirasi daripada fesyen retro dan 60-an. Elemen vintaj yang ditampilkan itu begitu menyerlah terutamanya pada potongan blaus, bahagian dada dan sekitar kolar yang turut menyelitkan tali serta reben saiz besar.

Ia sesuai dipakai ketika bersantai bersama teman, menghadiri parti atau ke pejabat jika si pemakai bijak mempraktikkan konsep suai dan padan. Penampilan vintaj yang diimpikan bertambah menarik sekiranya ia digayakan bersama sepatu dan aksesori yang ideal.


GAYA vintaj ini sangat molek dikenakan untuk acara santai dan ketika menghadiri parti bersama teman-teman.


Sementara itu, jenama Dude & The Duchess, turut menghasilkan koleksi skirt pendek paras paha potongan A yang sememangnya popular pada tahun 1960-an. Pastinya koleksi Retro itu sesuai membaluti tubuh wanita muda dan moden yang gemarkan fesyen ringkas dan feminin. Ini disebabkan koleksi Retro tidak terlalu sarat dengan perincian.

Wanita juga bebas memilih sama ada ingin menyarungkan blaus atau dres warna terang atau lembut. Antaranya warna jingga, biru, hitam, putih dan biru laut.

Dari segi penggunaan fabrik pula, kain georgette, kain kapas twill dan viskos menjadi pilihan kerana ia bersesuaian dengan cuaca panas dan lembab di Malaysia. Pada masa yang sama, seleksi kain berkenaan mudah dijaga dan dicuci kerana ia tidak mudah berkedut ataupun renyuk.

Menariknya, koleksi Retro tersebut bukan saja menampilkan pakaian buat golongan wanita. Golongan jejaka turut berpeluang nampak retro dengan variasi kemeja berkotak-kotak dan polos.

Process time in ms: 0