RENCANA UTAMA

Paru-paru Lembah Klang

Paru-paru Lembah Klang


SITI ZURINA banyak membantu pengkaji luar negara melakukan penyelidikan di HSAH.


MEMPEROLEH wang sebanyak RM1.3 bilion pasti menjadi idaman semua orang. Itulah nilai konservasi Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH) di Puchong, Selangor yang dikelilingi tiga bandar utama iaitu Shah Alam, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Hutan tanah pamah dipterkarp yang berkeluasan 1,176 hektar itu turut bertindak sebagai paru-paru yang menyerap gas karbon dioksida yang dilepaskan berjuta-juta warga kota.

Secara anggaran, seorang manusia menghembus keluar 2.5 tan metrik gas karbon dioksida dalam setahun. Manakala satu hektar pokok mampu menyerap lima tan karbon dioksida. Realitinya, HSAH cukup menakjubkan.

"HSAH didiami 430 spesies tumbuhan bunga, 33 spesies paku pakis, 127 spesies balak dan 99 spesies herba. Tumbuhan herba seperti tongkat aji samad dipercayai mampu melancarkan pengaliran darah manusia.

"Pokok janggut adam pula boleh merawat penyakit darah tinggi, kencing manis dan menguatkan buah pinggang," cerita Ketua Seksyen Hutan dan Ladang, Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Paiman Bawon yang menjadi 'penjaga' HSAH sejak tahun 1993.

Paiman memberitahu, tarikan tersendiri hutan simpan yang terletak di kawasan emas Koridor Raya Multimedia itu ialah haiwan kongkang iaitu sejenis mamalia kecil menyerupai monyet dan mempunyai mata yang agak besar.

Kongkang merupakan haiwan yang terancam kerana kedua-dua matanya didakwa mempunyai nilai untuk perubatan tradisional.

Kongkang sebenarnya bersifat pemalu dan akan menyorokkan diri di celah-celah rimbunan daun. Pergerakan di atas dahan juga agak perlahan. Saiz tubuhnya adalah antara 21 sentimeter hingga 38 sentimeter.

Bukan itu sahaja, HSAH menjadi habitat lima spesies mamalia besar di Semenanjung Malaysia termasuk beruang, harimau kumbang dan ungka selain 208 spesies burung.

"Malah, hutan ini juga menjadi rumah kepada 14 spesies mamalia kecil, 13 spesies kelawar, 18 spesies katak, dua spesies reptilia, 10 spesies ikan dan ratusan jenis serangga," ujar Paiman.

Paiman berkata, puncak tertinggi di HSAH ialah Permatang Kuang yang berketinggian 233 meter dari aras laut.

Selain itu, hutan itu turut mempunyai kawasan air terjun setinggi 10 meter dengan sebuah kolam air yang dalam.

Terdapat juga kepelbagaian jeram di HSAH seperti Jeram Belanga, Jeram Berempat, Jeram Hampar, Batu Bertangkup dan Batu Dinding.

Ironi, jarang sekali kita mendengar hutan simpan mempunyai kemudahan Internet tetapi itulah sudut berbeza HSAH.

Kemudahan WiFi


KONGKANG, sejenis haiwan seperti kera yang diancam kepupusan, hidup di hutan simpan ini.


Kemudahan Internet, perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) dan kamera litar tertutup (CCTV) memudahkan penyelidik tempatan mahupun luar negara membuat kajian.

HSAH turut menyediakan bangunan penginapan yang selesa dengan kemudahan kipas, cerek pemanas air dan almari.

"Tidak perlu pendingin hawa di sini kerana cuaca yang sejuk pada waktu malam pasti membuat anda menggigil kesejukan.

"Kemudahan surau, tapak perkhemahan dan dewan kuliah juga disediakan untuk kegunaan penyelidik," katanya.

Namun begitu, HSAH merupakan hutan khusus untuk penyelidikan dan pendidikan bagi pakar-pakar perhutanan daripada universiti tempatan dan luar negara membuat kajian mengenai hutan simpan di negara ini.

Menjelajah HSAH yang dikelilingi kawasan perumahan itu ternyata meningkatkan aras adrenalin apatah lagi apabila digabungkan dengan atmosfera yang menyegarkan.

Sesi penjelajahan bermula dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang menempuh trek semula jadi.

Ekspedisi diteruskan dengan bertemu pegawai hutan Jabatan Perhutanan Selangor, A.G Shaffie A.G Ahmadi, 33, yang mengawasi HSAH daripada sebarang pencerobohan manusia.

"Kawasan ini penting bagi memastikan ekosistem semula jadi HSAH terus terjaga," katanya.

Bunyi kicauan burung mengiringi aktiviti mendaki menuju Permatang Kuang yang menjadi sasaran utama sejak awal.

Kru Jurnal sempat melihat pokok tongkat ali atau nama saintifiknya Eurycoma longifolia Jack.

Pokok itu dipercayai sudah hidup selama bertahun-tahun berdasarkan saiz batang dan ketinggiannya.

"Jika hendak diambil akarnya mungkin jentolak perlu digunakan," kata Paiman sambil ketawa.

Akar tongkat ali dikatakan dapat menghilangkan rasa letih, pening kepala, melancarkan peredaran darah dalam badan dan penawar darah tinggi.

Bagi lelaki pula, tongkat ali pastinya dapat meningkatkan kesuburan dan tenaga batin.


BANGUNAN penginapan khusus untuk penyelidik tempatan dan luar negara.


Bukan itu sahaja kelebihan tumbuhan di HSAH. Renjer Jutan HSAH , Siti Zurina Zakaria, 30, memberitahu, terdapat pokok balak jenis merawan meranti yang merupakan pokok balak endermik di negeri Selangor dan Terengganu.

"Pokok ini hanya dijumpai di HSAH. Selain itu, meranti paya atau lebih dikenali dengan nama saintifik Shorea platycarpa boleh ditemui di sini. Habitatnya sepatutnya hutan paya gambut dengan ketinggian kurang daripada 300 meter dari aras laut.

Janggut adam

"Pokok balak Anisoptera curtisii yang daunnya berwarna kuning dan jarang dijumpai di hutan lain ada di hutan ini," katanya.

Walaupun kaki mula berasa lenguh, penjelajahan diteruskan yang membawa kepada penemuan beberapa jenis herba seperti Dipteris lobbiana yang lebih dikenali dengan nama janggut ali yang berperanan menyegarkan badan dengan meminum airnya.

Tidak lupa, Tacca integrifolia Ker Gawl atau nama tempatannya janggut adam atau keladi murai yang berfungsi merawat ruam dan gatal kulit.

Menurut Zurina, penyelidik dari Korea dan Jepun didapati tidak selesa dengan bilangan nyamuk yang banyak di hutan tersebut.

"Mereka ingin segera menyelesaikan tugas kerana negara kelahiran mereka tiada nyamuk.

"Penyelidik dari Nigeria pula teruja untuk mengkaji pelanduk tetapi mereka sukar untuk menjumpai haiwan itu kerana ia bijak menyembunyikan diri daripada dikesan oleh manusia," katanya.

Rakannya, Penolong Pemelihara Hutan, Noor Hafiz Osman, 28, terpukau dengan sumber air yang jernih dan sukar didapati.

"Air terjun dan sungai di sini jernih dan bebas pencemaran," ujarnya.


SPESIES kulat yang hanya terdapat di hutan simpan ini.


Bagi seorang lagi Penolong Pemelihara Hutan, Mohd. Naeem Abdul Hafiz Mohd. Hafiz, 28, bertemu dengan ayam hutan adalah pengalaman yang agak signifikan.

"Sukar untuk kita berjumpa dengan ayam hutan yang liar. Selain itu, ada nama pokok yang pelik seperti derhaka mertua, sekentut dan telinga beruang.

"Mungkin ada kisah dan mitos sehingga pokok itu dinamakan sedemikian," ujarnya sambil tersenyum.

Process time in ms: 0