RENCANA UTAMA

Pintu najis di perut Anas

Pintu najis di perut Anas


PENDERITAAN Anas mula mendapat perhatian banyak pihak selepas kisahnya tersiar dalam Kosmo! 18 April lalu.


DEBAR hati Maizatul Shahida Jalil, 29, dan suaminya Salehuddin Jaafar, 29, masih belum surut biarpun permata hati keempat mereka, Mohammad Anas Miqhael Salehuddin telah selamat dilahirkan.

Bukan tidak gembira dengan kehadiran orang baharu dalam keluarga, tetapi hati mereka sayu mengenangkan keadaan Anas yang tidak mempunyai saluran najis dan pemakanan.

Bayi itu juga tidak memiliki karung testis serta lubang dubur.

“Sebaik sahaja dilahirkan, Anas terus diperiksa. Doktor memberitahu, perut anak saya perlu dibedah segera bagi memasukkan tiub getah yang memudahkan Anas menyusu dan mengeluarkan najis.

“Doktor kata, dengan adanya tiub itu nanti, Anas boleh menyusu dan membuang air besar melalui pintu yang ditebuk di perutnya.

“Ketika itu, hati kami memang sedih, saya tak berhenti menangis. Kasihan pada anak yang baru enam jam lihat dunia, tetapi perlu menjalani pembedahan besar hinggakan saya lupa pada kesakitan melahirkan anak,” katanya yang tinggal di Jitra, Kedah.

Mengenang kisah yang sudah setahun lapan bulan berlalu itu, Maizatul memang mudah tersentuh walaupun kini keadaan Anas semakin baik.

Dia juga semakin aktif dan ceria, biarpun terpaksa membesar dengan kantung najis yang sentiasa melekat di perutnya.

Menurutnya lagi, sejak dilahirkan pada 27 Ogos 2010, Anas sudah menjalani dua pembedahan besar.

April tahun lalu, sekali lagi anak kecil itu dibedah untuk menyambung saluran pemakanan dari kerongkong ke perutnya.

Keadaan itu membolehkan Anas makan dan minum melalui mulutnya.

“Selepas pembedahan, Anas perlu menyusu dengan mulut. Oleh kerana dia tidak pernah menggunakan mulut untuk menyusu dan mengunyah makanan, keadaan ini menjadi payah untuknya.

“Selama lapan bulan Anas enggan minum susu dan makan. Saya perlu bedung dia, baru boleh menyuapkan makanan, itu pun biasanya Anas akan muntahkan semula.

Cirit-birit

“Dek kerana itu, berat badannya menyusut daripada 8.5 kilogram (kg) kepada 5.5kg. Pening kami dibuatnya.

“Selepas asyik disuruh makan, lama-kelamaan barulah Anas boleh makan dan minum seperti manusia biasa,” ujar Maizatul sambil memberitahu anak bongsunya itu gemar makan buah-buahan.

Menguruskan anak istimewa seperti Anas, ibu ini tidak mengeluh. Setiap hari, selepas Anas bangun tidur, Maizatul akan memandikannya. Karung najisnya dibuka secara berhati-hati dan ditukar.

“Kantung najis ditukar bergantung kepada berapa kerap Anas membuang air besar.

“Jika perutnya tidak sedap hingga mengakibatkan cirit-birit, kantung tersebut akan lebih kerap digantikan. Puratanya, kantung akan ditukar sekali sehari, tetapi jika Anas cirit-birit, ia perlu ditukar sehingga empat kali sehari.

“Untuk membersihkannya, saya tidak boleh tunggu kantung penuh kerana ia boleh pecah atau najis tumpah ketika dibuka.

“Itu sangat bahaya kerana jika ada najis yang tumpah dan terkena bahagian perut yang ditebuk, risiko terkena jangkitan kuman sangat tinggi.

“Ini kerana bahagian yang ditebuk itu betul-betul di daging perut yang merah menyala itu,” katanya yang pada awalnya berasa kekok untuk menguruskan najis anaknya apatah lagi dia perlu mengelap dan membersihkan bahagian tepi daging perut Anas ketika anaknya itu menangis.

Begitupun, selepas dilatih oleh jururawat dan doktor di hospital, kini Maziatul mahir mengendalikan najis anaknya

“Setiap petang, selama dua minggu, saya berulang alik ke hospital untuk belajar menguruskan najis Anas hinggakan doktor yang merawat Anas, Datuk. Dr. Mohan Arunasalam, mengatakan kecekapan saya boleh melayakkan saya menjadi jururawat,” selorohnya.

Begitupun, ketika Anas sudah selesa menggunakan mulut untuk makan, Maizatul dan Salehuddin pula dihimpit masalah kewangan.

“Pendapatan suami saya yang mengambil upah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan alat pendingin hawa tidak menentu.

Kaki pendek sebelah

“Adakalanya, seharian suami saya keluar tetapi pulangnya tidak berduit kerana tiada yang mahu menggunakan khidmatnya,” luah Maizatul.

Walaupun poket semakin menipis, suami isteri ini cuba sedaya upaya memenuhi keperluan Anas terutamanya wang untuk membeli susu khas yang disyorkan doktor, makanan tambahan, lampin pakai buang dan karung najis.

“Semua perbelanjaan ini melebihi RM700 sebulan sedangkan pendapatan suami sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan,” ujarnya yang memberitahu, Anas ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan.

Kini, Maizatul sedang berusaha untuk menambah berat Anas sehingga 8kg supaya dia dapat menjalani prosedur pembedahan ketiga untuk menebuk lubang dubur dan saluran najis.

“Doktor ada memberitahu, kanak-kanak yang mempunyai kantung najis di luar memang mudah lapar, banyak makan tetapi berat badan tak bertambah,” katanya.

Selain tidak memiliki saluran najis dan lubang dubur, kaki Anas juga pendek sebelah.

“Kaki kiri anak saya pendek tiga sentimeter. Saya hanya perasan mengenainya ketika Anas berusia 10 bulan.

“Anas masih belum boleh berjalan tetapi dia kini sudah laju mengesot,” katanya.

Varia!»

Selera Malaysia di Manchester

MENU Malaysia di Ning telah disesuaikan mengikut selera rakyat Eropah.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15