PESONA

Haram nikah bertempoh

Haram nikah bertempoh


PERKAHWINAN tidak seharusnya dijadikan mainan kerana ia merupakan satu ikatan yang suci antara lelaki dan wanita. - Gambar hiasan


MESTI ramai masih ingat mengenai tawaran RM10,000 untuk menjadi cina buta yang dikongsikan dalam akhbar harian baru-baru ini.

Memang lumayan dan istimewa. Bukan saja dapat duit yang banyak, tetapi dapat juga melampiaskan kehendak kepada seorang wanita dalam tempoh sebulan bersama sebagai suami isteri. Hakikatnya, tawaran lumayan dan menarik itu tidak boleh diterima oleh mana-mana lelaki Muslim yang mengaku Mukmin, beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Perkahwinan sebegitu sebenarnya menepati konsep nikah mutaah atau nikah bertempoh.

Nikah mutaah (bertempoh) dan hukumnya

Mutaah secara bahasa berasal daripada kata tamattu' yang bererti bersenang-senang atau menikmati. Secara istilah, nikah mutaah adalah sebuah pernikahan yang dibatasi dengan perjanjian waktu dan upah tertentu serta mengetepikan fungsi wali dan saksi. Perceraian akan terjadi apabila habis masa kontraknya tanpa dikaitkan dengan hukum perceraian dan warisan.

Pada awal Islam, nikah mutaah dihalalkan oleh Rasulullah SAW, tetapi kemudiannya hukum itu dihapuskan dan diharamkan pelaksanaannya hingga hari kiamat.

Al-Imam Al-Muzani rahimahullah berkata: 'Telah sah bahwa nikah mutaah dulu pernah dibolehkan pada awal Islam. Kemudian datang hadis-hadis yang sahih bahawa nikah tersebut tidak dibolehkan lagi. Kesepakatan ulama telah menyatakan keharaman nikah tersebut.' (Syarah Sahih Muslim karya An-Nawawi).

Antara hadis yang jelas menyebut tentang haramnya nikah mutaah ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sungguh! Aku dahulu mengizinkan kalian untuk melakukan mutaah dengan wanita. Ketahuilah sesungguhnya Allah telah mengharamkannya sampai hari kiamat. Barang siapa yang masih melakukannya hendaklah meninggalkannya dan jangan mengambil sesuatu yang telah ia berikan kepadanya (wanita yang dia mutaahi)." - Hadis Riwayat Muslim.

Imam Al-Baihaqi menjelaskan, ketika Ja'far bin Muhammad ditanya tentang nikah mutaah, beliau menjawab: "Demi Allah, takkan kutemui seorang pun yang menikah mutaah padahal dia muhsan kecuali aku merejamnya." Bermaksud, pelaku nikah mutaah sama tarafnya dengan penzina.

Hikmah haramnya nikah mutaah

Hakikatnya, nikah mutaah tiada sebarang kelebihan kecuali menggalakkan manusia menjadikan seks sebagai cara hidup.

Mengikut kajian, mereka yang pernah terlibat dalam nikah mutaah berpeluang dijangkiti penyakit kelamin kerana berhubungan seksual dengan ramai pasangan. Bukan saja penyakit, tetapi individu yang terlibat dengan nikah mutaah itu tidak terikat dengan prinsip perkahwinan yang ditentukan oleh syariat Islam.

Dalam nikah mutaah yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat hari ini, perceraian tidak boleh berlaku kecuali tamat tarikh kontrak.

Bermaksud, suka atau tidak si isteri perlu bertahan dan meneruskan perkahwinan dan dalam kes sebegini, ada suami yang menghadiahkan isterinya kepada lelaki lain hingga tempoh kontrak tamat.

Jelas nikah mutaah menjadikan wanita sebagai objek seks semata-mata. Seperkara yang pasti, tiada pewarisan dalam nikah mutaah.

Jika ditakdirkan pernikahan tersebut mempunyai anak maka si anak bukanlah menjadi tanggungjawab dan tanggungan si ayah. Si anak merupakan tanggungjawab dan tanggungan si ibu sepenuhnya. Jelas dan nyata, nikah mutaah menganiayai kaum wanita.

Ya! Nikah mutaah khususnya dalam kes cina buta menjadi pembantu kepada dua individu iaitu bekas suami dan bekas isteri, untuk bersama semula selepas bercerai dengan talak tiga.

Namun, jika difikirkan secara wajar dan munasabah, individu yang bertindak sebagai cina buta itu ibarat 'pak sanggup' yang menikmati keistimewaan hasil kebodohan bekas suami dan bekas isteri tersebut.

Fikirkanlah! Seorang wanita dibayar dengan wang mas kahwin yang juga wajib ada dalam perkahwinan mutaah, tetapi bayarannya lebih murah berbanding jumlah bayaran kepada si cina buta.

Dalam masa yang sama, seorang lelaki yang mahu kembali menjadi suami kepada isteri yang pernah diceraikannya dengan senang hati membayar si cina buta. Itu semata-mata untuk membenarkan cina buta itu meniduri bakal isteri yang juga bekas isterinya. Tidakkah ia satu amalan yang melanggar norma dan nilai murni Islam yang memandang tinggi serta menghargai kaum wanita?

Bagi si wanita yang terlibat itu, tidakkah terasa dirinya menjadi bahan dagangan atau bahasa mudahnya pelacur yang dibenarkan undang-undang?

Nikah dan cerai bukan mainan

Perkahwinan bukan satu makmal kajian. Perkahwinan adalah ikatan antara sepasang manusia bernama lelaki dan wanita bagi mewujudkan satu hubungan yang mesra, ceria dan bahagia tanpa terikat dengan tempoh masa tertentu.

Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 21: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. "Dalam nikah mutaah, wujudkah kasih sayang? Wujudkah belas kasihan?

Perkahwinan menurut syariat juga mempunyai hikmah dan prinsip yang perlu dipatuhi di samping amanah untuk membahagiakan pasangan melalui pelaksanaan tanggungjawab masing-masing.

Perkahwinan bukan mainan! Ketika suka, anda pegang dan gunakan. Apabila sudah tidak suka, anda buang sebegitu saja! Islam tetapkan talak mempunyai tiga sebagai peluang untuk bertindak secara waras dan tidak mengikut perasaan.

Berhati-hati dalam setiap tindakan agar kelak anda tidak perlu terlibat dalam perkara yang menjatuhkan harga diri anda sendiri.

Process time in ms: 47