VARIA

Peralatan rumah jaga ekosistem

Peralatan rumah jaga ekosistem

HITACHI turut menawarkan ketuhar gelombang mikro untuk kemudahan tugas dapur suri rumah.


TEKNOLOGI kini tidak hanya diukur kepada peningkatan atau penambahan ciri-ciri peralatan, bahkan kebolehan sesuatu gajet mengadaptasi dengan alam sekitar tanpa melakukan pencemaran mula menjadi pilihan pengguna.

Sudah banyak peralatan elektrik yang direka supaya lebih mesra alam dengan menggunakan tenaga elektrik secara minimum dan pada masa yang sama mengurangkan kadar pengeluaran karbon ke persekitaran.

Efeknya sangat besar kerana pengeluaran karbon berlebihan boleh menyumbang kenaikan tahap pemanasan global. Sekurang-kurangnya dengan menukar peralatan elektrik pada yang bersifat mesra ekosistem, kita sebagai komuniti dunia menyumbang kepada kesejahteraan bumi.

Syarikat elektrik, Hitachi Sales (Hitachi) Sdn. Bhd. baru-baru ini turut tidak mahu ketinggalan menyertai masyarakat dunia membantu mengurangkan karbon dengan melancarkan beberapa peralatan rumah yang mesra alam.


MESIN basuh muatan depan antara produk elektronik hijau yang ditawarkan Hitachi.


Bertemakan Eco Midori, sebanyak tujuh jenis peralatan elektrik dilancarkan secara serentak iaitu peti sejuk, mesin basuh muatan depan, penyaman udara, pembersih hampagas, ketuhar gelombang mikro, penulen udara dan periuk nasi.

“Sasaran kami adalah untuk kehidupan lebih baik pada masa hadapan dan semua orang akan dapat merasai mengalami gaya hidup yang lebih sihat.

“Persekitaran semakin tercemar dengan sisa buangan industri dan pengguna. Jadi kami bekerja keras bagi mereka membentuk serta mengilang peralatan inovatif yang bersifat hijau.

“Ia tidak menjejaskan alam sekitar dan dalam masa yang sama meningkatkan lagi gaya hidup pengguna,” ujar pengarah urusan Hitachi Malaysia, Masahiro Sakata di Kuala Lumpur.

Sebagai sebuah badan korporat yang menyedari kepentingan menjaga alam sekitar, Hitachi sejak tahun 2007 telah berusaha dan meletakkan sasaran untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 100 juta tan setahun menjelang tahun 2025.

Peralatan elektrik Hitachi baharu seperti penyaman udara, mesin basuh dan peti sejuk menggunakan teknologi inverter (penyongsang) yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sekali gus mesra dengan alam sekitar.


MASAHIRO (dua Kanan) dan Pengarah Eksekutif Hitachi Sales (Malaysia), Frankie Tan menyempurnakan gimik pelancaran aplikasi Hitachi untuk iPad sempena majlis pelancaran Hitachi Eco Midori di Hotel JW Marriott Kuala Lumpur.


Teknologi inverter yang terdapat pada peti sejuk Hitachi berfungsi secara automatik mengoptimum tenaga elektrik dengan menggunakan kurang tenaga apabila tidak digunakan terutama pada waktu malam.

Selain itu, produk pembersih hampagas Cyclonic, Hitachi mempunyai teknologi penapis nano penyahbauan Titanium yang bertindak mengurangkan bau dalam rumah sambil membersihkan habuk dengan kuasa sedutan seakan-akan pusaran angin.

Pada pelancaran peralatan elektrik rumah Eco Midori, Hitachi turut melancarkan sebuah aplikasi yang memudahkan pengguna membuat rujukan dengan penyampaian mudah dan menarik dalam gajet tablet.

Process time in ms: 32