DUNIA

Sekutu Taliban serang Kabul

Sekutu Taliban serang Kabul

BEBERAPA buah kenderaan pasukan keselamatan Afghanistan mengawal sebatang jalan raya di Kabul semalam.


KABUL - Seorang militan yang ditangkap berhubung serangan di ibu kota Afghanistan di sini dan tiga bandar lain mengaku bahawa serangan selama 18 jam itu dilakukan oleh rangkaian Haqqani, sebuah kumpulan pejuang yang mempunyai hubungan dengan Taliban dan Al-Qaeda, kata seorang pegawai kanan keselamatan Afghanistan semalam.

Menteri Dalam Negeri, Besmillah Mohammadi berkata, seramai 36 orang pemberontak terbunuh dalam serangan itu yang turut meragut nyawa lapan anggota polis dan tiga orang awam.

Walaupun angka kematian itu rendah berbanding beberapa serangan lain, serangan ke atas pelbagai sasaran itu menunjukkan kumpulan militan masih mampu menembusi kawalan keselamatan di Afghanistan termasuk di ibu kota ini selepas 10 tahun negara berkenaan dilanda peperangan.

Serangan di sini dan wilayah Nangarhar, Paktia serta Logar juga membayangkan cabaran keselamatan yang dihadapi oleh tentera pemerintah ketika askar-askar Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melakukan persiapan untuk berundur menjelang tahun 2014.

Semalam, Presiden Aghanistan Hamid Karzai berkata, siri serangan itu menunjukkan kegagalan perkhidmatan perisikan negaranya dan NATO yang menyebabkan kumpulan militan memasuki Kabul dan beberapa bandar lain.

Beliau meminta satu siasatan menyeluruh dilakukan berhubung siri serangan tersebut.

Bagaimanapun, Hamid memuji tindak balas pasukan keselamatan Afghanistan dalam insiden itu.

Rangkaian Haqqani yang memiliki sekitar 10,000 pejuang dianggap antara ancaman paling serius terhadap NATO di Afghanistan.

"Seorang pengganas yang ditangkap dalam wilayah Nangarhar mengaku bahawa semua serangan itu dilancarkan oleh rangkaian Haqqani," kata Mohammadi kepada pemberita di sini.

Haqqani yang diketuai oleh Jalaluddin Haqqani dan anak lelakinya, Sirajuddin beroperasi dalam wilayah di sepanjang sempadan Afghanistan dengan Pakistan di timur negara berkenaan. - Agensi

Infiniti!»

Berjaya eratkan silaturahim

PEMBERIAN buah tangan atau oleh-oleh mampu mengeratkan silaturahim antara pemberi dan penerima.

Varia!»

Inovasi penggendong bayi

KAIN bedung Ergobaby Swaddler membuatkan tidur bayi lebih lena dan lama.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15