VARIA

Cabaran taktikal di medan perang

Cabaran taktikal di medan perang

TAHAP siap siaga yang tinggi dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman musuh.


BERTINDAK atas maklumat risikan yang diterima mengenai kehadiran musuh Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah lokasi hutan Janda Baik, Pahang, ahli pasukan Platun 2 daripada Kompeni Alpha mula mengatur strategi awal untuk melakukan operasi serang hendap.

Untuk melaksanakan operasi itu, satu kumpulan tinjauan yang disertai penulis telah melakukan pemantauan untuk mengenal pasti kedudukan.

Ahli platun kami telah dibahagi kepada kumpulan pembunuh, penyekat kiri, penyekat kanan dan kumpulan pelindung serta sasaran laluan musuh.

Tinjauan tersebut penting kerana di situlah keseluruhan platun akan diletakkan dalam kedudukan kumpulan masing-masing dan memastikan kehadiran kami tidak dihidu pihak musuh.

Selesai tugas tinjauan, seramai 38 anggota diberi taklimat untuk melakukan operasi dan tugas-tugas yang akan dilakukan oleh ketua platun.

Tepat pukul 6.30 petang, kesemua anggota lengkap dengan senjata M16 digerakkan ke lokasi serang hendap dan mengambil kedudukan yang telah ditetapkan.

Berada dalam kumpulan pembunuh, penulis bersama jurugambar, Mohd. Naim Firdaus agak berdebar tetapi teruja untuk berdepan dengan musuh. Apabila mengambil kedudukan di kawasan hutan buluh, kami tidak memikirkan soal lain sebaliknya berdoa agar operasi itu berjaya dilaksanakan.

Selepas 11 jam menanti iaitu lebih kurang pukul 5.30 pagi, akhirnya satu kumpulan musuh berjalan ke lokasi sasaran dan semua anggota Platun 2 dalam siap siaga menunggu arahan dalam debar.

Sebaik cahaya diletup ketika musuh melintas kawasan, bertubi-tubi bunyi tembakan M16 dilepaskan oleh Platun 2. Tembakan dari semua arah - penyekat kanan dan kiri serta kumpulan pembunuh melancarkan serangan sehingga ketua platun mengeluarkan arahan henti tembakan.

Selesai serangan, kesemua anggota masih lagi berada dalam kedudukan sehingga peralihan masa. Apabila perubahan cahaya muka bumi berlaku sekitar pukul 7 pagi, kami akhirnya keluar dari kedudukan dan mendapati sekumpulan musuh berjaya dibunuh.

Simulasi operasi

Apa yang dilalui oleh enam pengamal media daripada Platun Media bukanlah pertempuran sebenar. Kami sebaliknya mendapat gambaran sebuah operasi serang hendap yang disimulasikan kepada kami dengan penuntut Kursus Asas Perajurit Muda (S) Siri 1/2012 Kem 515 Askar Wataniah ketika mengikuti Latihan Medan di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.

Latihan selama lima hari bermula 14 hingga 18 Mac lepas yang dibahagi kepada tiga platun disertai 98 orang termasuk media dan Badan Kesenian Tentera Darat adalah menguji kemahiran mereka terhadap taktik peperangan serta Operasi Melawan Insurgensi.


PLATUN Media bergambar kenangan bersama para jurulatih dan keseluruhan anggota Platun 2.


Sepanjang tempoh itu, peserta diuji oleh jurulatih mengenai taktik-taktik peperangan yang sesuai digunakan bagi sesuatu operasi selain menilai keupayaan sesuatu pertempuran.

Mengikuti latihan ketenteraan itu benar-benar menguji ketahanan metal dan fizikal. Pada hari pertama, kumpulan kami telah meredah hutan sejauh lima kilometer berpandukan bacaan peta dan kompas.

Mungkin ia kedengaran mudah, tetapi mental kami benar-benar teruji kerana dalam jarak lima kilometer kami bukan sahaja memanjat bukit pacak setinggi 400 meter, mengharung lurah, halangan pokok balak tumbang dan sungai tetapi juga membawa beban (beg galas) selain senjata M16.

Bukan meredah belantara sesuka hati tanpa arah tujuan sebaliknya perlu mengikut bacaan kompas dan peta. Jika tidak mahir, alamatnya sesatlah kami di dalam hutan.

Apabila sudah meredah belantara dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, di situlah peserta dapat menilai semangat setia kawan dalam berkumpulan dan peranan ahli kumpulan membantu ahli yang mengalami ‘mental koyak’ atau semangat yang hampir terhakis.

Jurulatih, Sarjan Mohd. Sapawi Hamdan Mohd. Noor, 37, daripada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), mengulas bahawa peserta kursus secara asasnya telah mendapat gambaran dan memahami aspek ketenteraan.

“Daripada tidak mengenal senjata, mereka kini sudah tahu mengendali senjata, tahu membuat bacaan peta dan kompas serta asas untuk melancarkan serangan dan tahu tindakan dalam peperangan,” katanya.

Latihan yang agresif

Sementara itu, jurulatih, Koperal Zulkifli Manaf, 30, daripada Rejimen Renjer Diraja (RRD) pula berpendapat, peserta masih perlu didedahkan dengan latihan yang agresif bagi memantapkan ilmu ketenteraan khususnya ilmu medan perang.

“Sepanjang saya memantau dan menjaga Platun 2, kumpulan ini memberi kerjasama yang baik, mengikut arahan yang diberikan. Inilah pendedahan perjalanan kehidupan sebagai tentera untuk difahami,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang rekrut, Siti Artiqah Aripin, 20, berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur turut berkongsi pengalaman pertamanya mengikuti latihan itu.

Dia tidak dapat melupakan kisah terkena najis babi hutan ketika melakukan serang hendap.

Walau bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu memikirkan sangat akan hal najis itu kerana memberi perhatian terhadap kehadiran musuh.

“Memang tidak selesa bau itu ditambah pula dengan cuaca sejuk di dalam hutan. Mahu atau tidak, saya tidak mempedulikannya kerana kami tidak boleh meninggalkan kedudukan,” ujarnya.


PENULIS (paling kanan) sempat melepaskan penat bersama rakan media lain di lantai hutan selepas operasi.


Seorang lagi peserta, Mohamad Adli Mohamad Arif, 25, dari Gombak, Selangor berkata: “Ini satu pengalaman yang menarik dan tidak akan dilupakan. Sekurang-kurangnya, saya tahu asas untuk bertempur apabila berdepan dengan musuh.”

Pandangan para peserta itu, turut diulas oleh jurulatih, Leftenan Muda Herlin Ariesta Dasmir yang menyatakan, masih banyak lagi latihan dan kursus yang harus diikuti oleh peserta bagi meningkatkan pengetahuan dalam asas ketenteraan.

Menurutnya, sepanjang tempoh kursus, ia telah membentuk disiplin peserta dan ketahanan mental serta fizikal berdasarkan ujian-ujian yang dilalui.

“Semangat setia kawan yang ditunjukkan dalam kumpulan sangat baik. Secara amnya, mereka telah melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Semangat sepasukan

Memang benar, kekuatan mental dan fizikal adalah kunci untuk setiap peserta meneruskan aktiviti selain kepentingan semangat serta dorongan rakan sepasukan.

Walaupun kami hanya melakukan simulasi peperangan, tetapi situasi sedemikian tidak mustahil boleh dihadapi pada bila-bila masa sekiranya negara berhadapan dengan konflik.

Bukan sekadar mempelajari taktikal peperangan tertutup, malah peserta juga didedahkan cara serta prosedur melakukan serangan kubu musuh dalam gerak atur yang telah dirancang dengan teliti.

Antara pengalaman menarik yang dirasai peserta adalah apabila mereka membina pangkalan platun masing-masing mengikut garis panduan yang ditetapkan termasuk membuat sentri (mengawal pangkalan) dan rondaan untuk memantau kehadiran musuh.

Kompeni Sarjan Mejar Batalion 1, Pegawai Waran II, Zambri Abd. Majid daripada RAMD memberitahu, setiap peserta masih memerlukan latihan yang berterusan agar mereka yang terlibat dalam Wataniah benar-benar dapat memahami keperluan dalam pertempuran.

“Tidak dinafikan, mereka telah didedahkan secara asas mengenai perjalanan hidup seorang tentera. Namun masih ada peserta yang masih mengharapkan bantuan daripada rakan untuk menerangkan tentang tindakan perlu dibuat semasa latihan.


KETELITIAN dan pergerakan terhad di dalam hutan semasa mengenal pasti kehadiran musuh.


“Dengan asas disiplin dan semangat yang kuat, saya percaya mereka akan mengikuti kursus yang dianjurkan pada masa hadapan. Segala pengalaman yang dilalui adalah proses pembelajaran bagi mereka,” kata Zambri.

Latihan medan ini adalah acara kemuncak bagi rekrut sebelum menamatkan latihan kursus asas perajurit muda. Dalam kesempatan itu, Platun Media yang ditubuhkan pada 18 Mac tahun lalu tidak mahu melepaskan peluang menimba pengalaman menjalani kehidupan seorang tentera yang cukup menarik.

Ia bukan perkhemahan percutian yang santai, sebaliknya penuh dengan pelbagai ujian dan cabaran yang sudah pasti akan dikenang buat selama-lamanya dalam diri masing-masing.

Pastinya, apabila memakai seragam celoreng, semangat dan jiwa bergerak selari serta bersedia untuk menempuhi sebarang cabaran, bak kata pepatah Iban, agi idup agi ngelaban!

Process time in ms: 16