VARIA

Klinik larian Energizer 2012

Klinik larian Energizer 2012

BEBERAPA kumpulan sukarelawan turut hadir melakukan kerja-kerja komuniti sempena Kiwanis One Day.


DEBARAN Perlumbaan Malam Energizer 2012 yang bakal berlangsung pada 21 April ini di Litar Antarabangsa Sepang semakin dirasai.

Sejak pelancaran rasmi pada 15 Februari hingga 6 Mac lalu, sebanyak 5,000 tempat yang dihadkan untuk tiga kategori yang dipertandingkan iaitu maraton penuh 42 kilometer (km), maraton separuh 15.5 km dan larian suka-suka 5.5 km telah pun dipenuhi.

Bagi merancakkan lagi acara pertandingan yang kini memasuki edisi ketiga tahun ini, Energizer Malaysia Sdn. Bhd. (Energizer) mengadakan klinik larian yang diadakan di Taman Tasik Lembah Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu.

Sebanyak 200 pelari, sukarelawan dan kanak-kanak hadir ke klinik tersebut yang dikendalikan oleh jurulatih maraton negara, P. Sidamparam serta juara maraton kebangsaan, Shaharudin Hisham.

Pengarah Urusan Energizer Malaysia, Mike Foong berkata, program itu bertujuan membantu peserta membuat persiapan menjelang Perlumbaan Malam Energizer 2012 nanti.

“Kami terharu dengan sambutan yang diberikan. Biarpun hujan renyai pada sebelah pagi, namun ia tidak mematahkan semangat peserta untuk menyertainya.

“Sepanjang 40 minit program ini, mereka bukan sahaja dapat bertemu kedua-dua jaguh berkenaan, malah berpeluang mempelajari tip-tip keselamatan, langkah-langkah latihan asas dan teknik berlari yang betul,” katanya.

Tambah Mike, pihaknya turut memberi peluang kepada Malaysian District of Kiwanis, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa untuk mengadakan aktiviti Kiwanis One Day sebagai tambahan kepada program yang dijalankan.

Jelasnya, Kiwanis One Day merupakan program bagi kelab-kelab Kiwanis di seluruh dunia berhimpun pada satu hari setiap tahun untuk mencetuskan perubahan dalam komuniti masing-masing.

“Ia disertai seramai 80 orang remaja berusia dari 10 hingga 20 tahun daripada beberapa pertubuhan seperti K-Kids Kiwanis, Builders Club, Key Club, Aktion Club dan persatuan-persatuan sekolah Circle K di SK Taman Megah, SK La Salle, Sri Garden dan Kolej Universiti HELP melakukan kerja-kerja pembersihan taman.

“Pada masa yang sama, mereka turut berpeluang menyertai klinik larian yang dikendalikan secara berasingan oleh Shaharudin,” ujarnya.

Tambah Mike, sejajar dengan tema That’s Positivenergy Energizer pada pertandingan itu nanti, Energizer bekerjasama dengan Kiwanis Malaysia untuk menyumbang RM10 daripada yuran pendaftaran peserta kepada program pembangunan remaja yang dianjurkan.

“Sehingga kini jumlahnya telah pun mencecah RM50,000. Energizer akan menambah sumbangan tersebut dengan menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM210,000 lagi melalui jualan produk-produk Energizer mulai bulan Mac hingga Mei tahun ini.

“Malah pengedar dan rakan kongsi utama Energizer juga telah berjanji untuk memberikan sumbangan tambahan menjadikan jumlah sasaran terkumpul sebanyak RM345,000,” katanya.

Ujar Mike, semua sumbangan itu nanti akan memberi manfaat kepada 20 buah Pusat Kiwanis di seluruh negara yang memberi bimbingan kepada kanak-kanak serta golongan remaja kurang upaya untuk berdikari.

“Di samping itu, sumbangan itu juga akan digunakan untuk program Going to School with Kiwanis yang menyumbangkan senaskhah kamus kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bagi memupuk semangat mereka untuk mencapai kecemerlangan di sekolah,” jelasnya.

Sementara itu, Gabenor Terpilih Kiwanis Malaysia, Teh Cheng Lian berkata, program yang diadakan memberi peluang keemasan kepada ahli kelab-kelab remaja di bawah Kiwanis untuk berkumpul dan bersenam sambil berkhidmat demi masyarakat.

“Pada awalnya kami bimbang apabila hari hujan pada sebelah pagi, tetapi kebimbangan kami bertukar gembira apabila jumlah sukarelawan yang hadir mula bertambah.

“Saya bangga dengan semangat ditunjukkan, walaupun penat berlari pada sebelah pagi, mereka tetap bertenaga ketika melakukan kerja-kerja membersihkan taman,” katanya.

Varia!»

Ahli sejarah, arkeologi bertemu di Sarawak

PELBAGAI khazanah dipamerkan membabitkan 21 muzium di seluruh negara bermula esok hingga 26 Mei ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0